krakatau

Letusan gunung berapi merupakan satu daripada bencana alam yang ada di atas muka bumi. Ia terbukti mampu memberikan impak yang sangat dasyat ke atas muka bumi dan mengubah kehidupan dunia dari segi populasi serta perubahan iklim.

iluminasi.com ingin berkongsi 3 letusan gunung berapa yang paling dasyat dalam sejarah.

1. Gunung Laki (Grímsvötn)

gunung laki

BESARKAN TEKS     A-  A+

Lokasi : Iceland

Anggaran mangsa : 5 juta

Berlaku pada tahun 8 Jun 1783, letusan Gunung Laki yang terletak di selatan Iceland ini telah mengorbankan beberapa juta nyawa di serata dunia. Ia berlaku dalam tempoh masa yang agak lama iaitu 8 bulan di antara Jun 1783 dan 1784. Letusan terbesar di dunia ini telah meluahkan anggaran 42 billion tan atau 14 kilometer kubik lava basalt. Kepulan asap beracun yang mengandungi asid hidroflorik dan sulfur dioksida juga dilepaskan dalam letusan itu yang telah mencemarkan tanah sekitar menyebabkan kematian 50% daripada ternakan di Iceland dan kemusnahan sebahagian besar tanaman.

lava 3

Kematian ternakan dan kemusnahan tanaman telah menyebabkan berlakunya kelaparan yang akhirnya membunuh 25% daripada populasi iaitu 10,000 penduduk Iceland ketika itu. Sebanyak 20 buah kampung musnah disebabkan aliran lava. Sebanyak 120 juta tan sulfur dioksida telah mencemari Hemisfera Utara yang menyebabkan tanaman di Eropah rosak dan mungkin meyebabkan India dan Afrika Utara mengalami kemarau. Letusan ini juga dikatakan telah merubah Iceland selama-lamanya. 

Letusan ini terlalu hebat sehinggakan abu dan asapnya bergerak sehingga ke China sejauh 7,773 kilometer yang disedari pada 1 Julai 1783. Purata suhu di utara Alaska adalah 11.3ºC namun pada Mei hingga Ogos 1783, purata suhu turun mendadak menjadi 7.2ºC yang berkemungkinan disebabkan letusan ini. Ia juga telah menyebabkan anggaran 23,000 kematian di Britain dan 1 juta di Perancis serta ditempat lain yang tidak dapat dikenalpasti.

2. Gunung Huaynaputina

huaynaputina

Lokasi : Peru

Anggaran jumlah mangsa : 2 juta ++

Huaynaputina adalah gunung berapi kategori "stratovolcano" yang terletak di selatan Peru. Dikatakan bunyi kuat dan kabus seakan-akan gas dikeluarkan oleh gunung ini, beberapa hari sebelum letusan berlaku. Aktiviti gunung berapi ini kelihatan kian aktif pada 15 Februari dan gempa bumi mula dirasakan penduduk sekitar. 3 hari kemudian, gegaran semakin kerap berlaku antara 3 hingga 4 kali setiap 15 minit. Gegaran itu cukup kuat untuk membangunkan mereka yang sedang nyenyak tidur.

Namun, pada keesokan harinya iaitu 19 Februari 1600, Gunung Berapi Huaynaputina telah meletus dengan dasyatnya yang mengeluarkan abu  dan mereka yang melihat kejadian tersebut menggambarkan ia seperti letupan meriam. Batu-batu gunung berapi jatuh daripada gunung ini dan bercampur dengan Sungai Tambo di bahagian selatan lalu menghasilkan lahar. Abu yang dilepaskan ke udara mula jatuh dari langit 1 jam selepas letusan berlaku, dan dalam masa 24 jam, abu setebal 25 sentimeter menyelubungi ruang udara bandar Arequipa.

huaynaputina 2

tephra

Letusan tersebut berterusan secara berselang-seli selama hampir sebulan dan berakhir pada 5 Mac. Letusan ini telah menghasilkan 30 kubik kilometer tephra dan pyroclastic (kedua-duanya adalah serpihan batu) yang mengalir sejauh 13 kilometer. Lahar yang terhasil telah memusnahkan beberapa buah kampung dan bergerak sehingga ke pantai Laut Pasifik yang berada 120 kilometer dari gunung tersebut. Dilaporkan abu-abu tersebut bergerak sejauh 250 hingga 500 kilometer dari gunung Huaynaputina sehingga ke selatan Peru dan utara Chile serta barat Bolivia.

Kematian secara langsung yang disebabkan oleh letusan ini adalah sebanyak 1,500 nyawa dan memusnahkan 10 buah kampung. Namun, letusan ini juga dikatakan menjadi penyebab kepada kelaparan terburuk yang berlaku di Rusia dari 1601 sehingga 1603 mengakibatkan kematian hampir 2 juta nyawa. Selama 150 tahun masa diperlukan untuk memulihkan ekonomi agrikultur disebabkan oleh insiden ini.

3. Gunung Tambora

tambora

Lokasi : Indonesia

Anggaran jumlah mangsa : 71,000++

Terletak di pulau Sumbawa, Indonesia, Gunung Tambora adalah gunung berapi kategori stratovolcano dan puncak tertinggi di kepulauan itu iaitu 4,300 meter dari aras laut. Letusan terburuk pernah dicetuskan oleh Gunung Tambora yang juga merupakan yang terburuk di Asia ialah pada tahun 1815. Letusan ini mempunyai indeks letupan gunung berapi pada tahap 7 (VEI 7), yang mana nilai maksimumnya adalah 8. Ia merupakan satu-satunya letusan yang jelas dengan VEI-7, selepas letusan oleh Lake Taupo pada tahun 180 AD.

Letusan ini telah mengeluarkan tephra (serpihan batu gunung berapi) berjumlah 160 kilometer kubik dan meletup dari pusat yang mengalirkan aliran piroklastik serta menyebabkan runtuhan kawah. Disebabkan ini, kemusnahan tanah di sekitar berlaku serta terjadinya tsunami, yang mengakibatkan kesan jangka masa panjang kepada iklim global. Letusan ini berhenti pada 15 Julai 1815 dan terdapat aktiviti susulan pada Ogos 1819.

tambora 2

kesan volkano

Letusan pada tahun 1815 ini merupakan letusan yang terburuk dalam jangka masa 2,000 tahun, dan telah mengorbankan sekurang-kurangnya 71,000 nyawa. Daripada jumlah itu, hampir 12,000 nyawa mati secara langsung daripada letusan tersebut, dan baki yang lain mati akibat penyakit dan kelaparan yang disebabkan oleh kemusnahan produk agrikultur seperti ternakan dan tanaman.

Rujukan : List of volcanic eruptions by death toll




Hakcipta iluminasi.com (2017)