Kita mungkin pernah menonton video yang memaparkan keganasan ratusan ikan piranha yang memakan bangkai dalam beberapa saat sahaja sehingga tinggal hanya tulang sahaja. Malah, ikan ini sering dikategorikan sebagai salah satu ikan paling ganas di dunia.
Di Iluminasi, kami pernah beberapa kali menulis artikel mengenai ikan ini di artikel 6 Spesis Haiwan Dengan Gigi Paling Tajam Dan Menakutkan dan 7 Spesis Ikan Paling Berbahaya Di Dunia.Mujurlah ikan ini tidak terdapat di perairan negara kita Malaysia.
BESARKAN TEKS A- A+
Namun, adakah fakta ini benar? Adakah ikan ini akan menyerang sesiapa sahaja yang masuk ke kawasannya dan mampu memakan mangsanya sehingga tinggal hanya tulang dalam masa beberapa saat sahaja?
Bukan ikan pemburu
Piranha secara umumnya adalah ikan pemakan bangkai, bukannya pemburu makhluk hidup. Ikan ini gemar memakan bangkai atau sisa-sisa sisa tangkapan nelayan yang dibuang. Ada juga yang vegetarian.
Perasan atau tidak video-video yang memaparkan keganasan ikan piranha ini kebiasaannya memperlihatkan ikan ini memakan bangkai atau hidupan yang berdarah?
Keseluruhan idea tentang piranha adalah ikan ganas bermula dengan Teddy Roosevelt, apabila dia menulis mengenai ikan piranha dalam bukunya pada 1914 yang bertajuk Through the Brazilian Wilderness.
Fakta yang dimuatkan dalam bukunya tidaklah tepat dan sengaja memperbesarkan perkara yang tidak betul. Malah, penyelidikan baru-baru ini yang dilakukan ke atas spesis piranha dengan reputasi yang paling berbahaya iaitu piranha perut merah, menunjukkan bahawa mereka sangat jauh dari "bahaya" dan mereka boleh menjadi teman renang yang langsung tidak berbahaya.
Mitos dipopularkan oleh filem dan akhbar
Malah pada hari ini, tajuk utama daripada organisasi berita seperti Daily Mail yang hanya mahu mewujudkan berita sensasi masih berkeras untuk menyiarkan cerita tentang serangan piranha yang boleh membawa maut.
Terdapat filem-filem yang memaparkan idea itu tanpa henti, dengan setiap set filem di Amazon nampaknya perlu menyertakan satu adegan menakutkan watak utama dahulu yang berhadapan dengan sungai yang bergelora dengan piranha yang ganas.
Tetapi apabila penulis hidupan liar Richard Conniff mendekati secara peribadi dengan beberapa ikan yang dikatakan boleh membawa maut ini, beliau mendapati ikan itu cukup menyenangkan. Piranha tidak akan sesekali menyerang manusia kerana ikan ini bukanlah ikan pemburu.
Bagi menguji sendiri "keganasan" ikan piranha ini, beliau telah pergi berenang bersama piranha di Akuarium Dallas, berdiri di dalam air Rio Napo ketika memancing piranha semasa sekumpulan piranha berenang di sekelilingnya. Selain itu, beliau juga cuba memberi makan ayam kepada sekumpulan piranha untuk melihat berapa lama masa yang diperlukan untuk mereka memakan keseluruhan bangkai tersebut.
Apabila Conniff telah menemuramah dengan para nelayan yang tinggal berdekatan kawasan ikan piranha, beliau mendapati mereka yang tinggal berdekatan bersetuju bahawa reputasi piranha telah diburukkan atas fakta yang tidak betul.
Mereka yang tinggal di sana (dan orang lain yang telah menghabiskan masa mengkaji tingkah laku piranha di alam liar) telah mendapati bahawa piranha adalah lebih sebagai haiwan pemakan bangkai berbanding ikan pemburu.
Fakta sebenar mengenai piranha
Terdapat beberapa kes sebenar piranha mengerumuni dan menyerang orang yang masih hidup. Kebanyakan kerosakan yang berlaku kepada mayat yang jatuh di dalam air dilakukan bedah siasat. Dan dalam kebanyakan kes di mana piranha telah diketahui menggigit orang, biasanya terdapat faktor lain yang diabaikan dalam pelaporan cerita.
Piranha akan mengintai kawasan di mana nelayan pergi untuk membuang hasil tangkapan mereka dan membuang saki-baki ke laut, dan mereka juga akan bersembunyi di bawah tempat burung biasanya bersarang dan menunggu anak burung jatuh ke dalam air. Apabila manusia digigit, biasanya hanya menyebabkan kecederaan kecil.
Kekuatan gigitan seekor piranha juga telah diperbesar-besarkan. Walaupun sesetengah spesies mempunyai gigitan yang lebih kuat (seperti piranha mata merah yang mampu menggigit dengan kekuatan daya tiga kali ganda berat badannya sendiri) - tetap tidak boleh membinasakan manusia hidup sehingga mati.
Ikan bergigi tajam ini sudah wujud berjuta-juta tahun. Selama berabad-abad, mereka menjadi lebih kecil dan kehilangan seluruh baris gigi belah atas akibat evolusi.
Walaupun sesetengah piranha adalah kanibal, ada juga yang vegetarian. Dan pakar piranha telah menganggarkan bahawa untuk memakan seluruh badan lembu dalam jangka masa lima minit, itu memerlukan kehadiran sekitar 500 ikan piranha yang kelaparan.
Asal-usul mitos
Jadi dari mana datangnya semua kebencian terhadap piranha kerana keganasannya? Teddy Roosevelt.
Dalam tulisan buku Roosevelt terbitan tahun 1914 yang bertajuk Through the Brazilian Wilderness, dia menceritakan beberapa kisah panjang tentang piranha. Menurut bukunya, ikan ini tidak berenang, mereka berkerumun. Mereka mencacatkan perenang dan dia mendakwa telah bertemu dengan ramai penduduk tempatan yang menanggung parut akibat ikan itu.
Menurut tulisannya lagi walaupun keluar dari air, mereka tetap berbahaya dan boleh bertahan untuk beberapa waktu. Roosevelt turut menulis ayat yang berbunyi "Mereka adalah ikan paling ganas di dunia. Mereka akan mengoyak dan memakan hidup-hidup mana-mana manusia atau binatang yang terluka, kerana darah di dalam air membuat mereka tidak keruan".
Kemudian, dia menceritakan kisah seorang budak lelaki berusia 12 tahun yang diserang semasa berenang, dimakan hidup-hidup oleh ikan ini. Kemudian ada kisah sekumpulan penjelajah yang melemparkan dinamit ke dalam sungai untuk memancing.
Apabila ikan terapung ke permukaan, orang-orang yang kelaparan ini mengumpulkan ikan-ikan yang timbul untuk dimakan. Namun, menurut Roosevelt, ada antara mereka yang tidak perasan telah mengunyah piranha dan ikan itu telah menggigit sebahagian besar lidah sehingga hampir tercabut.
Kredit: