Pada tahun 1987, Melinda French berasa agak kurang senang semasa diajak keluar untuk berjanji temu dengan bosnya. Ya! Melinda adalah pekerja kepada Bill Gates pada awalnya.

Ketika itu, Melinda baru sahaja menamatkan pengajian di Duke University dan menyertai Microsoft sebagai pengurus produk. Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Bill Gates, telah mendekatinya semasa satu sesi perkelahan syarikat dan bertanya sama ada beliau berminat untuk keluar makan malam bersama dalam masa dua minggu lagi. Melinda memberitahu Bill bahawa pelawaan itu adalah tidak cukup spontan bagi dirinya.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Melinda kemudian memberikan nombor telefonnya kepada Bill dan berpesan agar menelefonnya beberapa hari sebelum tarikh yang dijanjikan. Akan tetapi, Bill telah membuat panggilan pada malam hari yang sama dan bertanya sinis, "Adakah ini cukup spontan bagi kamu?" Rupa-rupanya Melinda sememangnya terpikat dengan pertanyaan Bill itu.

Mereka menjalinkan hubungan cinta selama tujuh tahun sebelum memutuskan untuk ke jinjang pelamin. Menurut Melinda, pada awalnya, ibunya menentang dan berpendapat berpacaran dengan Ketua Pegawai Eksekutif dari pejabat yang sama bukanlah suatu idea yang bernas.

kisah percintaan bill melinda gates microsoft 2

Namun, mereka tidak menghiraukan kata-kata ibu Melinda. Di pejabat, pasangan ini tidak pernah menonjolkan bahawa mereka sedang bercinta dan sentiasa meminta rakan sejawat serta ahli keluarga supaya menghormati privasi kedua-dua mereka. Bill melayan Melinda sama seperti cara rakan-rakan lelaki melayannya di kolej. Melinda menghormati mereka, dan begitu juga mereka sebaliknya.

Melinda amat tertarik dengan sifat pintar dan juga sifat ingin tahu Bill. Walaupun berpangkat tinggi, Bill masih tahu cara untuk bergelak ketawa. Melinda sangat sukakan peribadi Bill yang suka menyindir dan membuat lawak sinis.

kisah percintaan bill melinda gates microsoft 4

Permulaan Yayasan Bill & Melinda Gates

Selepas mengikat tali pertunangan, Bill dan Melinda telah mengembara ke Afrika pada penghujung tahun 1993. Semasa berada di sana, mereka telah melihat sendiri masyarakat yang hidup dalam keadaan miskin dan serba kekurangan. Ketika berjalan-jalan di tepi pantai di Zanzibar, pasangan ini mula berbincang bagaimana mereka boleh menyumbangkan harta mereka untuk membantu orang lain.

Pada saat itulah timbul idea Yayasan Bill & Melinda Gates yang baru berpucuk. Menurut Melinda, adalah tidak adil bagi mereka mempunyai harta yang terlalu banyak sedangkan berbilion orang lain tidak punya apa-apa.

kisah percintaan bill melinda gates microsoft perkahwinan

Setahun selepas itu, mereka mendirikan rumah tangga di Manele Bay Hotel di Hawaii dengan majlis yang menelan belanja sebanyak USD1 juta. Untuk memastikan privasi ketika majlis berlangsung, Bill telah menempah kesemua bilik hotel dan juga semua helikopter di pulau Maui untuk mengelakkan kedatangan mana-mana tetamu yang tidak diundang.

Ibu bapa Bill menghadiahkan pasangan pengantin itu sebuah arca berbentuk dua ekor burung yang duduk bersebelahan sambil memerhatikan kaki langit. Arca itu kini masih kekal berada di hadapan rumah agam mereka yang terletak di Washington yang digelar "Xanadu 2.0" yang bernilai USD124 juta (nilai pada tahun 2016). Melinda sentiasa terfikirkan ukiran tersebut kerana ia benar-benar melambangkan visi pasangan itu.

kisah percintaan bill melinda gates microsoft perkahwinan 2

Mundar laju tiga dekad ke hadapan, Bill dan Melinda Gates dikurniakan tiga orang cahaya mata. Pasangan itu mempunyai harta bernilai USD92.2 bilion dan sibuk membangunkan sebuah perusahaan yang telah mengeluarkan dana sebanyak USD40.3 bilion atas nama kebajikan.

