Setelah berjaya dengan pembangunan 37 buah reaktor yang menghasilkan 32.4 gigawatt elektrik, China kini bakal menjadi peneraju utama dunia dalam industri nuklear maritim dengan pembinaan lagi 20 buah reaktor.
Selain itu, dengan kerjasama antara China National Nuclear Power (CNNP) dengan syarikat-syarikat perkapalan serta mesin elektrik di negara itu, China juga merupakan negara pertama yang membina loji kuasa nuklear di kawasan perairan terbuka secara besar-besaran.
BESARKAN TEKS A- A+
Loji kuasa nuklear terapung ini kebiasaannya dipasang pada badan kapal dan mempunyai kapasiti sekitar 25% daripada loji yang berada di atas darat. Ia dikhabarkan boleh menjana kuasa bagi pelantar-pelantar minyak dan pulau-pulau yang berada jauh dari pesisiran pantai. Selain itu, ia boleh bergerak menuju ke kawasan yang dilanda bencana untuk memberikan bantuan atau kepada mana-mana pelanggan yang mahukan tenaga elektrik dengan segera.
Amerika Syarikat, Rusia dan China
Memasang reaktor nuklear pada badan kapal ini sebenarnya bukanlah satu idea yang baru. Sebelum ini, Tentera AS telahpun membina reaktor terapung pertama yang dinamakan SS Sturgis MH-1A pada tahun 1967. Ia menyalurkan kuasa kepada Zon Terusan Panama dari tahun 1968 hingga 1975 sebelum dihentikan operasi pada 1977.
Beberapa dekad kemudian, Rusia pula melancarkan Akademik Lomonosov berukuran 70 megawatt dan seberat 21,000 tan pada tahun 2010. Kapal ini dijangka akan diatur posisinya ke Semenanjung Kamchatka di Vilyuchinsk sekitar tahun 2018 atau 2019.
Reaktor nuklear terapung sebenarnya mempunyai lebih banyak isu berbanding reaktor nuklear di darat. Penggunaannya sering menimbulkan kontroversi di kalangan masyarakat yang anti-nuklear. Apatah lagi dengan risiko isu keselamatan seperti kemalangan tidak berbau atau berlakunya cubaan rampasan oleh pengganas dan lanun.
Kenapa China ingin bina loji nuklear banyak di tengah laut?
Matlamat strategik utama kerajaan China untuk membina lebih banyak infrastruktur di Laut China Selatan ini adalah untuk memperkukuhkan lagi pegangan kuasa negara itu di sana. Ini disebabkan kawasan perairan itu sentiasa menjadi rebutan negara-negara jiran dan juga Amerika Syarikat.
Jadi, bila ada banyak kapal nuklear milik mereka berlayar dan lebih ramai warga China berada di wilayah itu, maka negara-negara lain pun jadi gerunlah nak ganggu.
Selain merebut kuasa di Laut China Selatan, China juga bakal mengatasi Amerika Syarikat dalam pasaran nuklear sebelum tahun 2026. Menurut BMI Research, China merancang untuk menjual dan membina loji nuklear di seluruh dunia sebagai salah satu usaha kerajaan dalam mengeksport teknologi dan mengatasi ekonomi domestik yang semakin perlahan.
Kalau reaktor nuklear menjadi komersial dan sangat mudah didapati, apa yang bakal terjadi pada dunia?
Rujukan:
2. China Daily
3. Bloomberg