Berlari merupakan satu rutin yang tidak ramai mampu buat secara konsisten walaupun sebenarnya mudah dilakukan. Kita hanya memerlukan sepasang kasut dan ruang untuk berlari, serta tidak memerlukan peralatan lain.
Satu kajian yang dijalankan dan diterbitkan dalam jurnal Progress in Cardiovascular Disease melaporkan yang mereka yang berlari mempunyai jangka hayat 3 tahun lebih panjang berbanding mereka yang tidak berlari. Walaupun latihan lain seperti berjalan dan berbasikal memberikan kesan kepada hayat yang sama, tetapi kesannya tidaklah sebaik berlari.
BESARKAN TEKS A- A+
Bagaimanapun, penyelidik menyebut kebaikan yang diberikan oleh aktiviti berlari ada hadnya di mana faedah maksima yang akan diperolehi adalah 3 tahun, walaupun seseorang itu berlari lebih daripada apa yang diperlukan oleh badannya.
Menurut penyelidik, Dr. Duck-Chul Lee, seorang professor di Iowa State University yang turut terlibat dalam penerbitan tersebut, menyebut mereka melakukan penyelidikan lebih mendalam kerana timbul banyak persoalan selepas satu penerbitan oleh Cooper Institute menimbulkan banyak persoalan daripada masyarakat berkenaan topik yang sama.
Hasil kajian pasukan Dr.Lee melalui kajian semula data yang dihasilkan oleh Copper Institute membuktikan yang jika seseorang berlari tak kiralah pada apa kelajuan sekalipun, tabiat itu mampu menurunkan kadar kematian awal seseorang sebanyak 40 peratus walaupun seseorang itu mengalami masalah ketagihan arak, merokok atau mempunyai masalah kesihatan seperti kegemukan atau hipertensi.
Yang menariknya, penyelidik membuktikan melalui kiraan, berlari memberikan jangka hayat yang lebih panjang berbanding jangka masa berlari. Menggunakan 2 jam untuk larian seminggu sebagai purata, penyelidik berpendapat seseorang akan menggunakan 6 bulan dalam tempoh 40 tahun untuk berlari tetapi mampu memanjangkan jangka hayat mereka sebanyak 3.2 tahun.Kepada mereka yang merasakan berlari adalah sesuatu yang susah, harapnya kini anda ketahui dan sedar insentif kenapa anda perlu berlari. Berlarilah sambil tersenyum, kerana ini bakal membantu anda hidup lebih lama.
Rujukan