Sebuah lori yang mengangkut muatan bahan kimia cecair jenis asid sulfurik terbalik di Kilometer 3, jalan menghala ke arah Sipitang, Beaufort, semalam.
Menerusi sebuah kenyataan, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah memberitahu, pihaknya mendapat panggilan kecemasan sekitar jam 4.29 petang.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa sejumlah 16 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort digegaskan ke tempat insiden pada jam 4.36 petang dengan sebuah jentera.
“Kemalangan tersebut melibatkan sebuah lori trailer yang membawa muatan 32 tong berisi 25,300 liter bahan kimia.
“Akibat kemalangan itu beberapa buah penutup tong terbuka lalu menyebabkan tumpahan asid dan mengeluarkan wap (vapour),” ujarnya semalam.
Berikutan kejadian tersebut, pasukan bomba bertindak menjalankan pengosongan seluas 500 meter persegi untuk operasi pembersihan agar bahan kimia itu tidak merebak.
“Dalam pada itu, Pasukan Pengurusan Bahan Berbahaya (Hazmat) Negeri Sabah turut terlibat dalam operasi ini,” ujarnya.
Sementara itu, Deputi Superintendan Azmir Abd. Razak selaku Ketua Polis Daerah Beaufort mengakui tentang insiden berkenaan.
Sumber sepenuhnya: Kosmo Online