Oleh pada 22 Mar 2018 kategori

Pada tahun 2016, pihak pengkaji angkasa NASA mengumumkan pelancaran kapal angkasa OSIRIS-REx yang diwujudkan khas untuk mengkaji sebuah asteroid yang yang dinamakan 101955 Bennu atau lebih mudah dipanggil asteroid Bennu.

Misi Osiris-REx dirancang memakan masa selama 7 tahun, dengan pelancarannya dilakukan pada 8 September 2016. Osiris-REx dijangka mendarat di atas asteroid Bennu, sebuah asteroid gergasi yang ditakrifkan sebagai 'asteroid kelas B primitif' pada sekitar tahun 2018 dengan kepulangannya dijangkakan hanya akan berlaku pada tahun 2023.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Mengapa NASA sanggup menghabiskan masa mereka hanya untuk mengkaji asteroid ini?

Mengapa asteroid Bennu dipilih?

asteroid visualisasi

Bennu adalah sebuah asteroid bersaiz ± 492 meter, berbentuk seperti sebuah gasing dibentuk oleh apa yang dipercayai saintis dan penyelidik, bintang-bintang mati seperti bintang gergasi merah dan supernova. Dianggarkan Bennu terbentuk dalam proses yang memakan masa hampir 4.5 billion tahun dahulu.

Ekspedisi Osiris-REx dilancarkan oleh NASA bagi membawa balik sampel bahan yang membentuk Bennu dengan Bennu dipilih berikutan kedudukannya yang berada di dalam lingkungan orbit dekat dengan bumi, bergelar NEO atau Near Earth Objects.

Kedudukannya yang agak dekat memendekkan operasi menghantar kapal atau prob bagi mendarat di atasnya. Selain itu, Bennu juga mempunyai saiz yang agak besar yang melambatkan putaran sesuatu objek di angkasa dengan saiz asteroid kajian yang ideal perlu mempunyai skala melebihi 200 meter.

Selain itu, ekspedisi Osiris-REx memerlukan sebuah asteroid yang kaya dengan karbon dan tidak banyak berubah kandungannya dalam tempoh 4 billion tahun, dalam usaha mendapatkan sampel yang banyak molekul organik serta kandungan asid yang mungkin mampu memberikan panduan bagaimana alam ini dibentuk. Daripada lebih 50 ribu asteroid yang berjaya dikesan, hanya ada 5 asteroid primitif yang memenuhi syarat-syarat kajian yang ditetapkan NASA.

Salah satunya adalah Bennu yang bersaiz hampir 500 meter dan mengorbit matahari setiap 436 hari. Untuk setiap 6 tahun, jarak Bennu dengan bumi berada pada kedudukan 299,195 kilometer.

Pada jarak tersebut, ada kemungkinan Bennu akan menghentam bumi.

Risiko hentaman Bennu

perbandingan saiz bennu dengan bangunan ikonik

Antara semua asteroid yang berlegar di angkasa, Bennu adalah yang paling tinggi risikonya menghentam bumi. Perkiraan risiko Bennu melanggar bumi adalah 1 dalam 1800 pada tahun 2170 dan 1 dalam 1000 pada tahun 2182 menurut kajian pada tahun 2011. Kajian lebih baru menyifatkan kemungkinan asteroid itu melanggar bumi adalah 1 dalam 2700.

Walaupun kemungkinan perkara itu berlaku lebih 117 tahun lagi, pihak NASA berpendapat adalah lebih baik mereka mencuba untuk mempelajari serba sedikit berkenaan Bennu, kerana ini dapat membantu mereka memahami risiko serta strategi yang diperlukan - dalam mengawal ancaman ini.

Setakat ini, sainstis masih belum dapat mengira secara tepat pergerakan Bennu dan diharapkan dengan kajian yang dilakukan oleh Osiris-REx ini, ini sedikit sebanyak membantu mereka memahami pergerakan Bennu terutamanya dari segi saiz, ketumpatan, putaran serta suhu asteroid tersebut.

Menurut kajian yang diterbitkan pada tahun 2015, impak yang akan terhasil sekiranya Bennu menghentam bumi dianggarkan berkuasa tiga kali ganda semua letupan bom atom yang pernah diletupkan di muka bumi. Dengan anggaran kelajuan 12.1km/ saat, impak hentaman itu sekiranya diukur mampu mencapai 1450 megaton TNT. Untuk perbandingan, bom atom yang digugurkan pada perang dunia kedua mempunyai kekuatan 20 kiloton.

Apa yang melegakan, sekiranya benar-benar berlaku, impak asteroid itu tidak cukup untuk mengubah paksi bumi atau mewujudkan rekahan besar pada permukaan bumi. Setakat ini, penyelidik meletakkan tarikh 25 September 2135 sebagai tarikh yang berkemungkinan paling tinggi berlakunya pelanggaran.

Apakah usaha yang sedang dilakukan dalam mengelak tragedi ini?

gambaran kapal hammer nasa

Setakat ini, sebagai langkah persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan lebih buruk yang bakal berlaku, penyelidik telah pun merangka dua kaedah utama yang dikatakan berpotensi, dalam melindungi bumi dari ancaman Bennu.

Sebuah roket khas yang dicipta dan dinamakan Hypervelocity Asteroid Mitigation Mission for Emergency Response atau HAMMER, diumumkan pada 10 Mac 2018, merupakan satu pesawat setinggi 9 meter dengan berat 8.8 tan, yang mampu bertindak seperti sebuah tukul gergasi untuk menolak Bennu atau membawa peluru nuklear yang dikatakan mampu mengalih paksi pergerakan Bennu.

Jalan yang lebih baik pada penyelidik, setakat ini adalah dengan menggunakan HAMMER sebagai kayu penujah (battering-ram) yang akan menghentam permukaan Bennu agar tergelincir dari landasannya, namun ramai berpendapat impak daripada HAMMER besar kemungkinan tidak cukup untuk mengesampingkan pergerakan Bennu.

Jalan kedua, adalah dengan menggunakan letupan nuklear. Bagaimanapun, kaedah yang akan digunakan tidaklah sama seperti apa yang dapat kita lihat dalam filem 'Armageddon' lakonan Bruce Willis, di mana watak beliau perlu mengorbankan diri. Bom nuklear akan diletupkan bukan pada permukaan, tetapi pada jarak tertentu yang akan meletupkan sebahagian daripada permukaan Bennu sehingga menghasilkan daya tolakan.

Selain itu, pihak kerajaan Russia melalui agensi Rosatom State Nuclear Energy Corporation juga mengumumkan kejayaan mereka menggunakan teknologi laser dalam menghancurkan asteroid. Walaupun setakat ini mereka hanya berjaya menghancurkan asteroid kecil bersaiz 10mm dalam makmal, dalam laporan mereka menyebut sasaran mereka untuk mencapai keupayaan teknologi yang mampu menghancurkan asteroid sebesar 200 meter. 

Bagaimana dengan kita?

adegan armageddon

Setakat ini, pihak NASA dan penyelidik belum mengumumkan sebarang kata putus, ekoran ketiadaan maklumat yang lebih lengkap. Besar kemungkinan ekspedisi Osiris-REx dapat membantu menjawab beberapa persoalan yang ada serta langkah pencegahan yang diperlukan. Kita perlu menunggu tahun 2023 untuk mengetahui lebih lanjut tentang perkara ini.

Kepada orang ramai, anda tidak perlulah berasa risau kerana setakat ini, pihak penyelidik mengesahkan sekiranya berlaku sesuatu yang di luar jangkaan sekalipun ada langkah pencegahannya. Dalam semua simulasi yang telah dijalankan, penggunaan letupan bom nuklear pada permukaan asteroid berjaya menghancurkan asteroid ke bahagian-bahagian lebih kecil. Walaupun asteroid itu hanya diketahui risiko pelanggarannya dalam tempoh sesingkat 10 hari sahaja.

Namun langkah itu hanya akan diambil sekiranya bumi berada dalam keadaan kritikal, kerana risiko hentaman serpihan asteroid serta radiasi yang datang daripada penggunaan bom nuklear, mampu mengundang bahaya lain.

Apa pun ingat tarikh ini - 25 September 2135 kerana itulah tarikh yang dipersetujui ramai Bennu akan menghentam permukaan bumi, buat masa sekarang.




Hakcipta iluminasi.com (2017)