Etnik Uighur adalah umat Islam yang berbahasa Turki dari rantau Asia Tengah. Sebahagian besar Uighur tinggal di wilayah autonomi Xinjiang, China, di utara-barat negara itu.
Etnik ini adalah salah satu daripada beberapa minoriti Islam yang dianiaya di Xinjiang, termasuk Kazakhs, Uzbek, Tajiks, Kyrgyz dan Hui.
Nama rantau itu sendiri mencadangkan bahawa Uighur mempunyai autonomi dan tadbir urus sendiri. Tetapi sama seperti Tibet, Xinjiang adalah wilayah yang dikawal ketat di China.
BESARKAN TEKS A- A+
Banyak masyarakat Uighur juga tinggal di negara-negara jiran China, seperti Uzbekistan, Kyrgyzstan dan Kazakhstan. Malah, dianggarkan seramai 3,000 orang Uighur tinggal di Australia.
Terdapat kira-kira 10,000,000 orang Uighur di China dan sekurang-kurangnya sebanyak 300,000 lagi di Uzbekistan, Kazakhstan, dan Kyrgyzstan pada awal abad ke-21.
Presiden China Xi Jinping telah melaksanakan pendekatan tegas terhadap golongan minoriti Islam yang tinggal di Xinjiang, terutama Uighur.
Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, kerajaan China telah memasang alat pengawasan berteknologi canggih di seluruh rantau ini, dan jumlah polis juga melihatkan peningkatan.
Umat Islam minoriti ditangkap dan dipenjarakan dengan sewenang-wenangnya dan kini dianggarkan kira-kira sejuta orang Uighur ditahan dalam kem yang mana digelar sebagai "pusat latihan vokasional" oleh kerajaan China.
Ini adalah pusat tahanan yang dibina khas dan beberapa daripadanya menyerupai penjara dengan tahap keselamatan tinggi.
Siasatan oleh ABC baru-baru ini mendapati bahawa 28 buah kem tahanan telah berkembang di seluruh Xinjiang sebagai sebahagian daripada program penaklukan China.
Aktivis Uighur mengatakan China mengendalikan hampir 500 kem tahanan dan penjara di Xinjiang berdasarkan imej satelit.
Terdapat bukti yang semakin banyak tentang pelanggaran hak asasi manusia di dalam kem tersebut serta laporan kematian dalam tahanan dan buruh paksa.
Anggota keluarga Uighur yang tinggal di luar China dilaporkan meminta bukti bahawa keluarga mereka masih hidup dari Beijing berkenaan dengan kehilangan ahli keluarga mereka di Xinjiang.
The Guardian baru-baru ini melaporkan anggaran bahawa 80% daripada Uighur di Australia mempunyai saudara yang telah hilang yang mungkin dimasukkan ke dalam kem.
Sejarah diskriminasi etnik Uighur
Republik Rakyat China menjadikan Xinjiang sebahagian daripada negara mereka pada tahun 1949. Ketika itu, etnik Uighur dianggarkan berjumlah sekitar 76% daripada keseluruhan penduduk rantau ini.
Orang Cina berbangsa Han iaitu kumpulan etnik majoriti di China, hanya menyumbang sebanyak 6.2% di Xinjiang, dan baki yang lain dirangkumi oleh kumpulan minoriti lain.
Sejak tahun 1949, penghijrahan orang Han ke rantau ini telah mengubah nisbah etnik di mana statistik rasmi menunjukkan populasi kini terdiri daripada 42% orang Uighur dan 40% orang Han.
Kerajaan China tidak mengiktiraf Xinjiang ini sebagai tanah jajahan.
Tetapi tindakan memasukkan Xinjiang sebagai sebahagian daripada China pada tahun 1949 mewakili penjajahan kepada minoriti Islam di Xinjiang dan sebahagian daripada penduduk telah menentang pemerintahan Beijing.
Ramai daripada mereka ini enggan bercakap Mandarin, sementara yang lain berkempen untuk merdeka. China menganggap sebarang rasa tidak puas hati atau kritikan terhadap Parti Komunis China sebagai satu ancaman.
