Dalam kajian sejarah manusia, wujud beberapa insiden atau kejadian yang menyebabkan penurunan jumlah manusia yang ada di muka bumi secara ketara. Selain wabak penyakit, bencana alam kerap kali dikatakan penyebab kematian manusia secara besar-besaran.

Salah satu insiden yang kerap kali disebut sebagai insiden terburuk yang menurunkan kadar jumlah manusia ke tahap paling rendah; dipercayai berlaku 75,000 ribu tahun dahulu di Tasik Toba, Indonesia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tahukah anda, pada satu ketika dulu - penyelidik berpendapat wujudnya titik dalam tamadun manusia yang hampir-hampir menyebabkan kepupusan kita? Titik yang dinamakan sebagai 'titik kesempitan genetik' atau 'genetic bottleneck' ini berlaku dalam tempoh yang panjang sebelum manusia kembali beranak-pinak semula.

Letusan gunung berapi yang menutupi matahari

Rekod-rekod sejarah sudah menunjukkan beberapa kali insiden gunung berapi berlaku, sehingga menyebabkan langit ditutupi oleh debu dan asap yang keluar terlalu tebal sehingga menenggelamkan cahaya matahari daripada sampai ke bumi.

teori kemusnahan toba bencana manusia hampir pupus

Perubahan yang berlaku terhadap iklim bumi selepas beberapa insiden ini, mampu mengubah alam sekitar - memberikan kesan besar pada masyarakat yang tinggal di kawasan terjejas ketika itu.

Sebagai perbandingan dengan apa yang berlaku di Danau Toba 75,000 tahun dahulu - satu insiden hampir serupa berjaya direkodkan adalah letupan Gunung Tambora yang terletak di Kepulau Sunda, Indonesia. Letupan gunung berapi terbesar dalam sejarah moden yang berjaya direkodkan itu berlaku pada 10 April 1815, menyebabkan habuk, debu dan gas sulfur dioksida dibebaskan di udara sehingga menurunkan cuaca bumi sebanyak 3 darjah celcius secara purata. Letusan ini juga menyebabkan berlakunya tempoh panjang cuaca mendung dan gelap di kawasan sekitar Amerika Utara dan Eropah.

Hasil daripada letusan itu, masalah kekurangan makanan mula berlaku menyebabkan penyebaran wabak serta pergerakan migrasi manusia dalam mencari lokasi di mana keadaan lebih baik.

Walaupun letusan Tambora diletakkan sebagai letusan gunung berapi terkuat yang pernah direkodkan, jumlah korbannya pula direkodkan hanya pada tahap 71,000 orang mangsa; 12,000 ribu orang meninggal akibat letusan sementara selebihnya akibat kesan perubahan daripada letusan itu.

Dalam kes tahun 1815 itu, perubahan iklim akibat kesan letusan itu hanya ditemui lebih kurang setahun selepas letusan itu berlaku. Gas sulfur yang dilepaskan telah  berkumpul di lapisan stratosfea, membentuk lapisan gas selepas bertindak balas dengan air.

Gas itu kemudiannya naik melepasi lapisan awan, menutup cahaya suria sehingga mampu menyejukkan bumi, menyebabkan masyarakat yang hidup pada zaman tersebut di beberapa lokasi terpaksa melalui lebih setahun tempoh bergelap. Beberapa kawasan kekal bersalji pada musim bunga, sehinggakan banyak tumbuhan tidak dapat hidup menyebabkan orang ramai mengalami kekurangan sumber makanan.

Ketika itu, kisah orang ramai meneruskan hidup dengan menjamah haiwan seperti burung merpati dan rakun kerap kali diceritakan. Semuanya dilakukan untuk terus kekal hidup. Insiden perubahan iklim akibat letusan Gunung Tambora ini banyak membantu penyelidik dalam memahami dengan lebih mendalam letusan gunung berapi terkuat dalam sejarah tamadun manusia yang terjadi di Danau Toba.

'Debunk' pendapat manusia hampir pupus

toba eruption supervolcani

Penyelidik 'teori kemusnahan Toba' mendakwa selepas berlakunya letusan gunung berapi Toba sekitar 75,000 tahun dahulu, telah menyebabkan berlakunya iklim bumi yang dinamakan sebagai musim sejuk gunung berapi (volcanic winter) selama lebih 10 tahun, menyebabkan banyak tanaman serta spesis haiwan kepupusan.

Kesan abu-abu yang dimuntahkan menutupi langit telah menyebabkan suhu bumi menurun selama lebih 1,000 tahun sehinggakan para penyelidik berpendapat jumlah manusia yang selamat ketika itu hanyalah sekitar berapa ribu orang. Kajian yang dilaporkan pada tahun 2003 mendapati ada pendapat jumlah manusia pada era letusan itu hampir pupus, dengan hanya kurang 10,000 orang yang selamat.

Kajian yang telah dijalankan di negara kita juga mendapati sebahagian besar tanah di negara kita ketika itu diliputi abu letusan Toba yang tebal, dengan beberapa kawasan mencecah 9 meter ketebalannya - membentuk permukaan bumi yang kita duduki sekarang. Hasil letusan itu, permukaan di sekitar gunung berapi Toba berubah membentuk kaldera, kawasan lohong yang muncul disebabkan pelepasan magma gunung berapi sehingga terhasillah Danau Toba yang boleh kita lawati sekarang.

Teori popular ini dianggap sebagai pendapat terbaik dalam menjelaskan bagaimana permukaan bumi terbentuk selain daripada perubahan pada jumlah manusia selama lebih 20 tahun, sebelum satu kajian yang dijalankan pada tahun 2017 mendapati kesan buruk diramalkan berlaku akibat letusan gunung berapi Toba, tidaklah seburuk yang kita sangkakan.

Dengan menggunakan sampel tanah yang diperolehi sekitar Tasik Malawi yang terletak di negara Tanzania dan Mozambique yang dipercayai salah satu lokasi terbesar abu-abu Toba gugur, penyelidik mengkaji tindakbalas yang telah berlaku terhadap mendapan tanah yang berbentuk semasa letusan Gunung Toba.

Eksperimen yang dijalankan ke atas sampel mendapan mendapati tidak berlakunya penyejukan ketara seperti yang dipercayai telah berlaku selama ini, di kawasan tersebut.

Penemuan ini memperjelaskan bahawa teori yang menyebut manusia berdepan kepupusan akibat letusan gunung Toba, tidak terpakai di kawasan sekitar benua Afrika kerana manusia yang ada di situ walaupun tetap berdepan kesukaran, tidaklah mengalami kematian mendadak dalam jumlah tinggi akibat perubahan iklim seperti yang diperkatakan.

Kesan letusan Gunung Toba pada hari ini

sejarah terbentuknya danau toba

Walaupun dakwaan yang menyangkal teori kemusnahan Toba ke atas spesis manusia berjaya ditemui, kesan letusan gunung itu tetap dirasai sehingga kini.

Perubahan iklim yang terjadi 75,000 tahun dahulu tetap menyebabkan kesukaran pada manusia, dengan kawasan sekitar Afrika merupakan lokasi paling selamat bagi manusia berbanding benua-benua lain. Oleh kerana sukar bercucuk tanam akibat perubahan cuaca, kumpulan-kumpulan manusia di Afrika ini mula menggunakan sumber laut sebagai sumber makanan utama.

Dalam kajian letusan Toba ke atas spesis haiwan pula, beberapa jenis haiwan didapati mengalami penurunan jumlah yang ketara seperti haiwan chimpanzee Afrika, orang utan Borneo, monyet jenis macaque yang banyak di India serta beberapa spesis harimau. Bagaimanapun, jumlah spesis-spesis ini kembali meningkat selepas bencana besar itu.

Jadi, persoalan besar di sini - bolehkah bencana sebesar Toba atau Tambora berlaku lagi?

Jawapannya - boleh. Letusan gunung berapi Tambora yang terjadi pada tahun 1815 diramalkan akan terus berlaku setiap 1,000 tahun sekali. Selain itu, beberapa letusan kecil yang berlaku seperti letusan gunung Krakatoa pada tahun 1883 yang juga terletak di Indonesia, telah direkodkan mampu menyebabkan penurunan suhu sebanyak 1 darjah celcius walaupun dengan hanya kekuatan 1/6 sahaja daripada kekuatan Gunung Tambora.

Kejadian terbaru letusan gunung berapi yang direkodkan telah menurunkan suhu bumi, terjadi pada tahun 1991 selepas Gunung Pinatubo di Filipina meletup sehingga menurunkan suhu bumi pada purata 1 darjah celcius.

Kajian untuk membuktikan wujudnya hubungan di antara letusan gunung berapi sebagai satu mekanisme semula jadi penurunan suhu bumi, sudah lama dijalankan. Bermula pada era 1970-an, penyelidik telah berjaya meramalkan wujudnya hubungkait di antara kedua-duanya dalam ekosistem bumi yang sangat kompleks.

Hari demi hari, kita semakin memahami peranan yang dimainkan gunung berapi dalam membantu menurunkan suhu bumi yang semakin lama semakin panas, akibat angkara manusia. Tetapi adakah manusia boleh benar-benar bersedia untuk berhadapan dengan perubahan iklim bumi sekiranya letusan sebesar Tambora atau lebih dahsyat sekuat Toba, terjadi semasa hayat kita?

Rujukan

Kajian yang 'debunk' teori kemusnahan Toba

Journal of Human Evolution




Hakcipta iluminasi.com (2017)