Oleh pada 19 Jul 2018 kategori

Kita digalakkan memakan makanan seimbang bagi mendapatkan khasiat yang diperlukan oleh tubuh kita. Salah satu khasiat penting yang perlu kita ambil setiap hari adalah vitamin, yang boleh kita perolehi sama ada melalui makanan atau minuman serta pil-pil vitamin yang banyak dijual di farmasi.

Terdapat banyak jenis vitamin yang dijual dengan yang paling popular tentulah vitamin C, salah satu makanan tambahan yang kerap dipromosikan sebagai keperluan seharian kita. Banyak sebenarnya jenis-jenis vitamin yang ada, tetapi fahamkah kita kenapa vitamin-vitamin ini dinamakan sedemikian rupa?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Asal-usul nama 'vitamin'

pikkelharing yang menemui vitamin

Vitamin pada mulanya dijumpai oleh sekumpulan penyelidik yang mengkaji tindakbalas bahan makanan kepada haiwan-haiwan pada tahun 1905. Haiwan tersebut walaupun diberikan makan protein tulen, karbohidrat, lemak, garam serta air, tidak memberi tindak balas positif yang dicari melainkan haiwan-haiwan tersebut diberikan juga sedikit susu dalam diet mereka.

Hasil kajian itu dilaporkan oleh seorang penyelidik bernama Cornelius Adrianus Pekelharing, yang mendapati ada sejenis bahan tidak diketahui dalam susu tersebut yang membantu tumbersaran haiwan-haiwan yang mereka uji serta menyihatkan tubuh haiwan tersebut.

Kajian Pekelharing menjadi asas kepada satu lagi siri ujian yang dijalankan pada tahun 1911 oleh Casimir Funk. Funk berjaya mengasingkan bahan daripada sekam beras dalam bentuk terlarut. Bahan itu kemudiannya diberikan kepada seekor burung merpati yang mengalami masalah saraf dan membantu penyembuhan burung tersebut daripada penyakit itu.

Funk menamakan larutan tulen yang diekstrakkan daripada beras itu sebagai 'vitamine' yang menjadi singkatan kepada perkataan 'vital' serta 'amine' kerana Funk menyangkakakn kandungan larutan itu adalah sejenis bahan berbentuk 'amine'.

Evolusi penjenamaan vitamin

elmer mccollum asal usul nama vitamin

Penyelidik mula menyedari wujudnya bahan yang penting kepada kesihatan kita. Bagaimanapun, tugas untuk mengenalpasti jenis-jenis vitamin itu memakan masa yang agak lama.

Individu pertama yang menggunakan abjad bagi menamakan jenis-jenis bahan itu adalah Cornelia Kennedy, seorang penyelidik daripada University of Minnesotta. Kennedy bekerjasama dengan mentornya, seorang penyelidik bernama Elmer V. McCollum. McCollum adalah individu yang bertanggungjawab menemui bahan yang akan dinamakan sebagai vitamin A.

Kennedy menyertai kajian McCollum ketika McCollum dan seorang lagi rakannya, seorang penyelidik bernama Marguerite Davis berjaya membuktikan kewujudan dua jenis bahan berbeza dalam larutan yang sama, yang mampu memberi kesan positif berbeza pada seekor tikus. Kajian mereka mirip kajian lanjutan daripada eksperimen yang pernah dijalankan oleh Casimir Funk.

Larutan yang dihasilkan mereka mengandungi sejenis bahan berasaskan cecair yang membantu merawat penyakit saraf tikus dan sejenis lagi bahan berasaskan lemak yang didapati membantu pertumbuhan tikus tersebut, serta memperbaiki kerosakan pada mata tikus itu.

Tidak mengetahui nama yang sesuai untuk bahan itu, McCollum memilih untuk menamakannya 'Factor A' kerana dia sendiri secara peribadi, membantah penggunaan nama 'vitamine' yang diperkenalkan Funk.

Atas tunjuk ajar McCollum, Kennedy berjaya menyiapkan kajian sarjananya berdasarkan kajian yang dijalankan mereka bersama dalam masa enam bulan.

Kennedy menerbitkan hasil kajiannya dalam jurnal The Journal of Biological Chemistry pada tahun 1916. Dalam kajiannya, kedua-dua bahan yang ditemui McCollum dan pasukannya dinamakan dengan nama berbeza.

Bahan berasas lemak itu dinamakan 'fat-soluble A' dan bahan berasaskan air itu dinamakan 'water-soluble B.'

Campur tangan Jack Drummond

jack drummond dan anaknya 484

Berikutan terdapat banyak kekeliruan yang timbul disebabkan penamaan bahan-bahan yang bercampur aduk, seorang profesor bernama Jack Drummond daripada London University College menerbitkan satu cadangan pada 12 Ogos 1920.

Dalam tulisannya, Drummond mencadangkan agar nama 'vitamine' yang diperkenalkan oleh Casimir Funk diubah, berikutan tiada bukti kukuh yang menyokong dakwaan Funk wujudnya unsur 'amine' di dalam bahan yang ditemui.

Walaupun begitu, untuk membuang terus perkataan 'vitamine' daripada digunakan agak sukar, berikutan penggunaanya yang sudah meluas dalam lapan tahun sejak diperkenalkan.

Jadi Drummond mencadangkan penggunaan terma 'vitamin' tanpa menggunakan lagi '-ine' di hujungnya.

Sekiranya cadangan beliau diterima, beliau mencadangkan agar unsur-unsur yang ditemui kajian McCollum iaitu 'fat-soluble A' dan 'water-soluble B' dinamakan dengan nama vitamin A dan vitamin B.

Kaedah penamaan vitamin yang lebih sistematik

asal usul nama vitamin

Cadangan Drummond diterima ramai, namun proses penamaan vitamin sendiri mengambil masa yang panjang berdasarkan kajian yang dijalankan. Lima vitamin pertama yang ditemui pelbagai penyelidik dinamakan mengikut turutan dengan abjad A, B, C, D dan E digunakan.

Pada mulanya Vitamin D dipercayai adalah sebahagian daripada vitamin A namun dibuktikan sebenarnya dua bahan berasingan lalu diberikan klasifikasi sendiri.

Vitamin B yang pada mulanya dianggap hanya satu jenis, bercambah ekoran penemuan baru dengan pengenalan vitamin B1 iaitu thiamine dan B2 iaitu riboflavin, selepas dibuktikan sebenarnya mengandungi dua unsur berasingan.

Vitamin B lain yang diketahui wujud adalah B12 (Cobalamin) pada tahun 1926, B5 (asid pantotenik) dan B7 (biotin) pada tahun 1931, B6 (pyridoxine) pada tahun 1934, B3 (niacin) pada tahun 1936 dan B9 (asid folik) pada tahun 1941.

Mengapa hanya ada vitamin A, B, C, D, E dan K sahaja?

mengapa vitamin menggunakan abjad

Ketika ini, vitamin yang kita tahu ada hanyalah A, B, C, D, E dan K. Sebenarnya dalam proses hendak menyenaraikan vitamin-vitamin yang ada sekarang, telah pun wujud vitamin-vitamin lain seperti vitamin F, J, P dan lain-lain.

Vitamin-vitamin itu walaupun dikelaskan sebagai vitamin pada mulanya, dibuktikan tidak mempunyai fungsi penting dalam menjaga kesihatan tubuh badan manusia.

Ini menyebabkan kebanyakan vitamin itu digugurkan daripada senarai. Sebagai contoh - vitamin J didapati hanya memberi kesan positif pada tikus belanda. Vitamin L pula hanya membantu tikus betina mempunyai lebih banyak susu badan sementara vitamin P pula hanya berkesan pada tumbuhan berbunga.

Selain dibuang daripada senarai, beberapa bahan lain diberikan klasifikasi baru, dimasukkan ke dalam kategori vitamin B seperti vitamin G yang menjadi vitamin B2 dan vitamin H yang menjadi vitamin B7. Ada juga kelas-kelas vitamin seperti vitamin F yang dilupuskan yang kini kita kenali sebagai omega 3 dan omega 6.

Oleh sebab itulah kini kita hanya ada vitamin A, B, C, D, E dan tiba-tiba terus melompat ke vitamin K.




Hakcipta iluminasi.com (2017)