Pada awal abad ke 21, negara China mempunyai SIFAR rangkaian kereta api laju. Ketika itu, hanya ada beberapa beberapa sahaja laluan kereta api berkelajuan sederhana antaranya laluan perjalanan antara Shanghai-Beijing.
Namun, kini segalanya berubah. Negara yang mempunyai jumlah penduduk melebihi 1 bilion ini mempunyai rangkaian kereta api laju terbesar dunia mengikut jumlah jarak keseluruhan trek yang dibina.
BESARKAN TEKS A- A+
Menariknya, separuh daripada jumlah itu telah disiapkan dalam lima tahun terakhir sahaja dengan jarak sejauh 3,700 kilometer yang akan dibuka pada bulan-bulan mendatang pada tahun 2021. Jaringan kereta api laju ini dijangka menjadi dua kali lebih panjang kepada 70,000 kilometer menjelang 2035.
Dengan kelajuan maksimum 350 km/j di kebanyakan jalur laluan perjalanan, perjalanan antara bandar telah berubah dan dominasi syarikat penerbangan telah terganggu di laluan paling sibuk memandangkan orang ramai mula berarah kepada pengangkutan kereta api.
Menjelang 2020, 75% bandar China yang mempunyai penduduk seramai 500,000 atau lebih sudah mempunyai rangkaian kereta api berkelajuan tinggi. Sepanyol, yang mempunyai jaringan kereta api berkelajuan tinggi yang paling luas di Eropah dan menduduki tempat kedua global, berada jauh dengan hanya kira-kira 3200 kilometer laluan dibina untuk kereta api dengan kelajuan lebih dari 250 km/j.
Lambang kekuatan ekonomi
Cita-cita China adalah untuk menjadikan kereta api berkelajuan tinggi sebagai pilihan untuk perjalanan jarak jauh domestik namun pembinaan rangkaian kereta api baru ini sebenarnya mempunyai kepentingan yang jauh lebih besar. Sama seperti Shinkansen di Jepun pada tahun 1960-an, jaringan kereta api ini adalah simbol kekuatan ekonomi negara, pemodenan yang pesat, kemajuan teknologi yang semakin meningkat dan simbol kemakmuran negara.
Bagi Parti Komunis yang berkuasa China dan pemimpinnya Xi Jinping, kereta api berkelajuan tinggi juga merupakan alat yang kuat untuk perpaduan sosial, pengaruh politik dan penyatuan wilayah yang berbeza dengan budaya yang berbeza ke arus perdana.
China pada mulanya bergantung pada teknologi kereta api berkelajuan tinggi yang diimport dari Eropah dan Jepun untuk mewujudkan rangkaiannya. Syarikat gergasi kejuruteraan kereta api global seperti Bombardier, Alstom dan Mitsubishi sangat berminat untuk bekerjasama, memandangkan potensi pasaran baru dan rancangan bercita-cita tinggi China.
Namun, dalam dekad yang lalu, syarikat-syarikat tempatan mulai muncul dan telah berkembang menjadi pemimpin dunia dalam teknologi kereta api berkelajuan tinggi dan kejuruteraan hasil dari pembangunan dan pengembangan rangkaian laluan kereta api berkelajuan tinggi di tanah air mereka sendiri.
Cabaran pembangunan rangkaian kereta api di China
Saiz besar tanah negara China dan variasinya yang luar biasa dalam permukaan, geologi dan iklim telah memberikan cabaran luar biasa kepada para jurutera kereta api negara ini.
Dari kawasan Harbin yang kadang-kadang membeku di utara jauh hingga ke kawasan dengan kelembapan tropika di megalopolis Pearl River Delta, hingga jalur Lanzhou-Urumqi sepanjang 1,776 km yang melintasi Gurun Gobi, para jurutera China dengan cepat mengembangkan kepakaran yang luas dalam membina landasan kereta api di atas dan bawah tanah dan melalui apa sahaja permukaan yang ada di laluan tersebut.
