Setiap hari Ahad kedua dalam bulan Mei, masyarakat negara kita akan menyambut sambutan hari ibu sempena mengingati wanita yang utama dalam hidup kita - ibu, mak, ummi, mother, mama, ma, emak, bonda atau apa saja gelaran yang kita gunakan.

Pertikaian berkenaan sambutan hari ibu sering muncul setiap kali tibanya sambutan ini, disebabkan oleh asal-usulnya yang lebih sinonim dengan sambutan keagamaan masyarakat Barat. Namun penjelasan (bekas) Mufti Wilayah dalam menangani persoalan ini cukup cantik.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ibu juga sering dijadikan fokus dalam penghasilan karya, dengan watak-watak ibu yang kejam dan garang menjadi igauan ramai. Pernahkah anda menonton filem yang memaparkan watak ibu yang membuatkan kita rasa benci?

Berikut adalah lima filem yang sangat berjaya menayangkan kita watak ibu, yang mampu membuatkan kita rasa tak senang duduk.

1. Hereditary

toni collette hereditary

Kita mulakan dengan salah sebuah filem kurang dikenali, tetapi mendapat sambutan menggalakkan mereka yang menontonnya. 'Hereditary' mengisahkan berkenaan seorang wanita lakonan Toni Collette, yang baru kematian ibu kandungnya.

Babak-babak awal filem ini lebih memfokuskan kepada kesan psikologi dan trauma yang perlu dihadapi keluarga 4 beranak itu dalam menghadapi kematian tersebut sebelum bermula bermacam gangguan aneh di sekeliling mereka, yang mengakibatkan hubungan sesama mereka mula retak.

Situasi mula menjadi lebih buruk selepas anak sulungnya, seorang remaja lelaki terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawa adiknya - mengakibatkan ibunya mula menyalahkan anak sulungnya itu atas semua perkara.

Berdepan tekanan, wanita tersebut mula mencari jawapan sebelum menemui rahsia berkenaan pusaka warisan keluarga mereka yang cukup misteri, menjawab semua persoalan kenapa nasib malang sering menimpa keluarga mereka.

2. Ma

ma octavia spencer

'Ma' merupakan sebuah filem yang sangat seronok ditonton pada bahagian awal filem ini, kerana menayangkan babak-babak hidup remaja biasa yang gemar mencari keseronokan.

Namun perkenalan kumpulan remaja itu dengan seorang wanita bernama Sue Ann yang sudi membantu mereka mendapatkan bekalan arak, menjadi titik tolak perubahan hidup mereka.

Sue Ann dilihat terlalu sibuk hendak bersama dengan remaja-remaja itu setiap masa, serta sanggup menghabiskan wang ringgit untuk membahagiakan remaja itu menerusi parti yang dianjurkan di rumahnya sendiri.

Selepas kumpulan remaja itu mula menunjukkan rasa rimas kenapa seorang wanita pertengahan umur sanggup melepak bersama-sama remaja sekolah, Sue Ann mula mengambil langkah keras dalam memastikan kumpulan remaja tersebut tidak lagi mampu meninggalkan dirinya sendirian.

3. Carrie

margaret white carrie

Filem klasik 'Carrie' yang diterbitkan pada tahun 1976, seringkali dijadikan acuan kepada bermacam kisah seram zaman moden malahan filem ini sudah pun diolah semula dalam nafas baru. Namun versi asalnya nyata layak dikategorikan dalam kumpulan filem klasik.

Filem ini memaparkan perubahan emosi, mental dan fizikal yang berlaku kepada watak utamanya, seorang gadis bernama Carrie White ketika berubah menjadi dewasa namun hidup dalam situasi tertekan, disebabkan ibunya yang terlalu mengongkong anaknya. Disebabkan oleh sikap ibunya, Carrie menghadapi masalah menyesuaikan diri di sekolah sehingga dipermainkan dan dibuli setiap hari.

Ibunya Margaret pula seorang fanatik agama yang sama sekali enggan membenarkan anaknya berubah menjadi seorang wanita berdikari disebabkan oleh kesilapan silamnya, yang tidak diceritakan.

Pada dasarnya, filem ini digarap sebagai sebuah filem seram namun realitinya filem ini sebenarnya mengkritik secara terbuka sikap segelintir ibu bapa yang terlalu mementingkan pandangan diri sendiri, sehingga sanggup mengorbankan keperibadian anak kandung mereka.

4. Precious

Pasti ramai belum menonton filem ini kan? 'Precious' memaparkan sebuah keluarga bermasalah disebabkan oleh sejarah hitam keluarga itu, disebabkan oleh tabiat ayah mereka sendiri yang gemar merogol anaknya yang bernama Precious.

Hasil daripada perbuatan keji itu, dua orang anak lahir ke dunia dalam keadaan kurang upaya menyebabkan beban untuk membesarkannya jatuh kepada Precious serta ibunya.

Malangnya, ibunya melihat apa yang telah dilakukan oleh suaminya sendiri kepada anaknya, merupakan satu bentuk ketidak adilan yang berpunca daripada anaknya sendiri. Precious dipersalahkan sebagai punca semua masalah, mengakibatkan dia menjadi mangsa dera ibu kandung sendiri sepanjang hidupnya - bermula sejak kecil.

Filem ini dipuji ramai kerana berani membawakan tema yang kurang disenangi ramai serta mendapat banyak pencalonan dalam festival filem Academy Awards.

Lebih membanggakan, pelakon utama filem itu yang membawakan watak 'Precious, pelakon wanita bernama Gabourey Sidibe membuat kemunculan pertamanya dalam filem tersebut seterusnya tercalon dalam kategori 'Pelakon Wanita Terbaik' anugerah berprestij tersebut.

5. Ibu Mertuaku

ibu mertuaku nyonya mansoor

Rakyat Malaysia yang belum pernah menonton filem 'Ibu Mertuaku' harus cepat-cepat menonton filem ini, kerana filem ini merupakan antara filem terbaik dalam senarai panjang sinematografi Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

'Ibu Mertuaku' memaparkan pergolakan antara seorang wanita bernama Sabariah yang mahu mengahwini seorang pemuzik bernama Kassim Selamat, namun mendapat tentangan ibunya Nyonya Mansoor yang berkehendakkan seorang doktor sebagai menantu.

Cukup berang selepas mendapat tahu anak perempuannya jatuh cinta dengan seorang ahli muzik, Nyonya Mansoor akhirnya terpaksa melepaskan anaknya untuk berkahwin sebelum berjaya menjalankan taktik paling jahat, keji dan zalim pernah digunakan dalam filem Melayu - untuk memisahkan pasangan suami isteri itu.

Berbeza dengan majoriti filem P. Ramlee lain yang memberikan kita kegembiraan pada penamat kisah, 'Ibu Mertuaku' tidak takut untuk terus mempermainkan hati kita dengan penutup filem yang merobek hati penonton tanpa sebarang rasa leka.




Hakcipta iluminasi.com (2017)