Pernahkah anda membeli sebuku roti, kemudian anda makan sedikit sahaja. Selepas beberapa hari, lebihan kepingan roti yang masih banyak telah berkulat, namun hanya pada sebahagian kecil roti. Kebanyakan daripada kita sudah pasti akan membuang bahagian yang tercemar, dan memakan yang selebihnya. Tahukah anda, tindakan ini sebenarnya berbahaya buat diri anda sendiri? 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Fahami Mekanisme Kulat

mekasnisme kulat pada roti

Sebenarnya tidak pernah wujud bahagian 'bersih' pada roti yang berkulat. Ini adalah kerana kulat (bahasa sebenarnya adalah mold) adalah sejenis fungus (kulat) seperti cendawan. Seperti cendawan, kulat mempunyai 'topi' (bahagian atas) yang mudah dikesan dengan mata kasar. Namun, akarnya yang tersembunyi, dikenali sebagai 'hyphae' sebenarnya adalah berbahaya buat manusia yang menghadamnya.

Hyphae membentuk sebuah rangkaian akar di dalam roti, dan walaupun kelihatan bersih tidak berkulat pada permukaan, ianya masih tidak selamat untuk dimakan. Bagaimana pula dengan kepingan roti daripada bungkusan yang sama, yang langsung tidak ditumbuhi kulat? Mungkin ianya lebih selamat untuk dimakan?

hyphae akar kulat pada roti

Tidak sama sekali! Ini adalah kerana pada ketika kulat mula bercambah, mata kasar manusia hanya dapat melihat bahagian reproduksi kulat yang diberi nama sporangium.

Setiap sporangium akan membebaskan ribuan spora (benih pembiakan) yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar manusia. Walaupun anda tidak dapat melihatnya, berkemungkinan besar roti yang kelihatan bersih dan selamat dimakan sebenarnya telah turut tercemar. 

Persepsi Orang Ramai Terhadap Roti Berkulat

persepsi terhadap roti kulat

Namun, sudah pasti kita akan merasa seperti membazir untuk membuang kesemua kepingan roti yang 'selamat' dimakan. Mungkin memakan roti yang mempunyai benih kulat tidak akan mengancam kesihatan dan nyawa kita? Atau mungkin sebaliknya?

"Aku selalu je makan, tak jadi ape pun. Over ah kau ni." Ini antara persepsi kebanyakan daripada kita. Walaupun begitu, sanggupkah anda mengambil risiko dijangkiti keracunan makanan yang akhirnya boleh membawa maut? Sanggupkah anda memperjudikan nyawa anda untuk sebuku roti?

Seperti cendawan, ada kulat yang tidak berbahaya, namun kebanyakan yang lain boleh mengancam nyawa manusia. Terdapat beribu jenis spesis kulat, di mana sebahagian besar daripadanya tidak berbahaya kepada manusia. Memandangkan terdapat banyak jenis kulat yang boleh tumbuh pada makanan, adalah mustahil untuk mengetahui sama ada makanan tersebut masih selamat untuk dimakan. 

Jenis-Jenis Kulat

jenis jenis kulat

Sebagai contoh, cladosporium kadangkala boleh menyebabkan alahan, namun secara amnya tidak berbahaya. Kulat seperti penicillium crustosum pula menghasilkan racun berbahaya yang dikenali sebagai mycotoxins.

Pada tahun 2005, sepasang suami isteri telah dimasukkan ke hospital selepas memakan sup dalam tin yang tercemar dengan jenis kulat ini. Mereka mengalami lemah otot yang serius, namun akhirnya berjaya sembuh. 

Spesis kulat lain seperti rhizopus stolonifer pula boleh menyebabkan kesan kesihatan yang berbahaya dan kekal. Anda mungkin pernah melihat kulat jenis ini, kerana ia biasanya tumbuh pada roti, dengan warna biru kehijauan dengan tompok hitam yang kabur. 

Dalam sesetengah kes, kulat ini boleh menyebabkan jangkitan maut yang dikenali sebagai zygomycosis, keadaan di mana darah dalam saluran membeku, dan akhirnya menyebabkan sel badan mati dek kerana kehausan oksigen.

Kesimpulan

Kulat jenis ini bukanlah ibarat bakteria, di mana sedikit haba sahaja sudah boleh membunuhnya. Haba yang tinggi belum tentu boleh menyahaktifkan mycotoxins. Memandangkan anda tidak mempunyai sebarang klu jenis kulat apa yang tumbuh pada roti anda, tanya diri anda, adakah berbaloi risiko yang bakal anda ambil?

Jangan kerana sebuku roti, nyawa anda dan keluarga terancam. 

Sumber & Bacaan Tambahan:

  1. delish.com
  2. npr.org
  3. imaginationstationtoledo.org



Hakcipta iluminasi.com (2017)