Penampakan kanggaru pertama yang direkodkan berasal dari pedagang Belanda iaitu Francisco Pelsaert, setelah kapalnya karam di pantai Australia pada tahun 1629.
Menjelang tahun 1770, haiwan itu telah menjadi lebih terkenal kepada orang Eropah.
Menurut legenda, nama "kangaroo" berasal dari perkataan Aboriginal (orang asli Australia) yang bermaksud "saya tidak tahu", yang mana digunakan orang asli ini untuk menggambarkan haiwan menarik ini kepada penjelajah Inggeris, Kapten James Cook.
BESARKAN TEKS A- A+
Haiwan ini yang ditangkap kemudiannya mula dihantar keluar dari tanah airnya ke London pada tahun 1791, sekaligus menjadikannya terkenal di seluruh dunia.
Kanggaru adalah haiwan dari keluarga Macropodidae atau macropodid, dinamakan bersempena kaki belakang yang besar.
Marsupial ini bersama0sama dengan possum dan koala membawa anak-anak di dalam kantung.
Hari ini, wujud lebih daripada 60 jenis macropodid ini, dari kanggaru kelabu dan merah hingga ke kanggaru-tikus bersaiz tapak tangan.
Bukti fosil yang berasal dari 25 juta tahun yang lalu mendedahkan bahawa nenek moyang kanggaru tidak bergerak dengan cara melompat.
(Kanggaru pokok)
Pada ketika itu, hutan hujan meliputi sebahagian besar Australia dan nenek moyang haiwan ini biasanya makan buah-buahan serta dedaun, dan boleh memanjat pokok.
Satu spesis yang masih wujud iaitu kanggaru pokok masih mendiami sebahagian hutan hujan di Papua New Guinea.
Oleh kerana iklim di benua itu menjadi semakin panas, hutan hujan berubah menjadi dataran berumput, membawa kanggaru ke daratan seperti yang kita lihat pada hari ini.
Pergerakan kanggaru
Jika anda lihat dengan lebih dekat pada kaki belakang kanggaru, anda akan dapat lihat bahawa jari-jarinya tidak simetri seperti kita.
Sebaliknya, kanggaru memiliki jari kaki keempat yang membesar pada setiap kaki.
Bermula dari dalam kaki, jari kaki pertama kanggaru adalah kecil dan mungkin tidak kelihatan.
Jadi kaki kedua dan ketiga juga kecil tetapi lebih besar dari jari pertama, dan kelihatan seperti bersambung tetapi memiliki kuku yang berasingan.
Yang paling menarik adalah jari keempat iaitu punca kepada aksi lompatan haiwan ini.
Tulang kaki kanggaru sejajar dengan jari keempat yang sangat besar ini, yang memungkinkannya untuk melonjakkan kaki dari tanah.
Menurut fosil-fosil, penyesuaian jari kaki keempat yang besar ini mendahului lompatan kanggaru, dan jari kelima memberi sokongan serta daya lonjakan tambahan pada lompatan.
Kekuatan lompatan kanggaru sangat bergantung kepada tendon elastik yang kuat di kakinya yang menyimpan tenaga untuk melompat.
Ia sama seperti jika anda duduk di atas spring. Jika anda tekan berat anda untuk memampatkan spring sekuat mungkin, anda akan melompat.
Dengan cara yang sama, setiap kali kaki kanggaru menjejak tanah, tendonnya termampat untuk mengumpulkan tenaga elastik untuk ia melompat semula.
Untuk menstabilkan gerakan itu, ekor kanggaru yang cukup besar bertindak sebagai pengimbang bagi kaki belakangnya.
Sekiranya anda melihat kanggaru melompat dalam gerakan perlahan, anda akan melihat ekornya bergerak ke bawah untuk bertemu dengan kaki belakang udara.
Ketika marsupial ini mendarat, ekornya naik.
Dengan beralih dari kedudukan mendatar itu, ketika kaki berada di tanah, tujahan ekor ke bawah membantu mendorong kanggaru ke atas.
Kesan pengimbangan ini serupa dengan apa yang berlaku pada jongkang-jongket.
Hasilnya, kanggaru merah bergerak pada kelajuan purata 15 hingga 20 kilometer sejam serta mampu mencecah kelajuan maksimum 56 kilometer sejam. Satu tujahan lompatan boleh membawanya 7.6 meter ke hadapan dan 1.8 meter ke atas.
Jadi, apa fungsi gerakan aerobik haiwan ini? Semuanya melibatkan pemuliharaan.
Untuk mengetahui dengan tepat mengapa kanggaru melompat, penyelidik Terence Dawson meletakkan kanggaru di atas treadmill dan mengukur kelajuan serta pengeluaran tenaga haiwan ini.
Hasilnya? Pada kelajuan tinggi, lompatan kanggaru adalah antara kaedah perjalanan darat yang paling cekap tenaga dalam dunia haiwan.
Apabila kanggaru "memecut", ia tidak meningkatkan kekerapan lompatan tetapi meningkatkan jaraknya.
Semakin jauh jaraknya, semakin banyak tenaga yang dimanfaatkan pada otot dan tendon mereka setelah jatuh ke tanah.
Dengan jantung dua kali lebih besar daripada mamalia yang sama saiz dengannya, kanggaru mempunyai daya tahan fizikal yang kuat secara semula jadi.
Malah, sistem pernafasan haiwan ini beroperasi dengan lebih berkesan semasa melakukan "latihan" lompatan ini.
Gerakan mendarat dan melompat menyebabkan otot perut kanggaru menguncup dan mengembang, memaksa udara masuk dan keluar dari paru-paru tanpa mengeluarkan tenaga tambahan untuk melakukannya.
Namun pada kelajuan yang rendah, kecekapan tenaga ini berkurang.
Apabila kanggaru perlu bergerak perlahan, ia menggunakan ekornya sebagai kaki kelima yang mengimbangi badannya, dan bergerak ke hadapan dengan kaki depannya yang lebih kecil.
Ini dirujuk sebagai berjalan "pentapedal".
Kangaru tidak bergerak menggunakan keempat-empat kakinya kecuali berenang kerana tidak dapat menggerakkan kaki belakang secara bebas antara satu sama lain.
Buat apa berjalan kalau boleh melompat, kan?
Rujukan:
3. Hopping