Oleh pada 17 May 2018 kategori

Empayar Rom Purba dikatakan antara empayar paling berjaya yang pernah wujud dalam rekod sejarah manusia. Empayar ini bertahan selama lebih daripada satu milenium, dan sehingga kini, ianya merupakan satu-satunya empayar yang pernah mengawal keseluruhan kawasan Mediterranean. Pada kemuncak kekuasaannya, empayar tersebut meliputi tiga buah benua, dengan kawasan seluas 2 juta batu persegi. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Letusan Gunung Berapi Mount Vesuvius Pada Tahun 79 AD

letusan mount vesuvius 79 ad

kawasan terkesan letusan mount vesuvius 385

Empayar ini juga dengan selesa berjaya menewaskan beberapa pasukan tentera terkuat daripada empayar purba yang lain. Walaubagaimanapun, tidak ada apa yang dapat dilakukan oleh empayar Rom Purba ketika berlakunya bencana alam semulajadi pada tahun 79 AD, yang sekali gus menenggelamkan salah sebuah bandar Rom yang terkenal iaitu Kota Pompeii, yang kini terdekat di daerah berhampiran bandar Naples. 

Pada 24 Ogos 79 AD, sebuah gunung berapi iaitu Mount Vesuvius telah meletus dan menghamburkan lava serta abu ke udara, sekali gus menyebabkan kehancuran yang sangat binasa kepada seluruh Kota Pompeii serta segala kehidupan yang ada di dalamnya. Letusan tersebut telah direkodkan sangat kuat, dan ada pakar yang membandingkannya dengan letupan bom atom yang dilepaskan oleh tentera Amerika Syarikat terhadap dua buah bandar Jepun iaitu Hiroshima dan Nagasaki ketika Perang Dunia ke-2. 

Sebenarnya Mount Vesuvius sudah lama tidak aktif, dan tiada siapa langsung menyangka bahawa ia akan meletus lagi. Letusan pada 79 AD telah mengeluarkan lava yang sangat panas, yang seterusnya menggelamkan Kota Pompeii dan beberapa buah bandar lain yang berdekatan, termasuklah bandar Herculaneum, Oplonti dan Stabiae. Letusan tersebut turut mengakibatkan kematian ribuan mangsa. Menurut rekod, bandar tersebut didiami oleh 16,000 hingga 20,000 penduduk, namun hanya sekitar 1,500 mangsa telah ditemui.

Maklumat Terperinci Mengenai Kejadian Itu Diperolehi Melalui Surat

pliny the younger 293

Kejadian tersebut berlaku dengan sangat pantas, dan Kota Pompeii bersama mangsa-mangsa tertimbus di dalam abu selama lebih daripada 1,700 tahun. Letusan gunung berapi yang sangat dahsyat itu menghasilkan sejumlah besar abu dan serpihan lava yang lebur, menyebabkan mayat-mayat mangsa yang mati mengeras seperti batu, kelihatan seolah-olah seperti patung. Keadaan rumah, hasil seni, barang kemas, skrol dan lain-lain artifak sejarah turut menerima nasib yang sama. 

Maklumat terperinci mengenai kejadian letusan gunung berapi Mount Vesuvius pada tahun 79 AD ini telah ditulis oleh seorang lelaki yang hidup pada zaman tersebut, iaitu Pliny the Younger. Beliau menyaksikan peristiwa tragis itu daripada Bay of Naples di Misenum. Malapetaka semulajadi ini dijelaskan melalui surat yang ditulis oleh Pliny the Younger kepada ahli sejarah terkenal empayar Rom iaitu Tacitus. 

surat pliny the younger

Sebanyak 247 surat yang ditulis Pliny the Younger telah terpelihara selama beribu tahun, dan ianya menceritakan kejadian tersebut secara terperinci dan akibatnya kepada Kota Pompeii, Mount Vesuvius dan bapa saudaranya yang turut terkorban. Menurut surat-surat tersebut, para penduduk langsung tidak menyangka akan letusan itu, dan terkejut ketika ianya berlaku. Menurutnya lagi, ketika sebelum Mount Vesuvius meletus, ibunya telah melihat 'awan bersaiz luar biasa dan sedikit aneh'.

Menceritakan tentang awan itu, Pliny the younger menambah:

Awan tersebut naik dari sebuah gunung pada ketinggian yang kami tidak ketahui, namun kemudiannya kami sedar ianya adalah Vesuvius. Saya boleh terangkan bahawa bentuknya kelihatan seperti pokok pine. Awan ini naik ke langit melalui sebuah batang yang sangat panjang, dan kemudiannya berkembang kepada beberapa ranting. Saya bayangkan ia naik disebabkan oleh letupan yang secara tiba-tiba, yang kemudiannya menjadi lemah, meninggalkan awan tersebut tanpa sokongan, dengan beratnya menyebabkan sebarannya ke sisi. Sebahagian daripada awan tersebut berwarna putih, sebahagian lagi terdiri daripada tompokan kotoran dan abu. 

Kesimpulan

kota pompeii

Bandar Rom yang dahulunya meriah telah ditelan sepenuhnya oleh abu dan lava lebur, dan hanya berjaya ditemui semula ribuan tahun kemudian pada penghujung tahun 1500an. Fasa penerokaan hanya bermula pada pertengahan abad ke-18, di mana para ahli arkaeologi terkejut melihat keseluruhan kota masih utuh bersama dengan mayat mangsa yang telah menjadi batu, 'membeku' ketika minit-minit akhir hidup mereka, serta terpelihara di bawah lapisan abu yang mengelilingi mereka. 

Penemuan 'bekuan' Kota Pompeii bersama 'rakyatnya' membolehkan para arkaeologi, ahli sejarah serta pakar antropologi untuk membuat kesimpulan tentang gaya hidup manusia yang tinggal di kota itu, serta beberapa perincian lain tentang budaya masyarakat Rom Purba. 

Sumber:

  1. en.wikipedia.org
  2. thevintagenews.com



Hakcipta iluminasi.com (2017)