Menjelang akhir tahun 2020, pihak Kereta Api Nasional China mengendalikan lebih daripada 9,600 kereta api berkelajuan tinggi setiap hari, termasuk satu-satunya perkhidmatan kereta api bermalam (overnight sleeper service) berkelajuan tinggi di dunia pada laluan jarak jauh terpilih.
Kerana kepadatan penduduk, di beberapa laluan lebih daripada 80% landasan dibina secara bertingkat terutamanya di bandar yang padat dan tanah pertanian yang berharga. Lebih daripada 100 terowong (masing-masing lebih dari 10 kilometer) juga telah melintasi beberapa halangan semulajadi antaranya Sungai Yangtze.
Demonstrasi kecekapan berteknologi tinggi
China bukan sahaja memfokuskan kepada kepantasan kereta apinya sahaja tetapi juga ketahanan dan kejuruteraan awam. Syarikat China adalah antara yang pertama di dunia yang memperkenalkan teknologi baru seperti operasi kereta api autonomi (tanpa pemandu) dan teknologi isyarat dan kawalan canggih.
Kereta api laju tanpa pemandu yang menghubungkan Beijing dan Zhangjiakou di provinsi Hebei utara mampu mencapai kelajuan hingga 350 km/j, menjandikannya kereta api autonomi terpantas di dunia.
Laluan baru yang dibuka pada bulan Disember 2019 ini merupakan sebahagian daripada persiapan untuk Sukan Olimpik Musim Sejuk dan Paralimpik Beijing 2022, telah mengurangkan masa perjalanan sejauh 174 kilometer dari 3 jam menjadi kurang daripada 60 minit, malah ada kereta api yang mampu melakukan perjalanan hanya dalam 45 minit.
Dibina hanya dalam 4 tahun, laluan ini mempunyai 10 stesyen yang tertumpu di 2 lokasi utama Sukan Olimpik Musim Sejuk dan yang lain di Badaling Changcheng yang memberikan akses lebih cepat bagi pelancong ke Tembok Besar China.
Pada akhir 2020, CRRC sebuah syarikat kejuruteraan kereta api milik negara China memperlihatkan prototaip kereta api elektrik berkelajuan tinggi untuk laluan antarabangsa yang mampu beroperasi pada kelajuan setinggi 400 km/j.
Kereta api baru ini didakwa mampu beroperasi pada suhu antara -50 C dan + 50 C, ia juga dilengkapi dengan sistem roda yang fleksibel dan boleh-ubah, membolehkannya untuk melakukan perjalanan ke Rusia, Mongolia dan Kazakhstan yang menggunakan tolok trek yang lebih luas daripada standard di China yang menggunakan saiz 1,435 mm.
Malah, ianya juga mungkin membolehkan kereta api ini melakukan perjalanan jarak jauh hingga ke India dan Pakistan melalui Myanmar dan Bangladesh.
Perancangan masa depan China
China bukan sahaja sedang membangunkan rangkaian laluan kereta api dalam negaranya sahaja, tetapi juga sedang membina dan menyambungkan rangkaian laluan kereta api dengan negara-negara jirannya. Perluasan ke negara-negara jiran sudah pun bermula dengan projek Kereta Api Laos-China bernilai $ 5.3 bilion yang akan dibuka pada akhir 2021.
Walaupun bukan kereta api berkelajuan tinggi, jalur baru sepanjang 413 km ini merupakan usaha perluasan pengaruh kereta api China yang signifikan yang menyediakan hubungan yang lebih baik dari selatan China ke ibu kota Laos, Vientiane.
Dalam usaha China untuk mengembangkan pengaruhnya ke seluruh Asia dan ke Eropah dan Afrika melalui "Belt and Road Initiative" yang bercita-cita tinggi, kereta api memainkan peranan penting dalam mewujudkan "Silk Road" yang diinginkannya.
Cadangan kereta api baru yang melintasi Himalaya ke India dan Pakistan, atau menjangkau ke Rusia dan bekas negara Soviet di republik Asia Tengah tidak hanya akan menyediakan jalan perdagangan yang lebih baik untuk eksport China, tetapi akan memberikan kontrak (dan cabaran) yang sangat besar untuk syarikat kereta api negara itu dan konglomerat kejuruteraan awam.
Kredit: