Oleh pada 23 Jul 2020 kategori

Salah satu perkara karut yang sering kali disaksikan sendiri oleh penulis, adalah bagaimana kewujudan individu dalam masyarakat kita yang percaya dengan horoskop.

Pernahkah anda mendapat reaksi seseorang yang tak semena-mena terus menyimpulkan personaliti anda, hanya selepas dia mengetahui bilakah tarikh lahir anda? Sebagai contoh - "wow. Kau Cancer rupanya. Mesti kau kuat emosional kan?"

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kenapa masih ada ahli masyarakat kita, khasnya mereka yang menetap di Malaysia ini masih lagi percaya dengan peranan susunan bintang yang akan menentukan tarikh kelahiran - sehingga mampu membentuk personaliti anda?

Sejarah ringkas 'ilmu' astrologi

dendera penemuan astrologi

Sudah beribu-ribu tahun lamanya manusia mengaitkan objek-objek di langit dengan kehidupan manusia, disebabkan oleh kepentingan fenomena astronomi yang terjadi kepada masyarakat.

Setakat apa yang kita tahu setakat ini, artifak tertua berkenaan kepercayaan astrologi yang masih wujud sehingga kini adalah ukiran Zodiak Dendera (gambar bawah) yang ditemui pada tahun 1799 di Kuil Hathor, Mesir.

Kandungan ukiran itu menggambarkan susunan bintang di langit, lebih mirip kepada peta langit yang turut sama memaparkan gambaran 'syurga' yang ditongkat dengan empat tiang berbentuk wanita dan 8 lembaga menyerupai burung.

dendera black and white 700x375 751

Ukiran itu digunakan oleh masyarakat Mesir purba bagi memudahkan mereka mengira hari, dengan setiap lembaga yang ada iaitu 36 lembaga terukir kesemuanya mewakili 360 hari.

36 lembaga yang ada pula mirip dengan simbol-simbol bintang yang masih diamalkan, menyerupai kerbau, kala jengking, kambing dan beberapa simbol lain lagi. Ukiran itu selepas diuji dipercayai dihasilkan semasa era Graeco-Roman, berlaku sekitar tahun 330SM/BC.

Era Graeco-Roman bertanggungjawab mempopularkan kepercayaan ini, dengan pengenalan sistem 'zodiak' yang membawa makna 'berbentuk seperti haiwan' bagi mewakili simbol durasi masa mengikut simbol haiwan yang berlaku.

Permulaan ilmu astrologi orang Babylon

ukiran lama astrologi

Bagaimanapun, kepercayaan orang Rom itu sebenarnya diambil daripada kepercayaan masyarakat Babylon yang terlebih dahulu memperkenalkan konsep serupa sekitar tahun 1500SM/BC.

Pada era itu, dua cabang berbeza iaitu astronomi dan astrologi dianggap saling berkait disebabkan kepercayaan orang Babylon yang percaya pergerakan bintang dan objek di langit sebenarnya mampu menentukan takdir seseorang.

Hasil kepercayaan orang Babylon diwarisi dan dipelajari orang Rom dan Greek, sehingga seorang pengkaji astronomi bernama Claudius Ptolemy yang ketika itu tinggal di Alexandria (Mesir kini) di bawah kerajaan Rom pada abad pertama - menulis dua buah buku paling penting dalam cabang ilmu astrologi dan astronomi.

Almagest menceritakan tentang kiraan matematik dalam menentukan pergerakan bintang. Buku kedua dan dianggap buku paling berpengaruh memperkembangkan ilmu astrologi pula adalah 'Tetrabiblos' atau 'Empat Buku'.

kenapa ramai percaya zodiak horoskop

Ptolemy menggabungkan pengetahuan dalam bidang astronomi dan kepercayaan yang dianuti masyarakat dunia terdahulu, merungkai hubungan antara kedua-duanya menyebabkan orang ramai mula percaya wujud hubungkait antara susunan bintang dan untung rugi seseorang.

'Tetrabiblos' mula popular sebagai bahan rujukan utama ilmu astrologi, diterjemahkan kepada banyak bahasa termasuklah bahasa Arab bagi rujukan sarjana Islam sekitar abad ke 9.

Bagaimanapun usaha penterjemahan naskhah tersebut dalam bahasa Latin pada abad ke 12-lah yang menyatukan ilmu astrologi dengan doktrin-doktrin ajaran Kristian era itu; menyebabkan astrologi mula bertapak dengan lebih kukuh dalam masyarakat.

Isi kandungan Tetrabiblos dibahagikan kepada empat jilid - dua jilid pertama menceritakan prinsip, teori, kepercayaan dan cara ilmu astrologi yang boleh dimanfaatkan.

Jilid ketiga digunakan untuk Ptolemy menerangkan hubungkait antara bintang dan planet dengan tarikh kelahiran seseorang. Manakala jilid keempat pula mengandungi penerangan tentang bagaimana kedudukan bintang, bulan dan matahari mempengaruhi nasib seseorang individu.

Setiap manusia menurut Ptolemy : mempunyai tujuh fasa kehidupan yang boleh diramal agar pantang larangnya dapat dikenalpasti, bagi memastikan kehidupan seseorang kekal harmoni sepanjang hayatnya.

Perubahan pada susunan astrologi

tarikh horoskop baru

Kita dah faham serba sedikit bagaimana cabang astrologi ini bermula. Mari kita lihat beberapa peristiwa yang telah berlaku tidak lama dahulu yang membuktikan astrologi ini hanyalah dongengan semata-mata.

Secara ringkas, pengamal astrologi percaya setiap manusia tergolong dalam kategori yang ditentukan oleh tarikh lahirnya, yang seterusnya akan menentukan personaliti, watak, nasib dan masa depan seseorang itu.

Namun kontroversi melanda pengamal astrologi, selepas seorang pakar astronomi (bukan astrologi!) pada tahun 2011 bernama Parke Kunkle mengeluarkan kenyataan bahawa paksi bumi sudah beralih sedikit - menyebabkan pembahagian bulan mengikut susunan simbol bintang berlaku perubahan.

Pengumuman itu tidak diterima baik mereka yang percaya bermati-matian dengan ilmu horoskop, yang menyangkal pandangan Kunkle yang didakwa bakal mengubah tarikh-tarikh yang telah ditetapkan selama ini mengikut kalendar Zodiak.

NASA buat pengikut astrologi marah

astronomi kajian bintang

Pada 15 Julai 2020, pihak penyelidikan angkasa Amerika Syarikat NASA memuat naik semula perkongsian tahun 2016 berkenaan perkiraan matematik yang telah dilakukan bagi memahami perubahan pergerakan bumi dan langit.

Dalam perkongsian semula itu, NASA mengumumkan perkara sama yang telah dinyatakan Kunkle bahawa durasi pergerakan bintang yang kelihatan di angkasa sudah berubah kedudukannya disebabkan oleh perubahan paksi bumi.

Harus diingatkan, NASA melaporkan tentang susunan bintang secara saintifik, hanya menggunakan nama rujukan susunan bintang yang telah lama diamalkan, yang sebenarnya langsung tiada kaitan dengan bidang astrologi.

Perkongsian lama itu turut mengandungi  tentang kewujudan susunan bintang ke 13 yang dikenali dengan nama Ophiuchus; konstelasi bintang yang telah ditemui beribu tahun lamanya.

nasa astrologi atsronomi

Malangnya, bagi individu pengamal horoskop - mereka beranggapan perkongsian semula NASA itu seakan-akan cubaan mahu menulis semula susunan astrologi mereka yang diamal selama ini, dengan penambahan simbol ke 13 dan perubahan pada jadual zodiak.

Kontroversi meletus sekali lagi sehinggakan tidak ramai menyedari NASA hanya memuatnaik semula perkongsian tahun 2016, sehingga memerlukan NASA menjelaskan apa yang berlaku; perkongsian itu dibuat berdasarkan kepada perkiraan matematik selepas mengkaji perubahan langit dan paksi bumi bukannya ada kaitan dengan cabang astrologi yang dikaitkan dengan simbol zodiak.

Apa yang kami ingin cuba tekankan di sini; kami harap anda tahu dengan jelas - astronomi tidak berkait dengan astrologi.

Satu-satunya persamaan antara astronomi dengan astrologi adalah penggunaan simbol haiwan sebagai label kepada konstelasi bintang dan usaha saintis mengkaji pergerakan objek di langit mengikut pergerakan bumi.

Apabila simbol-simbol zodiak dikatakan mampu menentukan takdir seseorang, itu adalah ilmu astrologi yang tidak lagi mempunyai asas saintifik.




Hakcipta iluminasi.com (2017)