Pada 7 Februari 2020, pihak kajian angkasa Amerika Syarikat atau NASA mengesahkan projek terbaru bagi menghantar kembali manusia ke bulan, selaras dengan cita-cita kerajaan Amerika Syarikat di bawah Presiden Donald Trump yang mahu projek itu dijadikan kenyataan.
Disebut kali pertama pada tahun 2004 semasa era pemerintahan George W. Bush dengan sasaran tahun 2020, projek ini dterpaksa ditangguhkan semasa era Barrack Obama tetapi nampaknya bakal diteruskan dengan sasaran tahun 2024.
BESARKAN TEKS A- A+
Walaupun begitu, pengumuman terbaru NASA ini mendapat kritikan serta reaksi negatif - kerana banyak pihak merasakan tempoh 4 tahun yang ada belum cukup untuk NASA mampu mengenalpasti semua faktor yang bakal mereka hadapi. Apatah lagi ramai yang melihat pengumuman terbaru ini hanyalah satu gimik politik Trump, dalam memastikan dia berjaya menyambung penggal kedua sebagai Presiden.
Ini kerana usaha pengumuman terbaru ini, dilihat tidak selari dengan fokus penjelajahan angkasa ketika ini - yang mahu menjadikan Marikh sebagai destinasi utama. Usaha dan latihan dalam projek penjelajahan Marikh sebenarnya sudah rancak berjalan - dengan ramai bakal angkasawan serta penyelidik sebenarnya dalam latihan di sebuah pulau bernama Pulau Lanzarote, yang terletak di Sepanyol.
Keunikan Pulau Lanzarote
Pulau Lanzarote merupakan antara salah satu daripada lapan pulau yang dikategorikan dalam kumpulan Kepulauan Canary, ditadbir secara autonomi oleh kerajaan Kepulauan Canary di bawah kerajaan besar negara Sepanyol.
Jika dibandingkan di antara kesemua adik-beradiknya yang lain, Pulau Lanzarote merupakan pulau yang paling tua dan yang paling penting - masih lagi menunjukkan aktiviti gunung berapo aktif di dasarnya. Situasi ini penting, kerana aktiviti inilah yang memberikan Pulau Lanzarote keunikan yang jarang sekali diperolehi di mana-mana lokasi lain.
Mempunyai keluasan sebesar 845 km persegi serta 150 ribu orang penduduk, Pulau Lanzarote diiystiharkan oleh UNESCO sebagai salah satu taman warisan alam dunia, dengan pengumumannya dilakukan pada tahun 1993. Usaha ini dipuji ramai bagi melindungi alam semulajadinya yang sangat kaya dengan pelbagai jenis kepelbagaian bio, akibat daripada cara pembentukannya yang berasas daripada lava gunung berapi.
Pulau Lanzarote mempunyai permukaan yang kasar serta keras mengakibatkannya agak sukar untuk dilalui dengan kenderaan. Akibat daripada rupa dan struktur tanah yang sukar untuk kegunaan manusia, penduduk tempatan menggelarkan tanah yang terbentuk hasil daripada letusan lava sebagai 'malpais,' yang membawa makna 'badlands' atau tanah gersang/tandus.
Bagaimanapun, disebabkan situasi itu lah - NASA serta mana-mana badan pengkaji angkasa kerap menjadikan Pulau Lanzarote, khasnya sebahagian besar Taman Negara Timanfaya yang terletak di dalamnya - sebagai pusat latihan manusia yang mahu meneroka Marikh.
Pusat latihan manusia ke angkasa
Berikutan rupa bentuknya yang agak berbeza, NASA serta Agensi Angkasa Eropah atau ESA kerap kali menjadikan Pulau Lanzarote sebagai lokasi di mana angkasawan belajar menyesuaikan diri dengan keadaan dunia luar. Pada tahun 2019, satu perjanjian kerjasama telah diwujudkan di antara ESA, NASA dan kerajaan Kepulauan Canary - membenarkan kajian terus dijalankan sehingga tahun 2022.
Sejak tahun 2017, ESA telah pun memperkenalkan program latihan yang dinamakan Kursus Pangaea bagi membolehkan latihan praktikal dilakukan di Pulau Lanzarote. Penyelidik juga dibenarkan melakukan latihan berbentuk kemahiran geologi yang diperlukan setiap angkasawan, bagi membiasakan mereka mengutip spesismen atau sampel yang dirasakan penting dalam bakal misi mereka.
Keadaan permukaannya yang kasar dan keras juga amat sesuai untuk digunakan sebagai pusat percubaan pendaratan dan kawalan jentera 'Mars Rover', jadi kebiasaannya mana-mana model Rover yang dibangunkan - akan dipandu secara jarak jauh di Pulau Lanzarote bagi menguji kekuatannya.
Pulau yang masih berisiko tinggi
Walaupun Taman Negara Timanfaya dipilih sebagai pusat latihan bagi bakal angkasawan, risiko untuk berlakunya letusan gunung berapi tetap tinggi - jadi setiap hari, mana-mana penduduk, pelawat atau pengunjung perlulah mengetahui informasi terbaru sekiranya ada risiko berlakunya bencana.
Pembentukan utama Pulau Lanzarote berlaku sekitar tahun 1730 hingga tahun 1736, apabila gunung berapi yang aktif tidak henti-henti meletuskan lava dalam tempoh tersebut - sehingga membentuk banyak kawasan yang baru menambahkan keluasannya dengan pertambahan 1/3 daripada keluasan asal. Letusan hampir serupa berlaku sekali lagi pada tahun 1824 selama 86 hari, tidak menambah keluasan pulau tersebut sebaliknya mengubah bentuk muka bumi Lanzarote secara kekal.
Bentuk muka buminya secara keseluruhan agak landai, menghalang udara terkumpul menyebabkan cuacanya menjadi agak kering dan lebih mirip dengan kawasan gurun. Hujan juga tidak turun dengan banyak, berbeza dengan adik-beradiknya yang lain yang mampunyai kawasan bergunung-ganang membantu memerangkap kelembapan.
'Timanfaya' merupakan nama kepada gunung berapi aktif yang bertanggungjawab membentuk sebahagian besar Pulau Lanzarote. Selepas letusannya yang berlaku pada tahun 1730, lebih seratus pusat letusan gunung berapi baru terbentuk, membentuk jaringan kawah yang dinamakan sebagai Montanas del Fuego oleh penduduk tempatan atau 'Mountains of Fire'.
Sekiranya diukur suhu tanah di sana pada kedalaman 10 meter dari permukaan, suhunya dikatakan mampu mencapai lebih 600°C. Sekiranya ada yang dapat berkunjung ke sana, pastikan anda mempunyai pemandu pelancong yang memahami jadual letusan bakal berlaku. Ini kerana terdapat banyak lubang-lubang letusan wap air yang tidak henti-henti mengeluarkan wap panas ke udara setiap hari.
Kita sudah pasti tidak mahu berada bersebelahan letusan semasa ianya berlaku.