Selepas Google mengumumkan akan menarik diri daripada terus menawarkan perkhidmatan mereka di China pada tahun 2010, syarikat enjin carian China - Baidu mula mengorak langkah agresif membeli kebanyakan pesaing yang ada. Kini mereka telah pun lebih menguasai 80% pasaran enjin carian di negara tersebut.
Awal bulan Ogos 2018, Google mengumumkan minat untuk kembali semula ke China dengan janji untuk mematuhi permintaan serta larangan pemerintah China yang dikenakan ke atas mereka. Antara syarat yang dikenakan ke atas Google adalah sekatan ke atas kata kunci yang sensitif, khasnya berkaitan dengan kerajaan China sendiri.
BESARKAN TEKS A- A+
Perkataan 'hak kemanusiaan', 'demokrasi', 'agama' dan 'protes' menjadi antara kata kunci carian yang perlu diselia sebelum Google dibenarkan kembali ke China.
Kenapa Google meninggalkan China dulu?
Pada tahun 2010, satu pasukan penyiasat/penggodam yang didakwa beroperasi atas arahan kerajaan China telah memecah masuk ke dalam sistem Gmail kelolaan Google, bagi mendapatkan maklumat berkaitan individu-individu yang dikhuatiri terlibat dengan gerakan kemanusiaan dan anti kerajaan. Ini menimbulkan perang dingin di antara Google dan kerajaan China ketika itu.
Selain tindakan tersebut, Google juga dikatakan tidak bersetuju dengan permintaan kerajaan China yang mahu menyekat kebebasan bersuara rakyat mereka sendiri di internet. Wakil Google menyatakan keengganan mereka untuk terus menurut sekatan-sekatan yang diarahkan, agar mereka dapat terus beroperasi di negara tersebut.
Ini mengakibatkan Google mengambil langkah drastik - menghentikan operasi mereka selepas lebih 3 tahun beroperasi di bawah seliaan yang dikenakan sejak 2006. Kritikan masyarakat khasnya warga Amerika Syarikat terhadap Google yang tunduk kepada permintaan kerajaan China sepanjang tempoh tersebut, memaksa Google menilai semula kerjasama mereka dengan pemerintah China.
Pada peringkat pertama era 2006 hingga 2010 kerjasama Google dengan China, rakyat China pengguna Google yang melakukan carian imej dengan kata kunci 'Tiananmen' sebagai contoh, tidak dapat melihat gambar-gambar lama insiden buruk protes yang berlaku di lapangan itu pada tahun 1989.
Bagi terus menegakkan prinsip Google sebagai portal maklumat terbesar yang bersifat bebas, Google akhirnya mengambil keputusan menarik diri daripada pasaran besar China yang sangat lumayan. Ini membolehkan syarikat Baidu mula bangkit tanpa ada saingan yang mampu mencabarnya.
Taktik kotor Baidu meluaskan penguasaan
Kemasukan semula Google ke pasaran China bakal berdepan cabaran yang sangat berbeza, berikutan kedudukan Baidu sekarang.
Penganalisis berpendapat amat sukar untuk Google bersaing dengan Baidu di China, ekoran taktik agresif yang telah Baidu amalkan selama ini dalam menaikkan jumlah pengguna. Google tewas dalam percubaan pertama mereka sebelum menarik diri dalam semua aspek, termasuklah pemasaran dan penjualan iklan.
Selepas pencabar terdekatnya mengambil keputusan untuk tidak lagi menawarkan perkhidmatan mereka di China, Baidu melaksanakan taktik-taktik yang boleh disifatkan sebagai sangat agresif (dan kotor) dalammempercepatkan lagi penguasaan mereka.
Ketika era kafe siber masih popular sebelum lambakan telefon pintar murah, Baidu mengambil kesempatan membayar pengusaha-pengusaha kafe meletakkan laman utama mereka sebagai portal pemula pelanggan. Ini banyak membantu memperkenalkan jutaan netizen ketika itu di China dengan Baidu, sekaligus menjadikan Baidu 'portal rasmi' mereka.
Pengenalan laman Hao123.com, sebuah laman web penyenarai pelbagai jenis informasi dan pautan yang bertindak membawa pengguna ke hasil carian Baidu, meningkatkan lagi jumlah pengguna yang beralih daripada menggunakan Google. Google ketika masih di China, cuba memperkenalkan langkah serupa dengan pengenalan laman 265.com. Namun taktik agresif Baidu, yang dilihat tidak disekat kerajaan China menyukarkan Google memecahkan monopoli Baidu.
Laman web Hao123.com didapati melakukan beberapa pertukaran tanpa kebenaran pada pelayar internet pengguna, dengan mengambil kesempatan memasang program menjadikan laman web tersebut sebagai 'laman utama' yang akan dibuka sebaik saja pelayar dimulakan.
Pengenalan aplikasi mobil dan komputer atas meja oleh Baidu yang memasangkan aplikasi tambahan dengan cara sembunyi pada komputer dan peranti, menambahkan lagi pengguna Baidu yang berkembang 10% tahun ke tahun.
Dua syarikat, dua etika kerja berbeza
Pasti ramai yang sudah tahu motto syarikat Google yang sangat terkenal dulu - 'don't be evil' atau 'jangan bertindak jahat.'
Berbeza dengan pasaran Amerika Syarikat dan kebanyakan negara lain, etika perniagaan yang diamalkan di China mempunyai pendekatan yang berbeza berbanding biasa dan Google menyedari hakikat ini.
Ketika artikel ini ditulis, Google sedang dalam proses perbincangan bagi memasuki semula pasaran China dan bakal berentap kembali dengan Baidu untuk kali kedua.
Bagaimanapun, ramalan mengatakan besar kemungkinan Google akan tewas sekali lagi. Baidu mempunyai kelebihan besar dari segi bahasa dan informasi yang lebih mesra pengguna tempatan, sesuatu yang tidak dimiliki Google. Walaupun diramalkan pengguna di China yang menggunakan bahasa Inggeris berkemungkinan besar akan beralih kepada Google, majoriti netizen China masih lagi bergantung dengan bahasa asal mereka.
Apa yang menjadi isu ketika ini dan sedang hangat dibincangkan adalah kesediaan Google untuk mengubah prinsip mereka, khasnya dalam bidang kebebasan bersuara serta kebebasan maklumat semata-mata untuk menembusi pasaran China.
Tentangan daripada Kongres Amerika Syarikat sendiri yang mempertikaikan rancangan Google sedang berlangsung, selepas satu memo berkenaan rancangan Google dalam memasuki kembali pasaran China terbocor selepas diedarkan secara tidak sengaja di kalangan pekerja mereka sendiri.
Kebebasan informasi bakal dikawal tangan pemerintah kerajaan?
Siasatan yang dijalankan mendapati - Google telah pun menyediakan satu sistem baru yang dinamakan 'Project Dragonfly,' sebuah enjin carian baru yang dibina khas untuk pasaran China. Bagaimanapun, sistem itu turut sama didapati melanggar etika mampu untuk mengumpul maklumat pengguna internet di China.
Perkara ini sudah pun disahkan dalam keterangan Google kepada barisan Kongres Amerika pada 25 September 2018.
Apa yang membimbangkan, Google sendiri terpaksa mengakui sistem Project Dragonfly ini akan merekodkan kesemua kata carian serta lokasi pengguna, untuk dikongsikan dengan sebuah syarikat dari China yang belum diketahui identitinya. Apa yang paling dikhuatiri ketika ini, Google sebenarnya sedang mencipta enjin carian tersebut bagi kerajaan China, untuk membolehkan Google kembali beroperasi di sana.
Ini membuktikan, walau dalam syarikat sebesar dan 'sebaik' Google sekalipun, seandainya Google mendapat tekanan daripada kerajaan-kerajaan negara besar lain seperti Russia, Turki, Iran atau Mesir sebagai contoh - Google tidak akan lagi menegakkan prinsip kebebasan maklumat yang telah mereka pegang selama ini, malahan akan tunduk pada desakan pemerintah dalam menjaga imej dan kepentingan kerajaan-kerajaan ini kelak.
Mungkin perubahan ini berlaku disebabkan pada tahun 2015, Google tidak lagi mengamalkan prinsip 'jangan bertindak jahat' dalam motto syarikat mereka. Kesimpulannya, Google pun kena cari makan juga.
Rujukan