Oleh pada 03 Feb 2023 kategori

Sebelum kewujudan media sosial, orang ramai jarang mahu mendedahkan perihal hidup dan identiti mereka kepada pengguna internet lain.

Peralihan trend media sosial yang lebih terbuka menggalakkan pengguna melakukan perkongsian, memecahkan sempadan yang menyelia pengguna mengakibatkan netizen tidak lagi aneh memuatnaik sesuatu yang bersifat peribadi.

Malangnya, perubahan ini juga menyebabkan kita turut biasa berkongsi perkara-perkara yang tak sepatutnya jadi tatapan semua. Berikut adalah lima perbuatan aneh di media sosial, yang sudah dianggap norma biasa.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Laki bini tayang gurau senda 

tayang kemesraan suami isteri terbuka

Setiap hari ada saja 'drama' lakonan suami isteri usik mengusik satu sama lain dimuat naik ke media sosial. 

Sama ada dalam bentuk prank atau berdasarkan skrip yang memang dirancang jalan ceritanya, pasangan sebegini tidak takut mempamerkan aksi bermanja-manja sesama mereka untuk tontonan kita semua. 

Kami tak tahu kenapa pasangan sebegini boleh sama-sama bersetuju berlakon dalam bermacam situasi mendedahkan keintiman mereka bergurau senda suami isteri. Memanglah jarang unsur seksual dipaparkan, tetapi bukankah lebih manis kalau kemesraan suami isteri itu disimpan hanya di antara anda berdua?

Kongsi kepada kami pun, atas tujuan apa sebenarnya? Anda nak kami perhatikan betul-betul kemanjaan dan kecantikan isteri anda ke?

2. Serangan fizikal jadi bahan tular

bergaduh pengsan tapak pasar tam

Fungsi muat naik video ke media sosial mengubah budaya perkongsian kita secara menyeluruh.

Apa yang malang, kita sebagai pengguna rata-ratanya cenderung ke arah perkongsian yang bersifat sensasi. Ramai berkongsikan video yang jelas tak patut ditonton, seperti insiden pergaduhan yang memaparkan serangan fizikal di dalamnya. 

Antara jenis video yang sangat popular di kalangan warga siber adalah video suami belasah isteri, orang ramai belasah peragut, pemandu bergaduh sama pemandu atas jalan raya.

Pusing-pusing, topiknya tak lari jauh mana. Kita yang tonton pun boleh sama-sama berkongsi emosi suka duka bersama dengan individu yang dipaparkan di dalamnya.

3. Video kemalangan ngeri disebar selamba

rakaman kemalangan ngeri jadi perkongsian

Satu lagi perkongsian video yangkonsisten dimuat naik, adalah video-video kemalangan jalan raya yang mengerikan. Jika isi kandungan video hanya memaparkan bagaimana kemalangan itu boleh berlaku, bolehlah kita maafkan lagi.

Namun ada pula jurukamera tidak rasmi yang berada di tempat kejadian, rajin turun dari kenderaan masing-masing dengan telefon pintar di tangan; mahu merakamkan gambaran insiden kemalangan itu. 

Tukang rakam pula mungkin kerana terlebih berani, bijak memfokuskan lensa kepada mayat yang bergelimpangan. Terpaparlah kepada umum apa yang tak patut dikongsi, diedar ke sana ke mari menerusi setiap platform media sosial yang ada.

Video sebegini sudah jadi satu bentuk perkongsian biasa, ditonton segelintir orang tanpa ada rasa simpati memikirkan nasib si mati dan keluarga mereka. Anehnya, bila diajak menonton filem mengerikan, dia kata dia takut pula...

4. Buka aib pekung diri/rumahtangga sendiri secara terbuka

viral kahwin

Memuat naik rakaman kemesraan suami isteri ke media sosial memang mampu memualkan kita.

Yang lebih memualkan daripada itu, adalah perang perkongsian suami dan isteri saling mengkritik satu sama lain di media sosial akibat perselisihan rumah tangga. Yang buat situasi jadi lucu, perang itu berlaku ketika kedua-duanya masih sah bergelar suami isteri.

Sudahlah si lelaki dan wanita saling tuduh-menuduh dan masing-masing mahu menegakkan benang yang basah, tak cukup dengan itu mak ayah, sepupu, anak-beranak, atuk nenek pun nak rakam video kongsikan pandangan terhadap isu itu kepada umum. 

Siapa yang rugi dalam isu ni? Kita semua.

Tak pasal-pasal kita pula kena menghadap masalah keluarga mereka, sehingga kita sebagai masyarakat berpecah belah pilih kem; sokong si lelaki atau si wanita, keluarga belah lelaki atau wanita. Atuk atau nenek dan sebagainya. 

Bila dah hangat isu, mesti ada seorang dua pempengaruh yang tak berkait sibuk nak menyelit into the scene kongsi pandangan, tanpa ada orang minta pandangan dia. 

5. Berbalas-balas video kritik dan mengumpat sesama kita

netizen biasakan budaya mulut celupar

Berkait dengan kelakuan di atas - media sosial jika kita benar-benar menggunakannya ke arah kebaikan, memang penulis akui banyak keberkesanannya. Dapat duduk dalam komuniti maya yang berkongsi minat serupa menarik dan sangat membantu kita.

Bagaimanapun kami anggarkan 80% daripada apa yang kita baca dan tonton di media sosial setiap hari adalah kandungan sensasi yang dimuat, khas untuk membesarkan perbalahan atau kontroversi yang sedang hangat.

Sebagai pengguna media sosial yang aktif, anda pasti gemar mengikuti isu-isu hangat yang tular. Pernah tak anda terfikir apa keperluan untuk kita tahu, bincang, tafsir dan faham isu-isu hangat itu?

Apa faedahnya kepada kita bila kita berkongsi pandangan tentang sesuatu isu hangat?

Kita kejarkan interaksi yang bakal tercetus, tak kiralah interaksi positif, negatif atau neutral kerana media sosial mampu memberikan kita rasa 'puas' tatkala apa yang kita muat naik merangsang netizen memberi maklum balas kepada kita.

Budaya saling mengkritik, serang menyerang dan gigih mahu memperbetulkan orang lain ni...patut dibiasakankah pada pandangan anda? Atau kita jadi sedemikian rupa, kerana media sosial telah mengubah pemikiran kita?




Hakcipta iluminasi.com (2017)