Perbezaan pendapat oleh minoriti dianggap sebagai bahaya bagi keamanan negara. Malah, jika ia melibatkan suara sederhana yang mengutarakan tentang peningkatan kesihatan, pendidikan dan pekerjaan juga dilihatkan sebagai satu ancaman.
Bagi China, keutuhan wilayah adalah sangat penting.
Ia tidak bertolak ansur dengan apa-apa ungkapan atau luahan yang bertentangan dengan kedudukan rasmi bahawa Xinjiang sentiasa menjadi sebahagian daripada China.
Kerajaan China telah lama menganggap Xinjiang dan minoriti Islam seperti Uighur sebagai "mundur".
Semasa kempen Great Leap Forward oleh Parti Komunis dari tahun 1958 hingga 1962, etnik dan agama telah ditekankan sebagai "halangan untuk kemajuan" dan "adat yang mundur".
Tindakan keras yang brutal pada tahun 1980-an dan 1990-an membawa kepada sejumlah besar orang Uighur yang melarikan diri dari China untuk mencari suaka.
Mengapa kerajaan China menganiaya etnik Uighur?
China mengatakan bahawa tindakan keras berupa penahanan itu perlu untuk mencegah "keganasan" dan menghapuskan "ekstremisme" Islam.
Tindakan itu adalah sebahagian daripada kempen yang lebih besar oleh Xi Jinping untuk mempromosikan nasionalisme Han sebagai kuasa penyatu (Han adalah etnik majoriti di China) dan untuk menindas mana-mana etnik, kebudayaan atau keagamaan yang mungkin bersaing untuk mendapatkan kesetiaan popular dengan Parti Komunis China.
Pada tahun 2009, ketegangan yang didorong oleh beberapa dekad diskriminasi dan peminggiran ke atas etnik Uighur di tanah air mereka sendiri telah meletuskan pertempuran antara 2 etnik itu di jalan-jalan ibukota Xinjiang iaitu Urumqi.
Pertembungan antara orang Uighur dan Han China mengorbankan kira-kira 200 orang dan menurut pihak kerajaan China, kebanyakan daripada "mangsa" terdiri daripada orang Han.
China menyalahkan etnik Uighur dan telah berjanji untuk menghapuskan ideologi Islam dalam kalangan penduduk Uighur.
Keadaan semasa di Xinjiang
Cubaan asimilasi yang berulang-ulang secara cepat dan paksa, dasar diskriminasi dan menindas, dan satu kitaran yang mana ditafsirkan sebagai "penindasan-keganasan-penindasan" telah menyebabkan protes berkala di seluruh Xinjiang.
Dalam beberapa dekad kebelakangan ini, kerajaan China telah melabelkan kumpulan etnik Uighur sebagai pengganas kolektif.
Ini telah memberikan alasan yang kuat kepada China untuk membenarkan transformasi Xinjiang menjadi sebuah negeri yang diawasi ketat.
Juga, terdapat peningkatan Islamofobia di seluruh China. Islamofobia adalah adalah ketakutan, kebencian, atau prejudis terhadap agama Islam atau umat Islam umumnya, terutama apabila dilihat sebagai kuasa geopolitik atau sumber keganasan
(Setiausaha Agung Parti Komunis China dan presiden Republik Rakyat China, Xi Jinping)
Sesetengah orang Uighur telah diambil bekerja oleh kerajaan untuk mengintip orang Uighur lain, melaporkan sebarang tingkah laku yang mencurigakan atau menyalahi undang-undang.
Ini termasuklah jika seseorang itu telah berhenti merokok, enggan minum alkohol malah jika enggan menonton siaran berita Cina.
Pengawasan oleh Beijing termasuklah pengenalan wajah dan suara, pengimbas anak mata, pensampelan DNA dan imej pengenalan 3D orang Uighur.
Pendekatan ini telah diperkenalkan selepas pelantikan Chen Quanguo oleh Xi Jinping pada 2016 sebagai Ketua Parti Xinjiang.
Pelantikan Chen sebelum ini adalah di Tibet, di mana dia melaksanakan langkah kawalan yang sama ke atas penduduk Buddha.
