Oleh pada 19 Dec 2021 kategori

Ikan pari Manta adalah sejenis spesies ikan dari keluarga Mobulidae yang banyak ditemui di perairan sederhana panas, subtropika dan tropika. Indonesia merupakan salah satu habitat terbesar spesies ini di Asia.

Spesies Manta adalah salah satu keajaiban hidupan laut. Manta Ray yang merupakan spesies besar dalam keluarga pari mempunyai lebar sayap yang boleh mencapai lebih daripada tujuh meter panjang.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Seperti spesies marin besar yang lain, mereka hidup lama dan mempunyai kadar pembiakan yang perlahan. Manta Ray hanya melahirkan satu atau dua ekor anak sahaja setiap 2-5 tahun.

Pengharaman oleh kerajaan Indonesia

Pada tahun 2014, kerajaan Indonesia telah mengeluarkan undang-undang yang mengharamkan penangkapan atau penjualan spesies dua spesies manta iaitu Manta Gergasi (mobula birostris) dan Manta Terumbu Karang (mobula alfredi).

pengharaman manta ray

Adalah menjadi satu kesalahan untuk menggunakan mana-mana bahagian haiwan ini jika tertangkap secara tidak sengaja melainkan untuk tujuan "penyelidikan dan pembangunan".

Secara tidak langsung, pengharaman ini menjadikan perairan Indonesia sebagai habitat perlindungan terbesar bagi Manta Ray di dunia yang merangkumi kawasan kira-kira 6 juta km persegi.

Langkah kerajaan Indonesia itu mungkin didorong oleh penurunan populasi Manta secara global disebabkan oleh pengangkapan ikan yang berlebihan atau overfishing.

Nilai sebenar Manta Ray

Salah satu lagi faktor utama mengapa pengharaman ini dibuat adalah berdasarkan sudut ekonomi. Indonesia adalah salah satu tempat terbaik di dunia untuk melihat dan berinteraksi dengan spesies Manta.

manta ray indonesia 917

Manta mempunyai nilai yang tinggi kepada industri eko-pelancongan di Indonesia. Ramai pelancong dan peminat haiwan ini dari seluruh dunia datang ke Indonesia untuk menyelam dan melihat haiwan ini dari jarak dekat.

Menurut kajian pada tahun 2013, harga purata bagi seekor ikan Manta Ray yang ditangkap mungkin boleh mencecah sehingga lima atau enam juta rupiah (RM 1500-1700) di pasaran. 

Namun, seekor Manta Ray mampu menghasilkan sehingga 12 bilion rupiah (RM 3.5 juta) sepanjang hidupnya melalui sektor pelancongan. Jumlah yang besar ini tentu jauh lebih baik buat ekonomi negara Indonesia berbanding harga pasarannya setelah mati.

Kesan pengharaman menangkap Manta

Walaupun pengharaman ini dilihat sebagai satu langkah baik untuk kelangsungan hidup spesies Manta dan sektor pelancongan, ia turut mempunyai kesan lain.

udin omar manta ray 721

Udin Omar menunjukkan peralatan Manta Ray yang disimpan setelah Indonesia mengharamkan penangkapan ikan itu

Salah satunya adalah punca pencarian penduduk tempatan seperti di Lamakera, Pulau Solor. Sudah menjadi tradisi penduduk di sini untuk memburu Manta sebagai sumber makanan dan mata pencarian mereka.

Pada waktu dahulu, Manta diburu untuk dijadikan makanan atau ditukar dengan pulau berhampiran bagi keperluan lain. Sejak tahun 2000, Manta mula menjadi sumber pendapatan secara komersial bagi Lamakera kerana mendapat permintaan tinggi terutamanya dari China.

Spesies Manta menjadi permintaan kerana insangnya dipercayai mempunyai khasiat dalam perubatan tradisional Cina. Daging ikan ini hanyalah beberapa ringgit sekilo gram tetapi insangnya dijual pada harga yang tinggi. Ia merupakan perniagaan yang lumayan bagi penduduk Lamakera.

Usaha membantu nelayan terjejas

Pelbagai usaha telah dilakukan bagi membantu nelayan yang terjejas akibat pengharaman penangkapan Manta. Pihak kerajaan dan beberapa NGO telah menyumbangkan pelbagai bantuan seperti bot nelayan, peralatan menangkap ikan serta kelengkapan lain untuk nelayan ini menangkap spesies ikan lain sebagai sumber pendapatan.

nelayan lamakera

Nelayan menangkap Manta Ray sebelum pengharamannya

Lebih daripada 100 orang nelayan di Lamakera telah menandatangani perjanjian untuk tidak lagi memburu Manta Ray. Beberapa projek dan latihan juga disediakan kepada wanita tempatan agar dapat menghasilkan sumber pendapatan baru.

Segala usaha ini mula menunjukkan hasil apabila penangkapan Manta turun mendadak sebanyak 91% dari tahun 2015 hingga 2018. Selain Manta, kebanyakan nelayan di Lamakera juga tidak lagi memburu spesies terancam lain seperti jerung yang mendapat permintaan tinggi disebabkan siripnya.

Cabaran yang berterusan

Walaupun sebahagian besar nelayan di Lamakera bersetuju untuk tidak menangkap Manta tetapi mereka menolak idea untuk menjadikan tempat mereka sebagai tumpuan pelancong yang datang untuk melihat haiwan itu. Mereka khuatir nilai budaya tempat itu akan rosak sekiranya menjadi destinasi perlancongan. 

pihak berkuasa manta ray

Pihak berkuasa merampas insang Manta Ray yang dijual di pasaran gelap

Pihak berkuasa juga sering mengadakan pemantauan dari masa ke masa kerana masih ada lagi sebilangan kecil nelayan yang menangkap atau terlibat dalam urusniaga haiwan itu. Pihak berkuasa percaya pulau berhampiran seperti Lamalera dan Lembata masih menangkap haiwan itu secara curi-curi.

Pengharaman menangkap Manta adalah satu permulaan dan usaha berterusan adalah perlu bagi menjamin undang-undang itu dilaksanakan dengan betul.




Hakcipta iluminasi.com (2017)