Rata-rata rakyat Malaysia yang datang berkunjung ke Jepun pasti akan kagum dengan tahap kebersihan di Jepun. Boleh dikatakan setiap jalannya bersih malah tiada sampah sarap bertaburan di kaki lima. Begitulah tingginya tahap disiplin orang Jepun dalam menjaga kebersihan kawasan persekitaran mereka.

Selain tahap disiplin yang tinggi, Jepun juga terkenal dengan teknologi kereta api lajunya yang juga dikenali sebagai Shinkansen. Bukan sahaja laju, malah rata-rata penumpang turut memuji kebersihannya malah kagum kerana kereta api laju ini tidak kedengaran begitu bising daripada dalam gerabak.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pernahkan anda terfikir, bagaimanakah kebersihan Shinkansen ini kekal terpelihara bersih? Dengan purata kira-kira 210 buah trip yang berlepas daripada Tokyo setiap hari, ianya pasti sesuatu yang sukar bagi memastikan setiap gerabak kereta api sentiasa berada dalam keadaan kemas dan bersih.

Hanya 7 minit diperlukan

pekerja tukang bersih shinkansen

Percayakah anda, hanya 7 minit sahaja masa yang diperlukan untuk membersihkan keseluruhan gerabak kereta api Shinkansen. Hal ini kerana, 7 minit itulah hanya masa yang mereka ada sebelum kereta api tersebut dimasuki penumpang untuk trip yang seterusnya.

Video ringkas di bawah yang bertajuk 7-Minutes Miracles memperlihatkan bagaimana kerja-kerja pembersihan ini dilakukan. Paling mengagumkan, secara purata umur pekerja yang membersihkan setiap gerabak kereta api ini adalah 52 tahun.

Syarikat yang diamanahkan untuk melakukan kerja-kerja pembersihan gerabak kereta api ini adalah TESSEI. Mereka akan melakukan kerja-kerja pembersihan ini sebaik sahaja kereta api ini berhenti di Stesyen Tokyo. Terdapat kira-kira 820 orang pekerja dalam syarikat ini iaitu yang bekerja sepenuh masa dan juga separuh masa.

Daripada keseluruhan pekerja ini, kira-kira 50% daripadanya adalah pekerja wanita. Disebabkan kebanyakannya sudah lanjut usia, pengguna kereta api menggelarkan mereka "obaa-sans" atau terjemahanya "nenek". Adalah sesuatu yang mengagumkan pada umur sebigini, mereka masih boleh bekerja dengan pantas dan efisyen.

Prosedur membersihkan kereta api Shinkansen

kerja pembersihan shinkansen 728

Rakyat Jepun sememangnya sangat mementingkan ketepatan masa. Sebelum kereta api sampai di stesyen, pasukan pembersih ini akan bersiap sedia berada di posisi masing-masing. Kerja pembersihan akan bermula sebaik sahaja kesemua penumpang keluar.

Secara puratanya, setiap kereta api hanya akan berada 12 minit di Stesyen Tokyo. Daripada 12 minit ini, 2 minit pertama adalah masa diperuntukkan untuk penumpang keluar. 7 minit seterusnya adalah masa yang diperuntukkan untuk kerja-kerja pembersihan sementara baki 3 minit terakhir untuk penumpang baru masuk.

pekerja tessei

Disebabkan masa yang sangat singkat ini, setiap pekerja akan dibahagikan tugas dan perlu mengikut prosedur yang telah ditetapkan. Pertama sekali, pekerja akan memastikan ruang penyimpanan barang di atas tempat duduk telah dikosongkan. Kemudian setiap kerusi akan dicek sama ada terdapat barangan penumpang yang tertinggal dan sampah akan dikutip.

tray kereta api

Pekerja kemudianya akan mengelap tray dan membuka penutup tingkap yang tertutup. Sekiranya tempat duduk terlalu kotor, alasnya akan ditukar baru yang bersih. Setelah kesemua perkara diatas sudah dibuat, barulah pekerja tersebut akan menyapu lantai.

Akhir sekali, mereka akan menekan satu butang rahsia yang akan memusingkan kedudukan kerusi ke arah berlawanan. Kebiasaannya, seorang pekerja akan ditugaskan membersihkan 1 gerabak dimana setiap gerabak mempunyai 100 tempat duduk. Kesemua ini harus dibersihkan dalam masa hanya 7 minit sahaja.

Satu pekerjaan yang terpuji

tessei

Syarikat TESSEI yang ditugaskan untuk melakukan kerja-kerja pembersihan Shinkansen telah dibentuk 9 tahun lalu. Pada peringkat awal, setiap pekerja hanya dianggap sebagai tukang cuci dimana mereka sentiasa dipandang rendah dan tidak mempunyai dedikasi terhadap kerja mereka.

Perkara ini menyebabkan kerja-kerja pembersihan Shinkansen tidak mencapai tahap yang memuaskan hati penumpang. Salah satu perubahan besar yang dilakukan adalah dengan menaiktaraf pekerjaan mereka ini sebagai satu "servis profesional", bukan setakat pekerjaan semata-mata. Hal ini berjaya mewujudkan perasaan bangga terhadap pekerjaan yang mereka lakukan.

Selain itu, mereka juga amat menekankan kepentingan bekerja sama antara setiap ahli kumpulan. Setiap hari, akan diadakan perrtemuan ringkas untuk berbincang sekiranya terdapat masalah yang perlu diselesaikan. Setiap ahli dalam kumpulan juga sentiasa diubah agar mereka berpeluang bekerja dan belajar sesuatu daripada ahli kumpulan yang lain.

shinkanse bersih 975

Sebagai cara penghormatan dan menyantuni para penumpang, pekerja TESSEI akan menunduk kepala pada kereta api sebaik ketibaan dan sebelum berlepas, dan juga kepada penumpang sebagai tanda hormat.

Budaya dan cara kerja pekerja TESSEI ini sememangnya dipandang tinggi dan mendapat perhatian daripada pelbagai pihak termasuklah Arnold Schwarzenegger, Gabernor California. Malah, sepasukan professor daripada Harvard University juga pernah menyatakan minat untuk memasukkan cara kerja mereka dalam silibus pembelajaran.

Kredit:

  1. Medium
  2. Japan Today
  3. Japan Insides
  4. WSJ



Hakcipta iluminasi.com (2017)