Sebahagian besar daripada kita pastinya kenal akan watak raksasa Godzilla yang berasal dari Jepun. Watak raksasa bermuka hodoh ini dicipta oleh Tomuyuki Tanaka di Jepun pada tahun 1954.

Godzilla adalah raksasa fiksyen yang merupakan sebahagian daripada dunia "Kaiju" Jepun. Kaiju adalah perkataan bahasa Jepun yang bermaksud 'binatang pelik' dan dunia ini merangkumi banyak raksasa fiksyen lain.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Jika anda perasan, perkataan Godzilla adalah gabungan perkataan Jepun Gojira, yang terdiri dari dua perkataan - Gorira (Gorilla) dan Kujira (Paus). Walaupun asal-usul watak Godzilla belum pernah didedahkan, diketahui bahawa ia adalah spesies seperti dinosaurus lama yang telah mengalami banyak mutasi.

Melihat kepada ciri anatominya sahaja menunjukkan banyak ciri yang menyerupai dinosaurus baik daripada sisik di badannya dan tangan pendeknya sehinggalah bonjolan seperti duri di belakang badannya yang dapat disamakan dengan apa yang ada pada spesis Stegosaurus. 

Jika dilihat pada tarikh watak raksasa ini yang dicipta sekitar tahun 1954, ianya berlaku selepas peristiwa hitam Hiroshima dan Nagasaki di bom pada tahun 1945. Adakah peristiwa ini mempunyai perkaitan atau inspirasi terhadap penciptaan watak Godzilla ini?

Peristiwa pengeboman Hiroshima dan Nagasaki

pengeboman hiroshima nagasaki

Pada 6 Ogos 1945, bom atom ‘Little boy’ telah diletupkan di bandar Hiroshima di Jepun dan pada 9 Ogos 1945, bom ‘Fat Man’ diletupkan pula di Nagasaki. Peledakan dua bom atom ini merupakan serangan pertama seumpanya di dunia yang dilakukan oleh Amerika Syarikat dalam usaha mengakhiri Perang Dunia II.

Sebelum peristiwa pengeboman ini, tentera Jepun telah berjanji untuk bertarung tanpa henti dan langsung tidak menunjukkan tanda-tanda kesediaan untuk menyerah kalah. Walau bagaimanapun, peristiwa pengeboman ini mengubah segala-galanya./

Walaupun terdapat ribuan korban hasil daripada letupan itu, kesan sampingan daripada pengeboman itu lebih dahsyat kerana telah menyebabkan penyakit radiasi, keracunan, perubahan genetik pada keturunan dan sejumlah besar perubahan yang disebabkan oleh radiasi nuklear pada umumnya. 

Namun, kejadian letupan ini walaupun cukup menggerunkan bagi orang dan budaya Jepun, bukanlah pendorong utama penciptaan Godzilla. Ya, peristiwa pengeboman Hiroshima dan Nagasaki bukanlah pemberi inspirasi untuk penciptaan watak raksasa Godzilla.

Perlumbaan untuk menghasilkan senjata nuklear

raksasa godzilla

Selepas berakhirnya perang dunia kedua, perlumbaan menghasilkan senjata bermula. Dua kuasa besar (Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet) berlumba-lumba untuk menghasilkan dan menyimpan senjata nuklear dalam usaha mereka untuk muncul sebagai kekuatan dominan.

Salah satu aspek penghasilan senjata ini adalah menguji sendiri senjata nuklear yang telah mereka hasilkan. Sebagai contoh, pada tahun 1954 Amerika Syarikat telah melakukan percubaan senjata termonuklearnya yang diberi nama "Castle Bravo" berhampiran kawasan kepulauan Marshall

Sebagai langkah keselamatan untuk ujian senjata ini, pihak Amerika Syarikat telah mengeluarkan laporan sebanyak 2 kali pada tahun 1952 dan 1953 yang mana mereka  memperluas jangkauan zon bahaya. Sesiapa sahaja dilarang memasuki zon bahaya ini.

Sebuah bot nelayan Jepun dengan nama Daigo Fukuryū Maru (Lucky Dragon No. 5) berada sejauh 80 batu dari pantai timur kepulauan Marshall. Kapten kapal tidak mengetahui perluasan zon bahaya yang dinyatakan dalam laporan tahun 1953 dan kapal ini telah memancing dalam kawasan zon bahaya tempat pengujian senjata termonuklear ini.

Walaupun kapal ini selamat pulang, ianya telah diselaputi oleh lapisan putih yang mengandungi radioktif. Lapisan putih ini merupakan jutaan habuk terumbu karang yang yang telah musnah dan menguap ke udara akibat daripada ujian senjata nuklear ini.

Setibanya mereka ke Jepun, kesemua 23 orang krew kapal telah mengalami keracunan radioaktif. Akhirnya, salah seorang daripada 23 krew kapal meninggal dunia kerana sakit akibat radiasi. Peristiwa ini telah menjadi peringatan keras terhadap kesan buruk ujian nuklear dan juga menimbulkan sentimen antinuklear di seluruh dunia.

Kelahiran Godzilla

watak raksasa godzilla

Bagaimanakah peristiwa ini telah memberi inspirasi terhadap penciptaan GOdzilla?Tomuyuki Tanaka (pencipta Godzilla) dikatakan telah menaiki sebuah penerbangan yang melalui kawasan Pasifik pada tahun 1954 setelah peristiwa ujian Castle Bravo.

Dikatakan bahawa ketika beliau melihat ke bawah di lautan, idea makhluk yang muncul dari dasar laut tiba-tiba muncul. Oleh itu, pada tahun 1954, filem Gojira diterbitkan di mana raksasa Godzilla telah dibangkitkan dari tidurnya akibat pengujian bom hidrogen.

Filem yang diterbitkan pada tahun 1954 itu dimulakan dengan peristiwa sebuah kapal yang sedang berlayar di suatu tempat di Pasifik. Air di sekitar kapal tiba-tiba berubah menjadi putih dan mula mendidih sebelum kapal itu yang dilitupi oleh habuk berwarna putih musnah dalam sekelip mata.

Sepanjang filem ini, rujukan simbolik yang terdapat dalamnya juga sangat ketara. Adegan pembukaan kapal adalah rujukan kepada kapal Lucky Dragon, sementara kapal yang musnah dalam lapisan habuk putih adalah rujukan pada habuk batuan karang yang terhasil kerana ujian senjata nuklear Castle Bravo.

Namun, simbolik yang paling penting adalah penciptaan Godzilla itu sendiri. Godzilla dikatakan mewakili pelbagai perkara. Namun, tafsiran Godzilla yang paling umum dan diterima ramai adalah mengenai raksasa yang mewakili senjata nuklear dan beban besar yang mereka bawa ke dunia. 

Ujian bom yang membangkitkan Godzilla melambangkan kebangkitan dunia terhadap kekuatan dan penggunaan senjata nuklear tetapi pada masa yang sama, kehancuran yang ditinggalkan oleh Godzilla di kepulauan kecil dan di Tokyo melambangkan sejumlah besar kerosakan yang terjadi hasil penggunaan senjata nuklear. . 

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. Huffpost
  3. The Atlantic



Hakcipta iluminasi.com (2017)