Baru-baru ini kerajaan Jepun telah mengumumkan satu keputusan besar untuk melepaskan sahaja air yang mengandungi sisa radioaktif ke laut. Seperti dijangka, keputusan untuk melepaskan air buangan dari loji nuklear di Fukushima yang dilanda gempa bumi dan tsunami pada 2011 telah mencetuskan reaksi balas dari negara-negara jiran.
Banyak saintis percaya bahawa ini adalah satu-satunya pilihan yang realistik, tetapi kerajaan-kerajaan negara jiran, kumpulan nelayan dan persatuan-persatuan alam sekitar telah memberikan reaksi yang berbeza, kebanyakannya risau akan kesan buruk sisa radioaktif ini kepada ekosistem hidupan laut.
BESARKAN TEKS A- A+
Perdana Menteri Jepun Yoshihide Suga mengatakan pelepasan air buangan tersebut ke laut adalah pilihan paling realistik untuk pemulihan Fukushima, satu dekad setelah gempa besar dan tsunami mencetuskan kehancuran kilang nuklear disitu pada Mac 2011.
Tidakkah tindakan ini dianggap merbahaya kerana akan mencemarkan air laut dengan sisa-sisa radioaktif? Adakah tindakah ingin akan menyebabkan hidupan laut mengalami mutasi (antara inspirasi kepada penciptaan watak Godzilla) ?
Mengapakah tindakan ini diambil?
Secara ringkas, keputusan ini diambil kerana ruang untuk menyimpan air sisa hampir habis. Pada masa ini kra-kira 1.25 juta tan air radioaktif disimpan di Fukushima dan lokasi tersebut dijangka mencapai kapasiti penuh tahun depan, menurut pengendali kilang Tokyo Electric Power Company (Tepco).
Tepco ingin menamatkan operasi loji tersebut sepenuhnya tersebut antara tahun 2041 hingga 2051, tetapi ia tidak dapat meneruskan rancangannya jika lebih banyak tangki simpanan harus dibina untuk menampung air buangan tersebut. Maka, isu simpanan air buangan yang mengandungi radioaktif ini haruslah diselesaikan terlebih dahulu.
Nigel Marks, profesor fizik dan astronomi di Curtin University di Perth mengatakan teknologi pembersihan canggih dan terkini telah menyaring bahan radioaktif yang paling berbahaya dan bahan radioaktif yang kurang merbahaya seperti campuran tritium mahu atau tidak perlu "dibuang" ke suatu tempat juga akirnya.
Apa sebenarnya yang terdapat dalam air sisa buangan ini?
Untuk memahami mengapa isu ini mendapat perhatian antarabangsa terutamanya negara-negara yang berjiran dengan Jepun, kita perlu mengetahui apakah isi kandungan air yang ingin dilepaskan oleh Jepun ini ke laut.
Berikutan tragedi gempa bumi berkekuatan 9.0 pada 11 Mac 2011, tiga daripada enam reaktor di Loji Tenaga Nuklear Fukushima Daiichi menjadi terlalu panas. Kerosakan pada reaktor bermaksud air yang digunakan untuk menyejukkannya menjadi tercemar.
Walaupun kebanyakan unsur radioaktif dapat disaring oleh sistem yang dikenali sebagai ALPS (Advanced Liquid Processing System), tritium, bentuk hidrogen yang kurang radioaktif, tidak dapat disaring. Diperlukan sekitar 60-100 tahun untuk menukar ia sepenuhnya menjadi helium yang tidak berbahaya. Dalam spektrum unsur radioaktif, tritium berada di kumpulan yang ringan atau kurang merbahaya.
Tetapi beberapa bahan radioaktif lain mungkin masih terdapat dalam air sisa itu. "Terdapat senarai panjang bahan radioaktif lain yang mungkin ada seperti cesium-137 dan strontium-90. Unsur-unsur radioaktif ini mungkin wujud pada tahap tinggi ”kata Luk Bing-lam, ketua Persatuan Nuklear Hong Kong.
Adakah terdapat isu kesihatan?
Sebilangan besar saintis bersetuju bahawa kehadiran tritium tidak menjadi isu utama kepada masalah kesihatan.
Luk Bing-lam mengatakan ia akan dicairkan lagi oleh air laut. "Tritium boleh menyebabkan barah, sama dengan bahan radioaktif lain tetapi dosnya sangat rendah sehingga tidak mungkin menyebabkan barah dalam jangka panjang.
Jangka half-life tritium adalah sekitar 10 hari. Ini bermakna tritium tidak akan terkumpul di dalam badan kita dalam jangka masa yang panjang. Kerajaan Jepun merancang untuk mencairkan kepekatan tritium menjadi kurang dari 1.500 becquerel seliter, unit yang digunakan untuk mengukur radioaktiviti.
Nilai itu adalah kira-kira satu pertujuh daripada had yang disyorkan dalam air minum mengikut garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau 1 per 40 dari kepekatan yang dibenarkan di bawah standard keselamatan Jepun. Namun, terdapat keperluan untuk memantau unsur radioaktif yang lain.
Beliau mengatakan bahawa jika ada cesium-137 dan strontium-90, unsur-unsur radioaktif ini boleh memberi kesan yang lebih besar kepada kesihatan. Oleh itu, pemantauan ketat oleh masyarakat antarabangsa diperlukan untuk memastikan isotop tidak hadir pada tahap tinggi.
Bagaimanakah proses pelepasan air sisa ke laut dilakukan?
Di bawah rancangan yang dipersetujui oleh oleh kerajaan Jepun, Tepco akan mula membuang air radioaktif dalam masa dua tahun. Pembebasan air secara beransur-ansur ini akan memakan masa kira-kira 30 tahun dan dijangka berakhir sebelum proses penyahaktifan loji selesai.
Rancangan pelepasan ini telah disahkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA). "Kaedah pelupusan air yang telah dipilih oleh Jepun dapat dilakukan sesuai dengan piawaian antarabangsa namun jumlah air yang besar menjadikannya kes yang unik dan kompleks", kata ketua pengarah IAEA, Rafael Mariano Grossi.
Kredit: