,

Semenjak 2003, beribu rakyat China telah ditahan sehingga berbulan lamanya secara rahsia, dalam penjara yang hanya dikenali dengan gelaran penjara hitam atau 'black jail'; fasiliti yang ditubuhkan oleh pihak penguatkuasa daerah dan tempatan.

Di China, wujud satu budaya yang diwarisi mereka sekian lama yang digelarkan sebagai 'yuanmin.' Yuanmin adalah individu pembawa petisyen yang mempunyai isu atau kes berbangkit berkait dengan penyalah gunaan kuasa oleh pegawai kerajaan atau pihak yang memegang kuasa.

BESARKAN TEKS     A-  A+

black jail china activist petitioners got jailed

Isu dibawa oleh pemegang petisyen dalam bentuk surat, panggilan telefon atau pertemuan secara individu atau dalam kumpulan, bagi menyuarakan masalah yang dihadapi mereka kepada pegawai penyiasat yang bertanggungjawab. Kebiasaannya siasatan akan menjadi langkah seterusnya, sebelum boleh dilangsungkan sebarang bentuk perbicaraan.

Namun, ekoran jumlah laporan yang terlalu tinggi agaknya - pihak penguatkuasa di China mula memenjarakan individu pembawa petisyen bagi menghalang laporan penyalahgunaan kuasa terus dilakukan. Di sinilah penjara hitam memainkan peranannya.

Penjara di dalam, hotel di luar

penjara hitam china

Dengan menggunakan bangunan-bangunan seperti hotel milik kerajaan, rumah-rumah rawatan sakit tua dan hospital mental, beberapa bahagian dalam bangunan tersebut akan diubah suai untuk dijadikan kawasan penjara.

Individu pembawa petisyen akan diculik dalam operasi yang dijalankan, dibuang semua pengenalan diri mereka dan akan dikurung di dalam penjara-penjara ini tanpa sebarang kesalahan dilakukan.

Siasatan ke atas kaedah penjara hitam ini mendapati majoriti individu yang ditahan tanpa kesalahan ini adalah mereka yang telah hadir ke Beijing bagi melaporkan kes salah laku yang tidak disiasat di peringkat wilayah. Kebanyakan kes melibatkan kes rampasan tanah penduduk tanpa sebab munasabah, isu korupsi dan juga kes-kes kekerasan melibatkan pegawai polis.

Penjara hitam diwujudkan bagi memastikan pegawai-pegawai yang menghadapi laporan ini terlepas daripada disiasat. Taktik memenjarakan, menghukum serta menggunakan kekerasam ke atas pembawa petisyen dilihat sebagai satu cara mudah agar mereka tidak meneruskan niat asal mereka.

Kerajaan China menafikan sekeras-kerasnya kewujudan penjara hitam ini selepas laporan yang tersebar mendedahkan telah berlaku pencabulan hak asasi manusia yang sangat ketara.

Kisah-kisah bekas 'banduan' penjara hitam yang mengerikan

black jail china illegal

Bagi mereka yang telah melalui pengalaman di penjarakan, apa yang telah dilalui memang menjadi pengajaran kepada mereka. Majoriti menceritakan kisah yang serupa. Mereka didatangi individu-individu tidak beruniform yang mengaku ditugaskan untuk melakukan tangkapan.

Tidak ada sebab kenapa tangkapan dibuat diberitahu pada bakal 'banduan' dengan cara keras akan digunakan bagi mereka yang melawan. Seorang lelaki berusia 46 tahun dari wilayah Jiangsu memberitahu pengalamannya dikurung selama lebih sebulan, diseksa dan dimalukan setiap hari. Seorang wanita berumur 42 tahun diugut akan dihantar ke 'penjara' lelaki untuk dibiarkan dirogol banduan-banduan lain.

Bukan hanya golongan dewasa menjadi mangsa. Seorang bekas 'banduan' penjara hitam berusia 15 tahun ditangkap hanya disebabkan dia membuat laporan berkenaan layanan buruk yang diterima ayahnya yang cacat, selepas ayahnya ditahan dalam salah satu penjara hitam.

Operator penjara hitam dapat imbuhan yang lumayan

black jail penjara hitam china 7h223

Penjara-penjara hitam ini mula aktif selepas kerajaan China menghapuskan undang-undang membenarkan penahanan berbentuk arbitrari oleh pihak penguatkuasa, di mana seseorang itu boleh ditahan pegawai penguatkuasa tanpa sebarang kesalahan dibuktikan.

Berikutan risiko pembongkaran penyalahgunaan kuasa semakin tinggi, pegawai-pegawai kerajaan di peringkat tempatan mula menggunakan khidmat penjara hitam dalam memastikan kegiatan mereka terus dilindungi. Penjara hitam dilihat sebagai cara paling mudah dalam mencegah lebih awal laporan berjaya sampai ke peringkat lebih tinggi yang akan menyebabkan berlakunya demerit pada penilaian prestasi mereka.

Apa yang lebih menakutkan, operator-operator penjara hitam ini mula menjadikan penjara mereka sebagai satu bentuk perniagaan yang menguntungkan.

Ekoran daripada keperluan dana dalam menjalankan operasi penjara hitam hari ke hari, operator penjara hitam akan dibayar setiap hari sebanyak 150 yuan (RM91) ke 300 yuan (RM180) bagi setiap seorang banduan yang dikurung, secara tunai oleh pegawai-pegawai kerajaan yang terbabit.

Ini menyebabkan semakin banyak penjara-penjara hitam ini dibuka, walaupun sehingga ke hari ini dinafikan kewujudannya oleh kerajaan China.

Rujukan

Human Rights Watch




Hakcipta iluminasi.com (2017)