Kredit foto: Instagram Nabila Razali
Penyanyi Pematah Hati, Nabila Razali berasa terancam selepas menerima tweet berbaur ugutan di laman Twitter.
Nabila yang mengakui sudah terbiasa dengan kecaman, bagaimanapun kurang berpuas hati apabila pengguna laman mikro itu bersikap keterlaluan.
"Saya menyanyi di dalam MRT tempoh hari atas undangan pihak TV3 bagi mempromosikan Anugerah Juara Lagu. Tapi perkara itu disalahertikan oleh segelintir netizen yang anggap saya sengaja buat bising.
"Ada salah satu tweet tu ditulis nak tumbuk saya kalau jumpa saya di sana. Kenapalah sampai nak tumbuk, bukan saya buat salah pun. Tren yang​ kami naik itu juga merupakan tren khas untuk kempen pertandingan AJL dan tidak pun menganggu penguna MRT lain," katanya kepada portal Mstar Online.
Nabila mengulas tentang pemilik akaun Twitter @pikajue yang menulis kiriman berbunyi, "Kalau aku dalam MRT ni, mau aku tumbuk perempuan ni".
Kredit foto: Mstar
Penyanyi kelahiran rancangan realiti Akademi Fantasia 2013 ini memuat naik paparan skrin berkenaan sambil bertanya kepada peminat, adakah dia perlu membuat laporan polis selepas merasa keselamatannya terancam.
Biarpun begitu, Nabila akhirnya membuat keputusan untuk mengabaikan tweet berkenaan kerana dianggap hanyalah usikan nakal.
Begitupun, beliau tetap mengingatkan netizen supaya tidak mengulangi perkara sama pada masa mendatang.
"Setelah perbincangan dengan pengurusan rasanya tak perlu sampai nak buat laporan polis dan anggap itu mungkin hanya usikan nakal netizen.
"Namun, saya harap tidak jadi perkara macam ni kerana kita hidup dalam negara yang aman kenapa perlu ada sikap negatif sebegitu," ujarnya.
Sumber berita: Mstar