Bagi yang mengikuti perkembangan krisis kemanusiaan, anda pastinya tahu kini sudah hampir 6 bulan kem pelarian di utara Perancis, Calais, yang diberikan nama jolokan "The Jungle" ditutup oleh kerajaan negara terbabit. Kem pelarian yang tidak diiktiraf oleh kerajaan Perancis ini tutup sepenuhnya pada 26 Oktober 2016 setelah bertahun bertapak di situ. Kem ini menempatkan pelarian-pelarian dari negara Timur Tengah seperti Afghanistan, Syria, Sudan, Iraq, Iran dan juga Eretria.

BESARKAN TEKS     A-  A+

kem pelarian the jungle

pemindahan keluar

Apabila bercakap mengenai kem "The Jungle" ini, sudah pastinya nama-nama ini menjadi bualan bukan sahaja masyarakat tempatan, malah juga bualan seluruh dunia. Anda juga pasti pernah mendengar nama mereka sama ada dari berita tempatan mahupun berita antarabangsa. Mereka merupakan satu aura yang kuat yang mampu memberi harapan dan perubahan kepada nasib pelarian-pelarian. Nama yang dimaksudkan adalah Jamalulail Ismail dan Sofinee Harun. 

pasangan yang menjadi kebanggaan malaysia

akhbar

Bagi yang tidak mengenali, ini sedikit sebanyak kisah berkenaan pasangan hebat ini. Pasangan suami isteri yang menetap di Seaham, England ini merupakan antara individu terawal yang menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada pelarian-perlarian di kem tersebut. Ia bermula apabila dunia dikejutkan dengan berita muka depan yang memaparkan gambar kematian seorang kanak-kanak Syria berusia 3 tahun, Alan Kurdi, yang terdampar di tepi pantai selepas bot yang dinaiki bersama keluarganya karam. Bot tersebut karam di Laut Mediterranean, selepas meninggalkan Bordum, Turki.

alan kurdi

Tersentuh melihat gambar kanak-kanak tersebut, membuatkan Sofinee betul-betul tersentak dan sedar bahawa mereka perlu melakukan sesuatu. Pasangan yang mempunyai 4 cahaya mata iaitu Putri Sabeera, Muhammad Syameem, Sumrah dan Ahmad Saif ini, membuat perancangan untuk melawat kem pelarian yang terdekat dengan mereka. Setelah membuat pencarian, mereka mendapati kem "The Jungle" adalah yang paling hampir. Tanpa membuang masa mereka terus membuat lawatan ke kem tersebut pada Oktober 2015.

jamalulail berborak bersama perlarian

Betul lah apa yang dikatakan, sebaik-baik perancangan, adalah perancangan daripada Allah. Jamalulail dan Sofinee hanya merancang untuk melawat kem tersebut hanya untuk 3 hari sahaja bagi mendapatkan informasi dan melihat sendiri dengan mata mereka keadaan sebenar di kem tersebut. Namun, tanpa mereka tahu, mereka telah ditakdirkan akan berada di lokasi yang sama bersama-sama pelarian-pelarian tersebut selama 13 bulan.

sofinee bersama pelarian pelarian

Setelah sampai di kem tersebut, mereka melawati kawasan kem sambil mencatat apa yang perlu untuk kegunaan bagi membantu pelarian-pelarian tersebut. Setelah 2 hari berlalu, kini tiba saat untuk mereka pulang ke England meninggalkan Calais, Perancis. Ketika saat mereka hendak berangkat pulang, mereka didatangi seorang kanak-kanak perempuan dari Syria yang baru sahaja sampai di kem itu. Kanak-kanak itu bertanyakan di manakah tempat yang boleh dia bermalam di kem tersebut. Tersentak dengan pertanyaan itu, Jamalulail dan Sofinee tanpa membuang masa terus mencari dan menyediakan kelengkapan yang diperlukan kanak-kanak tersebut bagi membolehkannya tidur dengan selesa. Dan ketika itu juga lah, feri yang sepatutnya mereka naiki untuk pulang, sudah pun berlepas. Bermulalah kisah kehidupan mereka di kem pelarian Calais selama 13 bulan.

