Kredit foto: Instagram Wak Doyok

Aktor dan ikon fesyen Wak Doyok mempunyai pendirian tegas untuk mengekalkan imej bermisai. 

Malah sebelum ini Wak Doyok atau nama sebenarnya Mohd Azwan Md Nor sanggup menolak tawaran bernilai RM1 juta yang menuntut untuk memotong misai serta jambang.

Kata Wak, dia tidak rela menggandaikan identiti sedia ada walaupun untuk sebuah projek amal.

"Saya memang tidak pernah terfikir untuk mencukur misai dan janggut kerana ini adalah diri saya.

"Pernah sebelum ini ada pihak tawarkan saya RM1 juta untuk berbuat demikian tetapi saya tolak... tak sanggup!" katanya yang dipetik daripada portal Mstar Online.

Malah, aktor berusia 38 tahun itu juga enggan menerima tawaran lakonan yang menuntutnya untuk merubah penampilan wajah.

Wak menganggap tawaran sebegitu bukanlah berpihak kepadanya.

minta buang misai tawaran rm1 juta untuk wak doyok 2

Kredit foto: Instagram Wak Doyok

"Jika ada tawaran memerlukan saya mencukur jambang dan misai, saya tidak akan terima dan anggap ia bukan rezeki saya," tegasnya.

Menyentuh mengenai kerjaya lakonan, Wak berkata, kejayaan filem Abang Long Fadil 2 (ALF2) tidak akan membuatkannya menjadi aktor yang 'demand'.

Ini kerana dia lebih mengutamakan kesesuaian watak sekaligus meletakkan soal bayaran sebagai isu kedua.

Apatah lagi kejayaan ALF2 adalah gabungan hasil kerjasama keseluruhan pihak produksi dan bukanlah kerana dirinya seorang.

"Tidaklah kerana filem ini berjaya saya pun hendak meninggi diri kerana kejayaan Abang Long Fadil 2 adalah atas usaha semua.

"Saya pun masih baru dalam industri jadi soal 'demand' tidak timbul malah ia soal kedua, paling penting tawaran itu sesuai dengan saya," dedahnya.

Sumber berita: Mstar




Hakcipta iluminasi.com (2017)