Pada tahun 1939, satu pasangan ibu bapa di sebuah kampung terpencil di Peru menyedari bahawa perut anak perempuan mereka semakin membesar. Risau jika ia disebabkan tumor, Tiburelo Medina dan Victoria Losea membawa anak mereka berjumpa doktor di bandar Lima.

Pasangan itu terkejut apabila doktor memberitahu bahawa anak perempuan mereka, Lina Medina, hamil tujuh bulan. Pada 14 Mei 1939, Lina Medina melahirkan seorang bayi lelaki sihat melalui pembedahan. Pada usia 5 tahun, tujuh bulan dan 21 hari, Lina Medina menjadi ibu termuda di dunia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kes Medina mengejutkan pakar pediatrik dan menarik perhatian antarabangsa. Hingga hari ini, Medina tidak pernah memberitahu siapakah ayah kepada bayinya dan keluarganya mengelak sebarang peluang untuk ditemu ramah.

Walaupun kes ibu muda ini diselubungi misteri, pihak perubatan cuba mengungkap bagaimana Lina Medina hamil dan siapakah bapa kepada bayi itu.

Kes akil baligh awal

Lina Medina dilahirkan di salah satu kampung termiskin di Peru dan kehamilannya jelas mengejutkan ahli keluarganya dan orang ramai. Namun, ahli endokrinologi pediatrik menganggap kehamilan ini sesuatu yang mempunyai penjelasan sendiri.

Dipercayai bahawa Medina mempunyai keadaan genetik yang jarang berlaku dikenali sebagai precocious puberty (akil baligh awal). Keadaan ini menyebabkan tubuh kanak-kanak berubah menjadi dewasa sebelum waktunya.

Kanak-kanak lelaki yang mengalami keadaan ini biasanya mengalami suara yang dalam, kemaluan membesar dan mempunyai bulu pada muka. Bagi kanak-kanak perempuan pula, mereka akan didatangi haid dan payudara membengkak lebih awal.

lina medina melahirkan anak

Keadaan ini mempengaruhi kira-kira 1 daripada 10,000 kanak-kanak. Jumlah kanak-kanak perempuan yang mengalami kondisi ini adalah 10 kali lebih banyak berbanding kanak-kanak lelaki. 

Biasanya, penyebab akil baligh awal tidak dapat dikenal pasti. Namun, kajian terbaru mendapati bahawa kanak-kanak yang mengalami penderaan secara seksual boleh mengalami akil baligh lebih cepat berbanding biasa.

Tidak memahami apa yang berlaku

Dalam kes Lina Medina, Dr. Edmundo Escomel melaporkan kepada jurnal perubatan bahawa kanak-kanak itu mungkin didatangi haid seawal lapan bulan. Namun, penerbitan lain berpendapat bahawa Lina mungkin didatangi haid ketika berusia tiga tahun. 

Pemeriksaan lanjut terhadap Medina mendapati kanak-kanak itu sudah mengalami perkembangan payudara, pinggul yang lebih lebar dan pertumbuhan tulang seperti yang dialami mereka yang akil baligh.

Keadaan precocious puberty hanya menjelaskan sebahagian sahaja bagaimana Lina Medina hamil, bukanlah semuanya. Medina tidak pernah memberitahu doktor atau pihak berkuasa siapakah bapa kepada bayinya itu. Mungkin kerana usianya yang masih terlalu muda, dia tidak memahami apa yang berlaku.

lina medina bersama gerardo

Lina Medina bersama anaknya, Gerardo

Dr. Escomel mengatakan bahawa Medina tidak memberikan respon yang tepat ketika disoal tentang bapa bayi tersebut.

Ayah Medina iaitu Tiburelo yang bekerja sebagai tukang besi ditangkap kerana disyaki memperkosa anaknya. Namun, dia dibebaskan dan tuduhan ke atasnya digugurkan kerana kekurangan bukti atau saksi. Tiburelo pula menafikan dengan tegas terhadap tuduhan itu.

Beberapa agensi berita membuat spekulasi bahawa Medina mungkin diserang ketika perayaan yang diadakan di kampungnya tetapi dakwaan ini tidak pernah dibuktikan.