memasang gas dapur

Jurutera kelahiran Perak ini bermula dengan memberi bantuan kecil seperti menyediakan dapur dan gas memasak, hasil kutipan daripada ahli keluarga dan kenalan mereka. Setelah beberapa ketika membantu, mereka berhajat untuk pulang ke England. Namun, setiap kali hasrat mereka dibincangkan, mereka didatangi hamba Allah yang bermurah hati dan mendermakan sejumlah wang, untuk mereka meneruskan bantuan kepada pelarian-pelarian ini. Dan perkara yang sama berulang kali terjadi.

jamalulail menguji dapur masak

Mereka bersetuju untuk memberikan bantuan dan khidmat mereka, namun ia tidak semudah yang disangka. Menyedari bantuan dapur dan gas memasak yang diberikan adalah tidak praktikal, mereka perlu mencari idea lain bagi membantu. Masalah yang timbul adalah selepas beberapa ketika, gas yang dibekalkan kepada pelarian telah habis digunakan dan perlu diisi semula. Disebabkan harga gas yang mahal dan tidak mampu untuk bertahan lama serta memerlukan alatan tangan yang sesuai untuk menukar botol gas, mereka terpaksa cuba membantu dengan cara lain.

dapur masak pertama

Dengan berbekalkan sebuah karavan yang mempunyai dapur, Sofinee mula memasak untuk memberikan makanan kepada pelarian yang tinggal berdekatan. Usaha itu membuahkan hasil, namun dengan peralatan yang terhad, beliau hanya mampu menyediakan makanan untuk 50 orang terawal sahaja.

"Sebagai orang asing yang tinggal di negara asing, saya tahu betapa pentingnya makanan. Lebih-lebih lagi makanan yang halal,"

- Sofinee Harun

dalam pembinaan

dapur pondok

Daripada sebuah karavan, dapur beliau berkembang menjadi sebuah pondok kecil bertiangkan kayu dan berbumbungkan kanvas. Sejak itu, dapur yang dibantu sukarelawan mampu memasak sehingga 500 hidangan makanan. Juga dengan bantuan yang disalurkan oleh orang ramai yang prihatin dari serata dunia, termasuklah rakyat Malaysia, mereka mampu menampung perbelanjaan untuk menyediakan makanan tersebut. Dan dengan izin Allah, dapur pondok mereka telah berkembang sekali lagi menjadi sebuah dapur yang lebih teratur dan efisyen untuk menyediakan makanan dengan peralatan yang canggih. Sehingga satu ketika, dapur yang diberi nama "Kitchen In Calais" ini mampu menyediakan hampir 1500 hidangan setiap hari.

dapur kitchen in calais

"Ini bukan lagi satu kebajikan. Ini adalah tanggungjawab kita sesama manusia, apatah lagi kepada saudara seagama. Kalau bukan kita yang membantu, siapa lagi?

- Jamalulail Ismail

masa untuk memberikan makanan

Walaupun di kem tersebut terdapat beberapa dapur yang dikendalikan oleh organisasi-organisasi lain, namun dapur "Kitchen In Calais" sahaja merupakan satu-satunya dapur yang diyakini pelarian-pelarian yang kebanyakkannya beragama Islam. Ini adalah disebabkan penyediaan makanan Kitchen In Calais mematuhi piawaian halal dan dikendalikan oleh orang Islam. Dan juga, makanan yang disediakan adalah makanan panas, sangat bersesuaian malah membantu memanaskan badan mereka ketika cuaca sejuk.

ahmad seif remaja contoh

Mendengar cerita sahaja sudah meremang bulu roma, apatah lagi untuk menerajui gerakan bantuan mulia ini. Turut membantu iaitu anak-anak pasangan ini, dan anak bongsu mereka, Ahmad Seif yang hanya berusia 13 tahun ketika itu. Seif tinggal bersama ibu bapanya di kem tersebut dan membantu menyediakan makanan. Dikala anak-anak remaja sebaya dengannya sedang bermain bersama rakan-rakan, Seif pula dengan susuk tubuhnya yang kecil sedang mengacau nasik dan kari yang dimasak untuk pelarian-pelarian di sana. Kecekalan hatinya dibuktikan dengan berkhidmat di kem tersebut selama 8 bulan. Suatu yang diluar jangkaan bagi seorang yang masih terlalu muda.

"Dapur ini bukan milik kami. Dapur ini milik semua. Kami hanya tolong membantu menyediakan makanan kepada mereka dengan bantuan daripada anda semua.

- Sofinee Harun

menyiapkan food pack untuk diberikan kepada pelarian

Hidup mereka sekeluarga di kem serba yang kekurangan itu dijalani dengan penuh cekal. Mereka tinggal di dalam karavan yang sempit dan semua kelengkapan harian adalah sangat terhad. Setiap hari mereka akan melakukan rutin yang sama dari pagi hingga ke malam. Mereka juga berhadapan dengan risiko yang sangat bahaya dek kerana hidup di tanah yang tidak mempunyai undang-undang dan dipenuhi dengan pelarian-pelarian yang terdesak. Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan mereka ketika itu.

jamalulail memberikan sepatah dua kata di masjid umar

Tiada siapa sangka yang anak Melayu dari bumi Malaysia mampu melakukan sesuatu yang sebesar ini, menyumbang kepada bantuan kemanusiaan dunia. Meninggalkan kehidupan dunia yang selesa dan katil yang empuk, semata-mata untuk mahu memberikan sedikit harapan dan perubahan kepada mereka yang tidak bernasib baik tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran adalah sesuatu yang patut kita banggakan dan dijadikan contoh.

saat saat perpisahan

salah seorang pelarian yang membantu di kitchen in calais

Namun, semua yang bermula, pasti akan berakhir. Dengan hati yang berat dan pilu, mereka terpaksa akur dengan arahan kerajaan Perancis yang mahu menutup kem tersebut Oktober lalu. Kem "The Jungle" yang serba daif itulah yang telah menjadi rumah bagi mereka bagi 13 bulan. Tanah yang sebelum ini asing bagi mereka, telah menjadi tanah tempat mereka tinggal. Pelarian-pelarian yang dahulunya dibantu, kini menjadi seperti sebuah keluarga. Walaupun serba kekurangan, kem itu telah memberikan seribu satu makna dan pengalaman kepada mereka. Banyak perkara yang mereka lakukan buat kali pertama dalam hidup mereka ketika berkhidmat di kem tersebut.

setelah kem ditutup

"Saya seorang jurutera. Selama 47 tahun saya hidup di dunia ini, di kem inilah merupakan kali pertama saya membeli dan memasang tandas sendiri. Siapa sangka kem serba daif ini mampu memberikan pengalaman berharga yang takkan dapat saya lupakan,"

- Jamalulail Ismail

Selepas penutupan, mereka pulang ke Seaham, England, bagi menjalani kehidupan normal mereka. Walaupun agak kekok tidur di atas katil yang empuk sambil memikirkan nasib pelarian-pelarian, namun mereka terpaksa mengharunginya. 

bantuan aid container malaysia syria

Namun, usaha membantu krisis kemanusiaan tidak berhenti begitu sahaja bagi mereka. Mereka kini sedang mengusahakan pengutipan derma pakaian dan makanan daripada rakyat malaysia, untuk dihantarkan kepada pelarian di Idlib,Syria. Usaha murni yang dicetuskan oleh Sofinee ini bermula awal tahun ini. Dengan pengaruh yang ada, beliau melancarkan kempen "Aid Container Malaysia-Syria" ini bagi meringankan sedikit sebanyak kesengsaraan yang ditanggung saudara seagama kita di Syria. Misi pertama mereka telah berjaya dengan menghantar satu kontena berisi pakaian, makanan serta bantuan perubatan ke Syria. Kini misi membantu versi kedua baru sahaja dilancarkan. Bagi mereka yang ingin membantu, bolehlah merujuk kepada poster di bawah.

derma diperlukan

Pihak iluminasi.com berdoa agar saudara Jamalulail Ismail dan Sofinee Harun serta keluarga sentiasa berada di bawah rahmat Allah. Semoga dipermudahkan urusan. Bagi kita rakyat Malaysia, perkara seperti ini wajar dijadikan contoh dan juga kita perlu menyokong usaha-usaha murni seperti ini bagi membantu saudara seagama dengan kita.

Malaysia Boleh!




Hakcipta iluminasi.com (2017)