Keadaan dalam kem tahanan Xinjiang
China mendakwa bahawa pusat penahanan di Xinjiang adalah untuk "latihan vokasional", tetapi perbicaraan Kongres Amerika Syarikat tentang kem-kem ini dan laporan seterusnya mencirikan kem-kem tersebut sebagai pusat "pendidikan semula politik".
Pendidikan ini melibatkan indoktrinasi harian iaitu menanamkan ideologi Komunis dan percubaan untuk membasmi budaya, bahasa dan agama golongan minoriti.
Maklumat mengenai apa yang sebenarnya berlaku di kem-kem adalah terhad, tetapi banyak tahanan yang telah melarikan diri dari China menggambarkan ianya sebagai satu keadaan yang sangat teruk.
Menurut mereka, tahanan dipaksa untuk berjanji setia kepada Parti Komunis China dan meninggalkan Islam, serta menyanyikan puji-pujian untuk komunisme dan belajar bahasa Mandarin.
Ada yang melaporkan keadaan seperti penjara, dengan kamera dan mikrofon memantau setiap langkah dan ucapan mereka. Lain-lain mengatakan bahawa mereka diseksa dan sangat kekurangan tidur semasa soal siasat.
Wanita telah berkongsi kisah penderaan seksual, dengan beberapa orang mengatakan bahawa mereka terpaksa menjalani pengguguran atau mempunyai alat kontraseptif yang ditanam tanpa kerelaan mereka.
Beberapa tahanan yang dibebaskan mempertimbangkan untuk membunuh diri atau telah menyaksikan orang lain membunuh diri.
Penahanan paksa ini juga mengganggu keluarga. Kanak-kanak yang mana ibu bapa mereka dihantar ke kem tahanan dipaksa untuk tinggal di rumah anak yatim yang dikendalikan oleh pihak kerajaan.
Ibu bapa Uighur yang tinggal di luar China sering menghadapi pilihan yang sukar iaitu sama ada pulang ke kampung halaman untuk bersama anak-anak mereka dan berhadapan risiko untuk dihatan, atau tinggal di luar negara dalam keadaan dipisahkan dari anak-anak mereka dan tidak dapat menghubungi mereka.
Laporan baru-baru ini telah mengenal pasti lebih daripada 100 intelektual Uighur termasuk penulis, penyair, wartawan dan profesor universiti adalah antara mereka yang ditahan.
Penganiayaan intelektual, yang menyuarakan menentang penindasan dan meneruskan amalan tradisional terhadap orang Uighur berlaku walaupun mereka bersikap sederhana dalam pandangan mereka dan berusaha ke arah perdamaian.
Pada tahun 2014, kerajaan China menahan Ilham Tohti, seorang profesor ekonomi yang menolak perpecahan dan mempromosikan perdamaian di Xinjiang.
Dia kini menjalani hukuman penjara sepanjang hayat selepas dituduh sebagai seorang pemisah.
Menekan kerajaan China
Xinjiang, secara geografinya adalah sangat penting dalam inisiatif "Belt and Road" oleh China, strategi pembangunan yang melibatkan infrastruktur dan pelaburan di Eropah, Asia dan Afrika.
Ini boleh memberi ruang kepada masyarakat antarabangsa untuk menerapkan tekanan diplomatik dengan cara sekatan. Pilihan lain adalah penggantungan atau penarikan diri daripada Perjanjian Belt dan Road yang sedia ada.
Negara-negara luar luar termasuklah Malaysia mempunyai tugas untuk campur tangan dan memaksa Beijing untuk mematuhi hak asasi manusia antarabangsa.
Umat Islam di seluruh dunia juga telah melakukan tunjuk perasaan terhadap penindasan etnik Uighur oleh China. Perkara yang sama dilakukan oleh pemain bola sepak antarabangsa Jerman dan kelab Arsenal, Mesut Ozil.
Walaupun dikecam oleh rakyat dan peminat China, beliau tetap berpegang teguh dengan kenyataannya. Diharapkan lebih ramai tokoh-tokoh ternama dan selebiriti terkenal dalam menyuarakan penentangan ini.
Rujukan:
1. Sejarah Ringkas Etnik Uighur
2. Britannica
3. Mengapa Kerajaan China Menahan dan Menganiayai Etnik Uighur