Ibu termuda dunia terus berdiam diri

Sejak kehamilan Lina Medina diketahui umum, kisah itu mendapat perhatian dari seluruh dunia.

Akhbar di Peru menawarkan sejumlah wang yang banyak untuk menemuramah kanak-kanak itu tetapi tidak berjaya. Begitu juga dengan akhbar dari Amerika Syarikat.

Bahkan, keluarga Medina ditawarkan untuk diterbangkan ke Amerika Syarikat tetapi keluarga itu menolak dan enggan bercakap secara terbuka.

lina medina bersama bayinya

Dengan misteri yang menyelubungi kehamilan Medina dan keengganan keluarganya ditemuramah, beberapa pemerhati menuduh bahawa keluarganya berbohong mengenai kehamilan itu.

Namun tuduhan itu tidak kukuh kerana keluarga Medina tidak mendapat apa-apa keuntungan dari kisah ini dan banyak dokumentasi perubatan mengenai kehamilan kanak-kanak ini.

Hanya dua keping sahaja gambar kehamilan Medina yang diketahui wujud. Satu daripadanya ialah gambar berkualiti rendah yang pernah diterbitkan dalam laporan perubatan. 

Fail kesnya juga mengandungi banyak laporan oleh doktor yang merawatnya termasuklah gambar sinar-X perutnya yang jelas menunjukkan tulang janin yang sedang berkembang dalam perutnya. Ujian darah juga mengesahkan kehamilan Medina.

Apa yang berlaku kepada Lina Medina?

Lina Medina melahirkan anak melalui kaedah Cesarean (pembedahan). Walaupun pinggul Medina melebar lebih awal daripada sepatutnya, dia mungkin akan mengalami kesulitan melahirkan bayi melalui saluran kelahiran biasa.

Bayi Medina dinamakan sebagai Gerardo. Selepas melahirkan anak dan diperiksa doktor, Medina pulang ke kampung keluarganya selepas dibenarkan keluar dari hospital.

lina medina berkahwin

Lina Medina bersama suaminya, Raul Jurado

Dua tahun selepas melahirkan anak, seorang doktor pakar bernama Paul Koask mendapat kebenaran untuk mengunjungi keluarga Medina. Koask mendapat bahawa ibu termuda di dunia itu mempunyai kecergasan "melebihi tahap normal" dan bayinya juga sihat.

Menurut Dr. Koask, Medina menganggap bahawa Gerardo sebagai adiknya, begitu juga dengan ahli keluarganya yang lain.

Seorang pakar obstetrik bernama Jose Sandoval yang menulis buku mengenai kes Medina mengatakan bahawa kanak-kanak itu lebih suka bermain dengan anak patung berbanding bayinya.

Gerardo juga membesar dengan berfikir bahawa Medina adalah kakaknya sendiri sehinggalah dia mengetahui hal yang sebenar ketika berusia 10 tahun.

Walaupun Gerardo sihat sepanjang hayatnya, dia akhirnya meninggal dunia pada usia yang agak muda ketika berusia 40 tahun pada 1979 akibat penyakit tulang.

Bagi Lina Medina pula, penulis tidak dapat mengesahkan sama ada dia masih hidup atau sudah meninggal dunia. Selepas kes kehamilannya yang menggemparkan dunia, Medina memilih untuk menjalani kehidupan yang tenang dan jauh daripada khalayak ramai di Peru.

lina medina ketika tua

Lina Medina ketika sudah berusia emas

Dia mendapat pekerjaan sebagai seorang setiausaha kepada doktor yang menyambut kelahirannya. Pendapatan yang diperolehinya digunakan untuk membayar yuran persekolahan Gerardo dan dirinya sendiri.

Medina kemudian mengahwini seorang lelaki bernama Raul Jurado pada awal 1970-an dan melahirkan anak keduanya ketika berusia 30-an. Pada tahun 2002, Medina dan Jurado masih merupakan pasangan suami isteri dan tinggal di kejiranan miskin di Lima.

Jika masih bernyawa pada hari ini, Medina mungkin sudah berusia hujung 80-an.

Rujukan:

1. Melahirkan anak pada usia 5 tahun

2. Ibu termuda dalam dunia

3. Kisah Lina Medina dari Peru




Hakcipta iluminasi.com (2017)