Oleh pada 17 Nov 2017 kategori

Kredit foto: Instagram Fikry Ibrahim

Pelawak dan pelakon, Fikry Ibrahim, kecewa dengan dakwaan kononnya dia makin sombong serta datang lewat ke set penggambaran.

Kata beliau, untuk memberikan kerjasama yang baik kepada pihak produksi, dia sentiasa tiba awal di lokasi.

“Saya memang sentiasa pastikan menjaga masa ditetapkan supaya tidak menyusahkan produksi dan pelakon lain. Jika lewat pun tidak lebih 15 minit," katanya memetik laporan Harian Metro.

Mengulas lebih lanjut dakwaan itu, Fikry berkata, dia akan terlebih dahulu memaklumkan kepada pengurus produksi sekiranya tidak mampu menepati masa.

“Jika ada hal lain, saya akan maklumkan terlebih dulu kepada pengurus produksi supaya tiada masalah," katanya.

Bintang yang mencipta nama menerusi program realiti Lawak Solo ini, berkata pernah sekali sahaja dia tiba lewat di lokasi, namun dengan keizinan produksi.

“Saya pastikan tiba awal di lokasi kerana mahu mengkaji watak. Ini perlu agar saya dapat memberi lakonan seperti dikehendaki pengarah," katanya.

Menurut Fikry, dia tidak gemar membuang masa di lokasi dan akan bertanya sekiranya mereka melengahkan penggambaran.

“Mungkin pertanyaan saya agak kasar hingga mereka terasa hati. Saya minta maaf. Bagi saya biar penat bekerja tapi bukan penat menunggu,” jelasnya.

Fikry pernah membintangi beberapa drama popular, antaranya Hero Seorang Cinderella, Cekelat Semanis Honey dan Kerna Syurga Bukan Percuma.

Sumber berita: Harian Metro




Hakcipta iluminasi.com (2017)