Kebangkitan jenama-jenama kenderaan dari China nampaknya sedang melalui satu bentuk evolusi perubahan besar-besaran, dibantu oleh kerjasama antara syarikat Geely dan syarikat automotif negara kita Proton.

Perubahan ini nyata berjaya menghakis stigma masyarakat kita tentang kualiti kereta yang dikeluarkan negara tanah besar itu, seterusnya berjaya mencipta keyakinan kepada rakyat Malaysia untuk berkeinginan memiliki sebuah kereta keluaran China - walaupun jenamanya masih lagi jenama Malaysia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kami tidak tahu adakah evolusi penerimaan ini masih eksklusif disebabkan punca penglibatan Proton semata-mata atau benar-benar akan mengubah persepsi orang ramai terhadap kereta China.

Apa yang anda tahu tentang pasaran kenderaan di China? Jom kita belajar serba sedikit berkenaan industri automotif di sana.

China adalah pasaran kereta terbesar dunia

china pasaran kereta terbesar dunia

Pada tahun 2009, China secara rasmi menjadi pengeluar DAN pasaran kereta terbesar di dunia memintas Amerika Syarikat, yang sebelum itu mengungguli carta.

Dalam tahun tersebut, China berjaya mencatatkan pengeluaran sebanyak 13.79 juta unit kenderaan keseluruhannya serta berjaya merekodkan jumlah jualan sebanyak 13.64 juta semuanya.

Apa yang perlu anda tahu, perubahan yang berlaku dari China ini sebenarnya telah pun mula dirancang sejak era 1950-an lagi menerusi projek sokongan kerajaan yang dinamakan sebagai 'First Automobile Works' atau FAW.

hongqi ca72 kereta antik bersejarah

FAW membuka kilang pertama mereka pada tahun 1953 dan mula mengeluarkan kenderaan trak pada tahun 1956, hasil kerjasama dengan Kesatuan Soviet. Hanya pada tahun 1958, FAW mula mengeluarkan kenderaan penumpang pertama mereka dengan pengeluaran model FAW Hongqi CA72.

Pengeluaran ini serentak dengan dasar kerajaan China ketika itu yang mahu merapatkan jurang antara negara mereka dengan negara barat, menerusi dasar 'The Great Leap Forward' yang diperkenalkan Mao Zedong.

CA72 hanya dijual kepada agensi kerajaan dan pemimpin tertinggi kerajaan komunis, sebelum FAW memperkenalkan Dongfeng CA71 untuk jualan kepada awam.

Empat syarikat gergasi automotif China

saic gergasi automotif china

Nama Geely semakin popular di negara kita, namun di China - industri automotif mereka dikuasai oleh empat syarikat terbesar sehingga kini.

Syarikat kenderaan terbesar di China adalah SAIC Motor, yang mula mengeluarkan kenderaan penumpang pada tahun 1961 dan kini mendahului pasaran China dari segi pengeluaran.

Antara jenama yang dikeluarkan SAIC adalah jenama Britain MG, Yuejin dan Maxus. Jika anda perasan, ramai juga syarikat tempatan kita menggunakan van jenama Maxus sekarang.

maxus van popular perdagangan

Syarikat kedua adalah Dongfeng, yang lorinya semakin banyak berlegar atas jalanan negara kita. FAW pada ketika ini merupakan pengeluar kenderaan ketiga terbesar.

Sementara syarikat keempat yang dikategorikan gergasi automotif China adalah Chang'an. Syarikat ini telahpun memasuki pasaran kereta penumpang negara kita, melalui kerjasama dengan kumpulan Berjaya melalui jenama Chana.

Chang'an cuba memperkenalkan model Chana Era pada tahun 2009, yang dipasarkan sebagai MPV 5+2 tempat duduk termurah Malaysia, dijual pada harga RM39 ribu ke RM45 ribu. Namun sambutan terhadapnya mungkin kurang memberangsangkan.

Jenama nombor 1 di China

volkswagen lavida paling popular china

Walaupun pasaran China dikuasai oleh empat gergasi automotif mereka, jenama China sebenarnya menghadapi saingan yang cukup sengit dalam pasaran tempatan.

Volkswagen yang dikeluarkan dengan kerjasama bersama SAIC dan Volkswagen Jerman mendominasi jualan keseluruhan, diikuti Honda dan Toyota bagi tahun 2019. 

Jenama Geely menduduki tangga keempat dari segi jualan dalam tahun 2019 dengan Nissan menutup senarai, di tangga kelima.

Dari segi jualan, jualan Volkswagen Lavida menjadi model paling laris untuk pengeluar Jerman itu, sehinggakan jumlah jualan Volkswagen mendahului jumlah jualan Honda dan Toyota yang digabungkan.

Tapi model paling laku China bukan Volkswagen Lavida.

Model paling laku dalam pasaran China

wuling model paling laris di china

Apa model paling laku China?

Model kereta paling laris di China dipegang sebuah model MPV yang telah dikeluarkan sejak tahun 2010, dinamakan Wuling Hongguang; hasil kerjasama antara SAIC, GM dari Amerika Syarikat dan Wuling dari China.

Sebuah MPV 7 tempat duduk, sejak tahun 2016 lagi model ini menggungguli carta jualan disebabkan popularitinya - dibantu dengan harganya yang berbaloi sekitar RM32 ke RM40 ribu mengikut spesifikasi.

Pada bulan Ogos tahun 2020, Wuling melancarkan versi elektrik bagi model ini dengan saiz lebih kecil dan sambutannya - terlalu menggalakkan. Harganya pula hanya sekitar RM18 ribu. Murah kan?

Setakat ini, Wuling menjadikan dua negara berjiran kita iaitu India dan Indonesia sebagai fokus pasaran mereka namun seandainya harga yang ditawarkan sedemikian rupa serta sangat diyakini berbaloi dengan kualitinya - kami harapkan Wuling mulalah riki-riki bawa masuk model sama ke Malaysia.

Khabar angin berkenaan usaha membawa masuk itu sudah ada jadi sama-samalah kita tunggu, sekiranya model kenderaan dengan jualan nombor 1 di dunia ini bakal menjelajah negara kita pula.




Hakcipta iluminasi.com (2017)