Cara membesarkan anak-anak

Anak-anak pasangan ini, iaitu dua orang perempuan dan seorang lelaki tidak dibenarkan mempunyai telefon bimbit sehinggalah mereka menjangkau usia 14 tahun. Mereka hanya dibacakan buku pelbagai genre daripada buku berjudul "Guess How Much I Love You" sehinggalah "Fahrenheit 451." Selain itu, mereka dibesarkan penuh dengan didikan agama sebagai penganut Katolik. Anak-anak mereka sering pergi ke gereja Katolik di mana Melinda dan Bill kerap meluangkan masa. 

kisah percintaan bill melinda gates microsoft 7

Bill berkata, isterinya merupakan penggerak utama dalam memastikan ahli keluarga mereka sentiasa bersatu. Ibu penyayang itu sentiasa berfikiran kreatif dalam mencari peluang supaya Bill dapat meluangkan masa bersama anak-anak. Adakalanya Melinda membiarkan Bill mengambil anak-anak dari sekolah kerana itu adalah salah satu masa terbaik untuk berbual bersama mereka.

kisah percintaan bill melinda gates microsoft 6

Walaupun mempunyai harta berbilion dolar, setiap seorang anak pasangan Gates ini hanya akan mewarisi sebanyak 10 juta dolar sahaja. Selebihnya akan disalurkan ke badan-badan kebajikan. Dengan ini, mereka dapat menyeimbangkan kebebasan anak-anak untuk melakukan apa yang mereka suka namun kebebasan itu masih disekat kerana wang yang ada tidaklah terlalu melimpah-ruah sehingga mereka mampu duduk menggoyangkan kaki.

kisah percintaan bill melinda gates microsoft anak jennifer ekuestrian

Bill dan Melinda juga menunjukkan sokongan padu terhadap minat anak-anak. Mereka telah membeli sebidang tanah bernilai USD37 juta di Wellington, Florida pada tahun 2016. Ini disebabkan salah seorang anak perempuan mereka, Jennifer, merupakan penunggang kuda acara lompat rintangan bertaraf kebangsaan dan Florida terkenal sebagai bandar ekuestrian di Amerika Syarikat.

Hubungan sebagai rakan kongsi

Menurut Melinda, hubungannya bersama suami telah bertukar mengikut peredaran masa. Kedua-dua Melinda dan Bill perlu berubah untuk menjadi orang yang sama taraf agar mereka boleh sama-sama komited terhadap perhubungan dan kekeluargaan di samping kerja amal yang dilakukan.

Jika dahulu Bill sudah terbiasa menjadi ketua di Microsoft namun kini, Bill dan Melinda bekerja sebagai rakan kongsi di yayasan. Mereka berdua telah menerima anugerah Pingat Kebebasan Presiden pada tahun 2016 oleh Presiden Barack Obama atas segala usaha dermawan yang dijalankan. Di samping kesibukan itu, mereka sering memastikan jadual harian mereka adalah selaras, saling melengkapi dan seimbang. Bill adalah seorang yang amat mementingkan keseimbangan dalam kehidupan.

kisah percintaan bill melinda gates microsoft 8

Dalam satu temu ramah, Melinda mendedahkan yang pasangan romantis ini tidak pernah berselisih faham. Ada masa-masa tertentu sahaja mereka bercanggah pendapat berkaitan taktik namun disebabkan mereka berkongsi nilai keterbukaan, prinsip dan kepercayaan yang sama, mereka tidak pernah bertegang urat. Bill sering memberikan ruang kepada Melinda untuk membuat keputusan walaupun beliau adalah seorang lelaki, ketua syarikat serta ketua rumah tangga.

Sahabat baik pasangan ini iaitu Warren Buffet juga pernah memberitahu majalah Fortune yang Bill sememangnya seorang lelaki yang sangat bijak. Namun, jika dinilai dari segi penglihatan keseluruhan gambaran, Melinda adalah lebih bijak daripada Bill.

kisah percintaan bill melinda gates microsoft warren buffet sahabat baik

Apabila berbicara tentang kisah sebagai rakan kongsi, Bill berkata persepsi masyarakat yang sering mengatakan Melinda adalah 'nyawa' organisasi adalah satu kenyataan yang agak stereotaip. Sebagaimana Melinda tahu yang Bill adalah lebih beremosi daripada apa yang masyarakat fikir, begitu jugalah Bill tahu yang Melinda adalah lebih berfikiran analitis daripada masyarakat sangka. Apabila Bill menjadi terlalu teruja tentang sesuatu perkara, Melindalah yang akan sentiasa mengingatkan Bill agar bersikap realistik sebelum membuat sebarang keputusan.

bill dan melinda isterinya

Pasangan jutawan ini percaya yang setiap orang di dunia berhak mendapatkan kehidupan yang sihat dan produktif. Dengan bantuan rakan-rakan mereka, Bill dan Melinda sentiasa mencari jalan yang inovatif untuk membantu sesiapa sahaja yang memerlukan di seluruh dunia. Diharapkan niat suci murni dua insan mulia ini akan menyuburkan lagi rasa cinta antara mereka berdua sehingga ke akhir hayat.




Hakcipta iluminasi.com (2017)