Bangunan-bangunan masjid menghiasai pemandangan di bandar Ningxia, sebuah kawasan yang terletak agak jauh daripada hiruk-pikuk bandar yang menempatkan 10.5 juta orang Muslim Hui, beraliran Sunni atau Sunni. Paling ramai di Ningxia, orang Hui merupakan kumpulan etnik minoriti ketiga terbesar di China.

Malangnya kini, kebanyakan masjid yang ada di situ mula ditanggalkan kubahnya - berikutan tindakan kerajaan China yang dilihat mahu memadamkan sebarang bentuk imej dan elemen Islam di kawasan itu, dengan Ningxia kini menjadi mangsa terbaru. Gansu yang terletak di tengah-tengah China setakat ini menjadi satu-satunya negeri yang kubah masjidnya masih lagi belum diturunkan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun tekanan yang mereka rasai masih lagi rendah berbanding apa yang berlaku kepada 1.5 orang Muslim Uighur di Xinjiang, kekhuatiran tentang apa yang telah terjadi di Xinjiang akan melarat ke Ningxia mula menjadi buah mulut penduduk setempat. Ini kerana sudah ada tanda pelbagai sekatan yang dikenakan kepada masyarakat Muslim Xinjiang - sudah mula berlaku di Ningxia sendiri.

Usaha memadamkan elemen Islam dan Arab dalam masyarakat

masjid hui diganti binaan pagoda

Pada bulan Ogos 2018 di Tongxin, salah satu daerah Ningxia - kerajaan China berusaha meruntuhkan Masjid Besar Weizhou, atas alasan bangunan tersebut didirikan tanpa permit. Berikutan bimbang sebarang kejadian buruk berlaku, penduduk setempat mula menempatkan diri mereka di dalam bangunan masjid tidak berganjak, sebagai usaha menghalang jentera bertindak memecahkan dinding-dinding masjid itu.

Usaha itu cuba disebarkan gambarannya melalui aplikasi media sosial, bagi menjelaskan kepada masyarakat luar apa yang sedang berlaku - namun tidak lama bersiaran, muat naik visual mereka di dalam masjid diputuskan pihak berkuasa. Walaupun begitu, usaha mereka sekurangnya berhasil menghalang perobohan dilakukan - buat sementara.

Tidak berhenti, pegawai kerajaan mula mengunjungi rumah ke rumah di Weizhao mendesak agar penduduk menandatangani persetujuan untuk menurunkan kubah serta minaret masjid itu dengan ugutan-ugutan tertentu. Pegawai kerajaan misalnya didesak dengan ugutan akan dipecat sekiranya tidak bersetuju dengan cadangan itu.

Setahun kemudian, kubah yang megah berdiri sudah selamat digantikan dengan binaan berbentuk pagoda dan pintu masuk masjid itu kini ditutup atas alasan pembinaan sedang berlangsung. Tidak cukup dengan itu, rumah-rumah pengasuh yang diuruskan komuniti Muslim Hui serta sekolah agama diarahkan tutup serta-merta.

Kenapa perubahan mendadak ini berlaku di Ningxia secara mengejut? Pada bulan April 2018, Jabatan Agama Negeri Ningxia yang sebelum ini diletakkan di bawah bidang kuasa kerajaan pusat China - mula diletakkan di bawah kuasa penuh Parti Komunis China atau CCP.

Ini seterusnya menyebabkan gerakan lebih agresif berlaku bagi memadamkan sebarang bentuk elemen luar seperti Islam yang dipercayai terlalu berorientasikan budaya Arab - sebagai usaha memperkuatkan lagi identiti 'masyarakat China' yang mereka dambakan.

Xinjiang sebagai medan eksperimen

protes masjid besar mahu diruntuhkan

Gerakan memadamkan elemen-elemen bukan Cina yang sedang rancak dilakukan, semuanya dilakukan berasaskan kepada apa yang terjadi kepada Xinjiang. Pegawai-pegawai kerajaan China dikatakan belajar daripada baik atau buruk insiden di Xinjiang dan menjadikan kes-kes di sana panduan, dalam usaha mereka di negeri-negeri lain sebagai usaha meminimakan penentangan masyarakat setempat.

Arahan meroboh atau menurunkan binaan berbentuk Islam dilakukan secara lisan, tanpa ada dokumen rasmi dikeluarkan bagi memudahkan rekod dilupuskan. Kontraktor yang dilantik pula hanya dibenarkan beroperasi pada waktu malam, bagi menghalang protes dilakukan dan bukti-bukti video dirakam.

Sebarang bentuk tulisan jawi akan diturunkan. Kedai menjual pakaian Muslimah tidak lagi dibenarkan menjual pakaian sedemikian. Bagi masjid yang dibenarkan beroperasi, Imam masjid yang lama digantikan dengan yang baru di bawah pengurusan jawatankuasa dipilih kerajaan China - dengan setiap masjid akan mempunyai sekurang-kurangnya dua orang pegawai bukan Islam sebagai penyelia.

Sekolah-sekolah agama yang dijalankan pihak masjid ditutup di Ningxia dan Henan sekitar bulan September tahun 2019 - dengan sasaran utama adalah sekolah yang mengajar bahasa Arab dan pendidikan Islam.

Ganjaran wang untuk laporan aktiviti keagamaan

komuniti muslim mui di china

Situasi yang membimbangkan ini diburukkan lagi berikutan tindakan pegawai-pegawai kerajaan tempatan di Tongxin sebagai contoh, yang menawarkan ganjaran wang tunai sebanyak RM3200 ke RM13,500 kepada mana-mana individu yang melaporkan sebarang aktiviti berbentuk ke-Islaman kepada pihak berkuasa.

Bukan saja aktiviti seperti ceramah atau kelas agama saja layak dilaporkan, malahan ibadah solat secara terbuka juga dikatakan mula menjadi salah satu aktiviti yang kerap dilaporkan individu tertentu. Keadaan ini memaksa masyarakat Muslim khasnya lelaki yang hadir ke masjid, untuk bersolat dengan wajah ditutup dengan kain bagi melindungi identiti mereka.

Apa yang lebih malang, mana-mana individu Muslim yang ke luar negara bagi menunaikan ibadah haji juga menjadi sasaran pihak berkuasa seperti apa yang telah berlaku di Xinjiang. Dua individu yang pulang dari Arab Saudi telah pun ditahan dan dihantar ke pusat tahanan di Xinjiang, sebaik saja menjejakkan kaki di negara asal mereka.

Walaupun ramai percaya apa yang berlaku ini tidak akan berkekalan serta ada hikmahnya pada mereka komuniti Muslim di situ, namun bagi ramai generasi muda Muslim Hui - mereka sudah mula memikirkan untuk berhijrah ke luar. Dikatakan destinasi popular mereka adalah Dubai ataupun negara kita, Malaysia.

Dengan kepakaran teknologi yang ada serta sistem sekuriti yang dikatakan paling ketat dalam dunia, memang amat sukar untuk warga Muslim China melarikan diri sekiranya mereka mula dikejar pihak berkuasa. Seperti kata-kata salah seorang pemimpin komuniti Muslim di situ, masyarakat Muslim di sini ada kaki tetapi tak boleh berlari, ada duit tetapi tidak berguna lagi, ada hati tetapi teruk ditekan setiap hari.

Bagi mereka, ini adalah kaedah baru pembersihan etnik yang berlangsung dan hanya pada Dia mereka akan terus bergantung.


Artikel ini adalah terjemahan dan olahan semula artikel 'Afraid We Will Become The Next Xinjiang': China's Hui Muslims Face Crackdown yang diterbitkan pada 26 September 2019.




Hakcipta iluminasi.com (2017)