Tidak kira sejauh mana hebatnya kemajuan teknologi manusia, tidak semua proses semula jadi dapat dikawal dan ditentukan oleh manusia. Contoh utama adalah gunung berapi yang masih aktif, gunung yang mampu menyemburkan lava cair dan abu yang membakar di atas permukaan bumi.

Gunung berapi yang kecil sudah cukup menakutkan dan boleh menyebabkan kerosakan yang dahsyat. Maka, kita di Malaysia seharusnya bersyukur kerana tiada gunung berapi yang masih aktif di negara kita memandangkan kita terletak di luar Lingkaran Api Pasifik atau Ring of Fire.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Jika Gunung Everest dikenali ramai sebagai gunung dengan puncak tertinggi di dunia, kali ini pihak Iluminasi ingin kongsikan pula senarai 7 gunung berapi tertinggi di dunia.  Kebanyakan daripada gunung dalam senarai ini adalah berstatus aktif, bermakna ia berpotensi meletus lagi pada masa hadapan. 

7. Gunung Shasta - 4322 meter

gunung shasta 506

Salah satu puncak yang paling terkenal di Cascade Mountain Range dan Cascade Volcanic Arc, Gunung Shasta telah berfungsi sebagai mercu tanda utama kawasan ini sejak sekian lamanya. Kompleks gunung berapi ini terdiri daripada 4 puncak gunung berapi yang saling bertindih dan merupakan bahagian dari "Ring of Fire" yang terkenal.

Gunung berapi yang menakjubkan dan indah ini telah lama dianggap suci oleh penduduk asli Amerika dan telah menjadi pusat kepercayaan spiritual. Gunung berapi ini kali terakhir meletus pada 1786 dan statusnya masih diletakkan sebagai aktif.

6. Klyuchevskaya Sopka - 4750 meter

klyuchevskaya sopka

Gunung berapi yang sangat aktif ini yang telah meletus lebih dari 50 kali sejak tahun 1700, dicirikan oleh munculnya asap yang secara konsisten dihembuskan dari kawahnya. Klyuchevskaya Sopka juga diiktiraf sebagai titik tertinggi di Semenanjung Kamchatka Rusia dan salah satu gunung berapi paling aktif di dunia.

Satu ketika dahulu ramai pendaki gemar memanjat dan melihat gunung ini secara dekat tetapi kerana aktiviti gunung berapi yang kerap menyebabkan para ekspedisi tidak lagi menjelajah gunung ini sejak 1930-an. Klyuchevskaya Sopka kali terakhir meletus pada tahun 2007.

5. Guagua Pichincha - 4784 meter

guagua pichincha

Gunung berapi aktif ini telah meletus beberapa kali dalam beberapa tahun kebelakangan ini, melapisi landskap dan bandar berhampiran dengan abu. Kompleks gunung berapi ini dianggap sebagai salah satu gunung berapi yang paling aktif di Ecuador.

Kawah puncaknya berbentuk tapak kuda dan banyak pelancong dan peminat alam semulajadi suka mendaki ke puncak untuk pemandangan yang menakjubkan. Mengikut rekod, gunung setinggi 4750 meter ini kali terakhir meletus pada tahun 2008.

4. El Misti - 5822 meter

el misti

Sejarah panjang mengenai rizab mineral di sekitar El Misti telah menjadikan kawasan sekitarnya menjadi tanah yang paling subur untuk pertanian di Peru. Ia mempunyai 2 kawah puncak dan berbentuk simetri, menjadikannya mercu tanda yang sangat indah. Letusan masa lampau mungkin tidak besar dan hanya mempengaruhi bahagian atas gunung berapi.

El Misti banyak diperkatakan dalam seni dan puisi tamadun Inca, membuatkan ramai orang percaya bahawa ia mempunyai kepentingan spiritual dalam budaya mereka. Gunung ini kali terakhir meletus pada tahun 1985 dan statusnya kini diletakkan sebagai tidak aktif. 

3. Chimborazo - 6310  meter

chimborazo

Chimborazo adalah puncak tertinggi dan gunung berapi aktif di Ecuador dan merupakan sebahagian dari banjaran Cordillera Occidental di Zon Gunung Berapi Andean Utara. Gunung berapi ini sebenarnya terbentuk dari dua puncak gunung berapi yang bercantum di atas satu sama lain dengan kawah utamanya mencapai kedalaman 250 meter.

Chimborazo dianggarkan runtuh sekitar 35.000 tahun yang lalu berdasarkan anggaran aliran piroklastik yang dijumpai tepat di atas runtuhan salji (avalanche). Gunung berapi yang berstatus masih aktif ini kali terakhir meletus pada tahun 640.

2. Nevado Coropuna - 6425 meter

nevado coropuna

Gunung berapi Nevado Coropuna ini dianggap sedikit misteri kerana tidak ada yang dapat mengenalpasti dengan tepat tarikh letusan terakhirnya. Tidak ada petanda gunung ini akan meletus dalam masa terdekat tetapi beberapa data telah dikumpulkan menunjukkan bahawa Nevado Coropuna mungkin masih aktif di bawah permukaan.

Formasi gunung berapi yang mengagumkan ini mempunyai enam puncak dengan puncak yang bersalji. Lapisan batu dan mineral yang terdapat di sekitar Nevado Coropuna memberikan maklumat penting kepada para saintis mengenai letusan terakhirnya yang berlaku ketika zaman Pleistocene Epoch (zaman ais). 

1. Ojos del Salado - 6893 meter

ojos del salado

Ojos del Salado adalah gunung berapi tertinggi di dunia berdasarkan nilai altitud dan juga gunung tertinggi di Chile. Gunung berapi yang megah ini sebenarnya mempunyai dua puncak yang mencapai ketinggian yang sama dan mempunya iklim yang sangat kering.

Ojos del Salado boleh diterjemahkan ke "Eyes of Salt" nama panggilan yang merujuk kepada kolam garam yang terletak di sisi gunung berapi. Gunung ini mempunyai ketinggian 6893 meter dan kali terakhir meletus adalah pada tahun 700. Walaupun begitu, status gunung berapi ini masih diletakkan sebagai aktif. 

Kredit:

  1. The Culture Trip
  2. Britannica Encyclopaedia
  3. Volcano Discovery
  4. Aurora Expeditions
  5. Geographic



Hakcipta iluminasi.com (2017)