Oleh pada 04 Apr 2023 kategori

Murtabak atau nama betulnya martabak mengikut bahasa Melayu merupakan antara hidangan ikonik yang muncul secara besar-besaran, setiap kali tiba bulan Ramadan di negara kita. 

Anehnya hidangan ini sebenarnya ada saja dijual di restoran-restoran mamak setiap masa, tetapi entah kenapalah hanya murtabak dalam bulan Ramadan dilihat begitu istimewa. Apa yang istimewanya? 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Hanya mereka yang pernah merasai murtabak yang terbaik di kalangan yang terbaik tahu kenapa martabak dianggap satu hidangan yang istimewa. Pernah tak anda terfikir kenapa namanya martabak dan siapakah yang memulakan hidangan unik ini?

Kenapa namanya martabak?

penjual murtabak martabak

Pendapat popular menamakan hidangan istimewa ini sebagai murtabak, dengan huruf U membentuk suku kata 'mur'. Walaupun ramai mengejanya sebegitu, sebenarnya ejaan ini salah.

Secara rasmi dalam bahasa Melayu, ejaannya adalah MARTABAK.

Asal-usulnya yang diambil daripada bahasa Arab pula mempunyai sebutan yang berbeza datang daripada kaedah hidangan yang popular di kalangan masyarakat Arab iaitu mutabbaq, yang mempunyai makna 'hidangan yang dimasak dalam talam rata.'

Dipercayai direka oleh masyarakat Yaman, mutabbaq terawal merupakan sejenis hidangan pelbagai variasi. Banyak yang muncul tetapi tidak kekal lama dan mana yang kekal, berubah-ubah mengikut selera masyarakat.

mutabbaq samak

Salah satu hidangan mutabbaq yang lain berbanding kita adalah mutabbaq samak - sejenis hidangan berasaskan ikan (ikan dalam bahasa Arab samaka) yang masih diamalkan sehingga sekarang.

Berbeza dengan identiti martabak yang bias kita kenali hidangan ini bukanlah hidangan berasaskan roti sebagai bahan utama. Sebaliknya proses membuatnya yang memerlukan ikan, nasi dan roti diatur di atas periuk membentuk lapisan.

Populariti mutabbaq samak di kalangan masyarakat Arab memang kuat, sehinggakan hidangan ini dianggap antara tradisi kebangsaan masyarakat Iraq dan Kuwait.

India Muslim membawa resipi diolah selera mereka

penjual india martabak murtabak

Versi martabak yang ada di Malaysia pula dipercayai berasal selatan India, selepas pedagang India Muslim hadir ke sekitar rantau ini memperkenalkan hidangan yang mereka gelarkan sebagai mutabar.

Mutabar merupakan istilah yang terhasil daripada gabungan dua perkataan iaitu muta (telur) dan bar (roti), membentuk hidangan gabungan roti dan telur.

Pengkaji sejarah percaya masyarakat India Muslim di tanah besar India mengambil inspirasi daripada hidangan secara mutabbaq yang cukup popular di tanah Arab - kemudiannya mengolah menu itu agar kena dengan selera masyarakat tempatan. 

Penulis mengandaikan kekeliruan berkenaan istilah, mengakibatkan telur mula digunakan sebagai bahan utama dalam sajian ini. Ini andaian saja ya!

Pengaruh masyarakat India Muslim memperkenalkan hidangan mutabar ini menyebabkan roti ini dimakan dengan cicahan kari yang kuat rasa rempahnya - kerana kita tahu masakan kari mirip dengan orang di sana.

Ada juga pendapat menyebut orang India sebenarnya adalah pencipta martabak sebenar dan mereka yang memperkenalkan hidangan ini kepada orang Arab, sebelum orang Arab mengubahnya menjadi lebih mirip dengan selera masyarakat tempatan. 

Walaupun ada pertikaian berkenaan topik ini apa yang boleh kita persetujui; kehadiran martabak ke Asia Tenggara khususnya di negara kita, Indonesia, Singapura dan Brunei adalah disebabkan kehadiran pedagang India Muslim ke sini.

Bukan semua martabak sama

murtabak martabak malaysia

Disebabkan wujud bermacam jenis variasi martabak yang ada, agak sukar untuk kita mengklasifikasikan jenis martabak.

Kita di Malaysia dan Singapura mengenali martabak yang serupa; roti berinti gabungan telur, daging dan rempah yang digoreng sehingga keemasan.

Di Indonesia pula wujud bermacam jenis menu makanan yang dinamakan sebagai martabak dan jauh berbeza rupanya berbanding kita. Selain hidangan yang serupa dengan apa yang kita ada, mereka juga mempunyai hidangan martabak yang diolah oleh kaum Cina di sana.

Dikenali dengan nama martabak Bangka dan martabak terang bulan - hidangan ini sebenarnya sama dengan apam balik di negara kita.

Di Brunei pula, mereka menggelarkan apa yang kita kenali sebagai roti canai/kosong dengan nama martabak kosong.

Ada banyak cara martabak dimakan. Kita biasa menggunakan kari atau acar bawang sebagai cicahan. Di Indonesia, ada versi martabak yang dimakan dengan kuah kicap. Sementara di kalangan orang Arab, memakan martabak yang sama dengan martabak kita dengan hirisan cili dan lemon menjadi satu kaedah yang cukup popular.

'Martabak Raja' yang berasal dari Kelantan didakwa adalah martabak terbaik yang ada di Malaysia. Kami pernah merasainya beberapa kali dan kami cenderung untuk mengatakan pendapat ini ada benarnya. 

Sekiranya anda tahu di mana penulis boleh mendapatkan martabak yang mampu menewaskan keenakan martabak Raja dari Kelantan pada harga lebih mampu beli, kongsikan dengan kami ya. 




Hakcipta iluminasi.com (2017)