Zaman kini sudah banyak tugas memasak harian dimudahkan dengan pesanan penghantaran makanan atau dengan membeli 'lauk tunjuk'. Sehinggakan ada segelintir anak dara dan isteri orang yang tidak mengenali langsung jenis-jenis makanan laut yang dijual di pasar basah untuk dimasak.
Untuk membantu bakal-bakal isteri yang akan mendirikan rumah tangga, isteri-isteri yang baru belajar masuk ke dapur dan juga para suami yang ingin membantu isteri membeli-belah di pasar basah, kami kongsikan panduan berikut untuk mengenali dengan lebih dekat jenis-jenis ikan yang biasa dijual.
BESARKAN TEKS A- A+
1. Perbezaan ikan Mabong, ikan Kembung, ikan Pelaling
Ketiga-tiga ikan ini berasal dari keluarga Indian mackerel, jadi rupanya saling tak tumpah sahaja. Cuma saiz sahaja yang berlainan (gambar tidak menunjukkan saiz sebenar).
Ikan mabong kebiasaannya lebih besar dan berisi lebih tebal sedikit berbanding ikan kembung. Manakala ikan pelaling pula selalunya bersaiz kecil sekitar selebar dua jari sahaja.
2. Jenis-Jenis ikan Bawal kebiasaan di pasar
Ikan bawal yang selalu dibuat masak sweet and sour ini ada tiga jenis yang selalu dilihat di pasar. Bawal hitam, bawal putih dan juga bawal emas. Senang saja untuk dikenalpasti kerana rupa bentuknya sama sahaja cuma warna sahaja yang berbeza mengikut nama.
3. Kenali ikan Kerisi
Ikan yang mempunyai isi dan rasa yang unik ini juga mudah dikenali kerana badannya yang berwarna merah dalam kategori ikan bersaiz kecil/sederhana. Sedap dibuat masak taucu, masak halia dan masak masam manis!
4. Kenali ikan Tenggiri
Salah satu geng ikan mahal. Satu potongan ikan tenggiri sahaja boleh mencecah sehingga RM6-7 sekeping. Mudah dimakan kerana tidak banyak tulang dan amat digemari kanak-kanak. Goreng kunyit garing-garing begitu saja pun sedap.
5. Cara nak kenal ikan Siakap
Ikan ini selalu sungguh dipesan jika anda berkunjung ke restoran makanan laut. Mungkin masak tiga rasa dan stim limau/halia merupakan menu yang yang paling popular. Dengan isi yang pejal dan manis, bisa menambat hati bakal mak mertua kalau anda pandai masak!
6. Bagaimana rupa ikan Selayang
Untuk pengetahuan anda, nama lain bagi ikan ini ialah ikan sardin. Ya, kedua-duanya merupakan ikan yang sama. Nama gelaran saja berlainan. Jika anda mahu belajar membuat sendiri sardin dalam tin, jangan keliru pula jika ada resipi yang meminta anda menggunakan ikan selayang ya!
7. Rupa bentuk ikan Kerapu
Ikan ini sangat mudah dikenali kerana badannya yang berbintik. Anda tak akan tersilap, jangan risau. Ini juga antara ikan besar dan mahal yang kerap dipesan di restoran makanan laut. Kerapu masak tiga rasa memang terangkat!
8. Kenali ikan Selar
Ikan ini mungkin rupanya seakan-akan ikan kembung, tetapi ia agak mudah dikenali kerana ia sedikit berbelang dan mempunyai warna kekuningan di bahagian badannya.
9. Kenali ikan Haruan
Ikan yang sering dimakan oleh ibu-ibu dalam pantang ini tidak susah untuk dikenalpasti kerana kepalanya yang seakan-akan ular dan badannya yang licin. Oleh sebab itulah ia dipanggil snakehead dalam bahasa Inggeris.
10. Kenali rupa bentuk ikan Patin
Ikan bermisai yang amat terkenal di negeri Pahang ini sedap dibuat pais dan masak gulai tempoyak. Isinya amat berlemak dan cair dalam mulut. Kalau tidak pandai masak ikan ini, masakan anda boleh bertukar menjadi hanyir. Tapi kalau anda sudah biasa dengan ikan ini, kesedapannya boleh buat anda tambah nasi 3-4 kali!