Sekiranya anda pengikut politik antarabangsa, anda pasti tahu peristiwa yang berlaku dalam tahun 2009 apabila perubahan besar melanda politik Jepun.

Parti Demokratik Jepun (DPJ) berjaya menamatkan penguasaan tampuk kerajaan Jepun, yang selama hampir separuh abad dipegang oleh Parti Demokratik Liberal atau LDP.

Apa yang mengejutkan, DPJ bukan sahaja berjaya menguasai bahagian parlimen yang sama dengan dewan rakyat negara kita (lower house of parliament) malahan mereka juga turut sama menjadi majoriti dalam 'the upper house of parliament.'

BESARKAN TEKS     A-  A+

Secara keseluruhan, DPJ menguasai 64% jumlah keseluruhan kerusi memberikan mereka platform kukuh untuk memerintah. Berkempen membawa propaganda perubahan dan pembebasan daripada 'rejim LDP' yang memerintah terlalu lama, DPJ berjanji akan melakukan pembaharuan kepada politik dan polisi Jepun.

Malangnya, kerajaan DPJ tumbang pada tahun 2012 selepas hilang sokongan dan kepercayaan pengundi. Ini kisahnya.

Gergasi LDP - 'Barisan Nasional versi Jepun'

shinzo abe perdana menteri jepun samurai

Kejayaan DPJ menguasai kerajaan meruntuhkan imej kebal yang selama ini dimiliki LDP.

Parti LDP selama memegang tampuk kuasa tidak pernah berdepan dengan kumpulan pembangkang yang bersatu, memudahkan mereka menguasai kerusi-kerusi parlimen dek perpecahan yang wujud di kalangan pembangkang sendiri.

Penyatuan parti-parti pembangkang yang diharapkan membawa agenda reformasi kepada spektrum pemerintahan negara Jepun, menjadi daya penarik utama pengundi untuk memilih mereka.

Janji untuk memperkenalkan perubahan kepada polisi fiskal, pengangkutan awam, pendidikan, polisi sosial, hubungan kerajaan pusat dan tempatan serta bermacam lagi ayat manis ditaburkan pemimpin DPJ.

Malangnya selepas memegang tampuk kuasa, majoriti janji yang gah diperkatakan gagal direalisasikan. Pelbagai perkara yang terkandung dalam manifesto dikecilkan skopnya atau terus dipinggirkan tanpa sebarang alasan munasabah.

Perlu diperjelaskan terlebih dahulu kemenangan DPJ banyak dibantu perubahan sistem pilihanraya Jepun yang berlaku dalam tahun 1994.

Pada tahun tersebut rombakan besar-besaran ke atas sistem parlimen Jepun digantikan dengan sistem baru bergelar 'satu keahlian satu daerah' atau 'single member district' (SMD) diperkenalkan.

Jumlah pengundi dalam satu kawasan diseimbangkan memberikan insentif baru kepada perubahan sistem kempen ahli politik dan mengubah faktor besar pengundi dalam memilih pemimpin setempat mereka.

parti politik jepun dpj

Secara tak langsung, sistem pilihanraya Jepun mula seimbang dari segi pembahagian kerusi seterusnya menghilangkan kelebihan yang selama ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh parti pemerintah LDP.

Sistem ini juga dikatakan menggoncang politik Jepun, mewujudkan ketidakstabilan dalam pola pengundian menyebabkan ahli dan parti politik tidak lagi mampu meramal dan mengambil mudah pilihanraya yang bakal diadakan.

Kelebihan LDP yang menguasai pengundi luar bandar mula kendur selepas sempadan pilihanraya digariskan semula, menyeimbangkan corak pengundi yang selama ini didakwa pro pemerintah.

DPJ bijak mengambil peluang yang terhidang. Pengenalan sistem pengambilan calon berdasarkan orang awam tempatan yang diamalkan DPJ menyebabkan ramai calon mampu mewakili DPJ, berbeza situasinya dengan pembangkang-pembangkang Jepun sebelum itu.

Ini membolehkan DPJ bertanding disemua kawasan, meletakkan calon-calon tempatan yang terpilih daripada komuniti dari kawasan asal mereka.

Kegagalan DPJ menguasai hati orang ramai

parti dpj jepun

Selepas kemenangan besar DPJ mereka dalam pilihanraya tahun 2009, pandangan orang ramai terhadap kerajaan baru Jepun berada pada tahap tertinggi ekoran janji-janji yang telah ditaburkan serta harapan yang menggunung.

Bermula tahun 2010 beberapa kesilapan besar mula dilakukan kalangan pemimpin dalaman DPJ. Skandal melibatkan Presiden DPJ sendiri Yukio Hatoyama yang didakwa terbabit dalam isu rasuah mula mendominasi berita.

Selain itu kesilapan Hatoyama mungkir janji memilih untuk terus mengekalkan pengkalan tentera Amerika Syarikat di Okinawa juga menyebabkan populariti DPJ menurun. Isu ini menjadi salah satu isu penting yang dibangkitkan semasa kempen DPJ dalam memenangi pilihanraya.

Tidak tahan berdepan tekanan, Hatoyama meletakkan jawatan sebagai presiden membolehkan pengundian presiden baru diadakan.

Menteri kewangan Jepun ketika itu, Naoto Kan dilantik sebagai presiden seterusnya Perdana Menteri baru yang pantas melakukan rombakan kabinet.

Tindakan ini membantu melindungi populariti DPJ buat sementara, sebelum sokongan kembali menjunam ekoran tiada gerakan usaha reformasi menyeluruh berjaya dijalankan.

manifesto parti politik dpj jepun

Berlaku perubahan Presiden sekali lagi dengan Yoshihiko Noda dilantik sebagai presiden pada bulan September tahun 2011 untuk mengembalikan sokongan orang ramai.

Rombakan kabinet turut dilakukan dengan matlamat mahu mengurangkan beban hutang Jepun, dijadikan agenda utama DPJ. Walaupun demikian, pengundi Jepun sudah mula hilang sabar dengan masalah DPJ sendiri.

Wujud penurunan konsisten tahap sokongan pengundi setiap kali DPJ melakukan pertukaran Presiden dan juga rombakan kabinet.

Ini menandakan semua langkah yang dibuat DPJ untuk mengembalikan keyakinan orang ramai tidak berjaya mengubah persepsi orang ramai terhadap parti itu.

Janji capati, kepercayaan pada kerajaan merudum

politik jepun harapan

DPJ mula dilihat oleh rakyat Jepun sebagai parti yang gagal mengotakan janji dan agenda mereka sendiri, lebih seronok bertelingkah sesama mereka. Perubahan polisi yang dijanjikan tidak berjalan. Pemimpin DPJ dilihat gagal atau tidak pandai mentadbir.

Berikutan persepsi yang semakin buruk, orang ramai mula membandingkan perubahan polisi yang telah dilakukan kerajaan-kerajaan Jepun sebelum itu dengan apa yang berjaya diperkenalkan DPJ, khasnya kerajaan LDP dibawah pentadbiran Ryutaro Hashimoto (Januari 1996-November 1996, November 1996-Julai 1998) dan Junichicro Koizumi (April 2001-November 2003, November 2003 - September 2005).

Kedua-dua era itu dilihat masyarakat Jepun sebagai era di mana reformasi benar-benar berjaya dilakukan kerajaan.

Jika dibandingkan dengan kedua-dua kerajaan di bawah LDP, DPJ didakwa gagal melakukan apa-apa perubahan besar sekadar berpuas hati dengan pengenalan akta dan dasar baru yang tidak signifikan impaknya.

Orang ramai mula menuduh DPJ hanya bijak mempermainkan sentimen masyarakat.

