Oleh pada 19 Sep 2023 kategori

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, nama Ebit Irawan bin Ibrahim Lew atau lebih terkenal dengan nama singkatan Ebit Liew - menjadi topik perbualan hangat masyarakat kita.

Terkenal sebagai dermawan, pengasas pergerakan NGO bertaraf antarabangsa ini sedang terpalit bermacam jenis tuduhan tidak elok, sedang dibicarakan di mahkamah atas 11 tuduhan salahlaku berkait gangguan seksual.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Situasi yang menimpa beliau menimbulkan polemik di kalangan warga siber, di mana terlihat garisan jelas yang memisahkan perspektif kita berhubung kes beliau.

Kami menulis artikel ini bukanlah untuk menghakimi beliau, sebaliknya lebih kepada mahu merungkai kesan perbincangan kes sebegini kepada minda masyarakat kita.

Kegilaan warga siber menjadi hakim

netizen jadi hakim tidak rasmi

Sejak ledakan penggunaan media sosial, kita semakin selesa membincangkan apa saja topik secara 'beramai-ramai' dalam wadah internet.

Daripada topik kecil sehinggalah topik berkait negara atau isu antarabangsa, apa saja topik akan dilihat menarik serta mampu mencetuskan reaksi, komentar dan kritikan berkait dengan topik tersebut.

Begitulah juga kes mrlibatkan Ebit Liew di mana kita dapat melihat banyak pihak melontarkan pandangan, walaupun majoriti pandangan yang dilontarkan digarap secara membabi buta.

Satu trend yang sudah menghantui warga siber adalah bagaimana secara psikologinya kita merasakan kita boleh 'menghakimi' seseorang, hanya bergantung kepada pemahaman dan intuisi kita.

Walhal realitinya kita sebenarnya kabur dan tidak tahu dengan apa yang telah berlaku.

Lebih memburukkan situasi, pemahaman kita biasanya d8bentuk pengaruh pihak ketiga - menjadikan apa yang kita hamburkan, hanyalah ulangan atau rantaian kepada mesej pihak lain yang berlanjut-lanjutan.

Kenapa warga siber seakan-akan tidak sabar untuk menjatuhkan hukuman kepada tertuduh sebelum prosiding mahkamah selesai?

Apa manfaatnya kepada kita sebagai orang luar?

Budaya cancel culture yang semakin membuak

cancel culture budaya barat tidak sihat

Di sebalik 'perdebatan' yang berlaku, apa yang membimbangkan penulis adalah betapa mekarnya budaya barat yang digelar cancel culture, di kalangan ahli masyarakat kita. 

Sekiranya anda belum pernah mendengar fenomena ini, cancel culture adalah budaya warga siber di mana sekumpulan warga siber bersatu memburukkan pihak yang tidak sealiran mereka, menggunakan kaedah seperti mencaci, mengkeji serta memboikot.

Dalam kes Ebit Liew jelas budaya ini diamal, kerana dapat dilihat jelas sesiapa yang cuba meredakan kegilaan warga siber menghakimi beliau, diserang dengan bermacam jenis gelaran dan kutukan.

Tujuannya jelas; ada pihak seakan enggan orang ramai mempunyai perspektif berbeza dalam menilai kes melibatkan Ebit.

Sebaliknya mahukan Ebit Liew dilihat sudah bersalah sejak mula.

Sesiapa yang didapati mengangkat sisi positif beliau akan dicemuh dan dihina supaya mereka diam, tidak berani bersuara. Yang berani melawan arus, habislah tulisannya disebar.

Ada kemungkinan gambar profil, maklumat peribadi serta apa saja informasi berkait mangsa dikongsi, demi hanya untuk memalukan mereka.

Takut kan nak aktif dalam media sosial akibat gejala ini?

Influencer menempel isu untuk tagih sokongan

bercakap bohong mengumpat

Buruk-buruk situasi di atas, apa yang lebih buruk dalam membicarakan kes Ebit Irawan ini adalah kewujudan individu yang jelas cuba menenggek atas isu ini, untuk kepentingan diri sendiri.

Tanpa ada sebab, keperluan dan kaitan, pihak sebegini tampak sedaya upaya mahu memainkan kes Ebit ini untuk membina sokongan dan pengikut, agar nampak berpengaruh di kalangan warga siber.

Ekoran pengaruh itulah kumpulan penenggek isu inu naik menjadi lantang dalam internet, tidak takut dan gentar menyebarkan sesuatu tanpa bukti kukuh.

Setiap hari kita dibanjiri mesej-mesej negatif dan mainan persepsi yang menyumbang kepada usaha cancel culture berterusan.

Sehinggakan ramai lebih gemar membaca sesuatu yang negatif tentang seseorang berbanding apa yang positif - malangnya membawa kepada kepercayaan bahawa tanggapan yang buruk itu sebagai satu kebenaran.

Itulah yang telah berlaku; kita sebagai masyarakat internet, lebih mempercayai tuduhan berbanding pembelaan, tak kiralah melibatkan Ebit Irawan atau sesiapa saja yang kita rasa kurang berkenan. 

Berhentilah jadi hakim tidak diiktiraf

ebit liew mondy kontroversi

Akhirnya kita duduk dalam kitaran suka melihat individu dijatuhkan.

Lagi besar nama dan pengaruh dia, lagi gembira kita rasa bila kita lihat dia jatuh.

Kalau tak percaya ini berlaku, cubalah anda pertahankan mana-mana individu, tak semestinya Ebit Liew sahaja yang sedang berdepan kecaman. 

Tak ramai yang berani mengatakan perkara benar - kita bukan hakim dan pendakwaraya.

Pandangan kita sifar nilainya walaupun ramai orang menyokong dan suka pandangan kita.

Memang sedap melayan seseorang yang berpengaruh mengulas dan mendedahkan sesuatu yang sensasi dan buruk, berkaitan individu lain.

Cuma, pernahkah kita memikirkan apa kesannya mesej sebegitu kepada diri dan pemikiran kita sendiri?




Hakcipta iluminasi.com (2017)