Berbeza dengan kempen pilihanraya DPJ yang mesejnya garang ibarat harimau, DPJ yang memerintah hanya mampu menjadi kucing yang jinak apabila diberikan kuasa, tunduk kepada tekanan sehingga gagal melakukan apa-apa.

Hanya lantang bila membangkang

presiden dpj skandal rasuah

Satu usaha paling besar yang diperkenalkan parti DPJ semasa membangkang yang benar-benar mengubah sistem pilihanraya Jepun, adalah pengenalan dokumen manifesto rasmi pada tahun 2003 bagi mendokumentasikan agenda mereka dalam merebut kuasa.

Langkah ini dipuji sebagai satu langkah progresif.

Atas langkah mereka itu, kerajaan Jepun yang ketika itu di bawah pemerintahan parti LDP merasakan tekanan sehingga terpaksa melakukan tindakan serupa; meniru langkah menerbitkan manifesto rasmi mereka bagi membantu mengawal persepsi masyarakat terhadap mereka.

Tiada siapa menjangka manifesto jugalah yang menjadi punca kejatuhan DPJ akhirnya.

Sama seperti tahun sebelumnya DPJ menerbitkan manifesto untuk pilihanraya tahun 2009, dipenuhi dengan bermacam janji agenda reformasi dengan asas lima perubahan utama : mengurangkan pembaziran belanja kerajaan, mengurangkan kos penjagaan anak dan pendidikan, mereformasikan skim pencen dan perubatan, mempertingkatkan kedaulatan negara dan yang terakhir memacu kembali ekonomi Jepun.

Selepas 3 tahun DPJ memerintah, perbandingan yang dilakukan oleh badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan mendapati majoriti agenda reformasi yang disenaraikan gagal dilaksanakan.

Kiraan mendapati DPJ hanya berjaya melunaskan sekitar 30% daripada keseluruhan 170 janji manifesto mereka.

Apa yang lebih lantang dipersoalkan orang ramai, banyak langkah DPJ sebenarnya hanya merupakan kesinambungan apa yang telah dilakukan kerajaan terdahulu di bawah LDP.

Orang ramai mula tertanya-tanya di mana janji reformasi yang digembar-gemburkan DPJ semasa kempen pilihanraya?

Jatuhnya kerajaan DPJ pada pilihanraya seterusnya

poster politik jepun dpj pengajaran untuk malaysia 9

Pelbagai alasan cuba diberikan DPJ atas kegagalan mereka melaksanakan janji manifesto mereka.

Salah satunya adalah alasan kekangan ekonomi. Walaupun ada asas hujah itu berikutan kejatuhan ekonomi Jepun yang telah berlaku sejak tahun 1991, alasan DPJ sukar diterima orang ramai.

DPJ juga dikatakan memainkan faktor masyarakat tua Jepun sebagai alasan, kerana mendakwa kerajaan perlu menanggung beban kos perubatan dan bayaran pencen warga tua, yang menyebabkan banyak projek dirancang DPJ terpaksa ditangguh atau dibatalkan.

Isu penghapusan tol yang dicanang hebat semasa kempen mula mendapat tentangan daripada pemimpin dalaman DPJ sendiri, yang menyedari kekangan bajet sedang mereka hadapi.

Sistem wang saraan bagi kanak-kanak yang diperkenalkan dalam membeli hati pengundi, dikritik sebagai satu sistem yang mudah untuk disalahguna serta tidak memberikan pulangan yang dihadapkan.

DPJ juga terpaksa berhadapan dengan isu bencana alam selepas gempa bumi Tohoku menyebabkan banyak projek pembaikian dan pemuliharaan perlu dijalankan segera. Insiden ini digunakan DPJ sebagai alasan utama kenapa janji manifesto untuk memansuhkan tol terpaksa dihentikan.

Pilihanraya bulan Disember 2012 menyaksikan LDP kembali memegang tampuk pemerintahan dengan sangat bergaya, menoktahkan DPJ sebagai penguasa tampuk kuasa. LDP menguasai hampir keseluruhan jumlah kerusi yang ada memenangi 294 kerusi, peningkatan 176 kerusi berbanding pilihanraya 2009.

DPJ pula yang sebelum itu menguasai 308 kerusi hanya berjaya mempertahankan 57 kerusi keseluruhan.

Tujuh pemimpin kanan yang mempunyai jawatan dalam kabinet kalah pilihanraya tersebut, termasuklah Naoto Kan bekas Perdana Menteri ketika era DPJ.

Perang dan masalah dalaman dalam parti menjadi punca kekalahan

parti politik haluan kanan jepun 219

Penganalisis menyifatkan kemenangan besar LDP bukanlah disebabkan oleh tahap sokongan orang ramai terhadap LDP.

Sebaliknya faktor utama kejatuhan DPJ adalah disebabkan perang dalaman sesama mereka yang menyebabkan kekukuhan kerajaan yang dikuasai mereka sudah pun merosot lebih awal, semasa mereka memerintah lagi.

Peratusan mengundi yang keluar mengundi rendah sekitar 58% juga dikatakan menjadi penyebab utama yang menyumbang kemenangan besar LDP. Walaupun demikian, peratusan jumlah pengundi yang mengundi LDP pada tahun 2009 lebih tinggi berbanding 2012, walaupun mereka tewas pilihanraya tersebut.

Ini bermakna sokongan pada LDP sebenarnya tidak meningkat, tetapi sokongan pada DPJ yang menjunam terlalu besar membolehkan LDP kembali membentuk kerajaan.

Faktor-faktor ini menunjukkan LDP tidak boleh mendabik dada atas kemenangan mereka.

Atas faktor itulah, Perdana Menteri Jepun (sehingga bulan Ogos tahun 2020) Shinzo Abe yang kembali mendapat mandat terpaksa mengakui kemenangan besar LDP bukanlah disebabkan kekuatan LDP.

Sebaliknya disebabkan sentimen rasa kurang senang orang ramai terhadap apa yang telah dilakukan oleh DPJ apabila memegang kuasa sebelum itu.

LDP kekal menerajui kerajaan Jepun dalam dua pilihanraya seterusnya pada tahun 2014 dan 2017, berjaya mengekalkan prestasi mereka dengan jumlah kerusi yang tidak banyak berubah.

Bagaimana pula dengan nasib DPJ?

Selepas tewas teruk dalam pilihanraya 2012 yang menyebabkan mereka kembali membangkang, DPJ memperbaiki prestasi memenangi 73 kerusi pada pilihanraya 2014.

Bermula pada tahun 2016, DPJ memilih untuk bekerjasama dengan dua buah parti kecil blok pembangkang Jepun iaitu Japan Innovation Party dan Vision of Reform.

Ekoran daripada penggabungan itu, satu gabungan parti baru dibentuk dinamakan sebagai Democratic Party atau DP, seterusnya membubarkan DPJ secara rasmi.

abe ldp menang politik jepun

Kisah bagaimana DPJ bangkit menyatukan barisan pembangkang sebelum hilang keyakinan orang ramai akibat kegagalan memenuhi janji sendiri, akan terus diperkatakan oleh warga Jepun dan masyarakat antarabangsa.

Begitulah sukarnya untuk sesebuah parti terus kekal bekerjasama walaupun kuasa sudah berada dalam tangan mereka.

Cerita kebangkitan dan kejatuhan mendadak DPJ 'kerajaan sepenggal Jepun' patut dijadikan tauladan oleh mana-mana ahli politik dalam negara kita agar berhati-hati menabur janji, kerana orang ramai akan tetap menuntutnya dipenuhi.

Tak penuhi? Alternatif lain akan dicari.

Rujukan

The 2012 Japanese Election Paradox




Hakcipta iluminasi.com (2017)