Jepun memiliki salah satu sistem kereta api yang paling sibuk dan paling cekap di dunia.

Ini mungkin menghairankan, memandangkan jumlah penumpang yang ramai dan kecekapan biasanya tidak akan berlaku serentak, malah sebaliknya.

Kecekapan itu dicapai dengan beberapa cara yang anda tidak jangkakan, dan syarikat-syarikat kereta api menggunakan pelbagai taktik untuk memastikan operasi berjalan dengan lancar.

BESARKAN TEKS     A-  A+

iluminasi.com kongsikan 7 fakta menarik dan mengejutkan tentang sistem kereta api di Jepun.

7. Terowong untuk kura-kura

terowong kura kura di jepun

Jurutera kereta api di Jepun telah membuat satu skim untuk mengelakkan kura-kura daripada terbunuh dilanggar kereta api ketika menyeberangi landasan.

Kejadian tidak diingini melibatkan kura-kura kerap berlaku di landasan kereta api Jepun. Ia bukan sahaja membunuh haiwan malang tersebut tetapi kadang-kala menyebabkan berlakunya kelewatan kerana kura-kura yang terperangkap.

Bekerja bersama dengan akuarium Suma Aqualife di Kobe, West Japan Railways memasang terowong cetek yang membolehkan reptilia itu berjalan dengan selamat di bawah trek.

6. Ahli keluarga mangsa bunuh diri disaman syarikat kereta api

kes bunuh diri dengan kereta api di jepun

Puluhan ribu orang bunuh diri di Jepun setiap tahun. Sebilangan besar daripada mereka membunuh diri dengan melompat di hadapan kereta api bergerak.

Bunuh diri seperti ini biasanya menyebabkan penangguhan pada laluan kereta api yang terlibat. Bagi syarikat kereta api, kelewatan akan menyebabkan kerugian.

Akibatnya, mereka menyaman keluarga individu yang membunuh diri disebabkan kelewatan yang berlaku.

Syarikat-syarikat tidak mendedahkan maklumat mengenai dasar ini atas alasan yang jelas. Walau bagaimanapun, kelewatan yang lebih panjang bermakna caj yang lebih tinggi.

Pada 2010, jumlah caj yang disaman mencecah RM220,000. Menariknya, bunuh diri dengan kereta api berkait rapat dengan sewa rumah menurun.

Rumah biasanya menjadi lebih murah di sepanjang laluan di mana kes bunuh diri dengan keretapi menjadi perkara biasa.

Kesengsaraan pemilik rumah boleh menjadi lebih teruk apabila seseorang bunuh diri di dalam kawasan hartanah mereka.

Tuan tanah sukar menyembunyikan fakta ini kerana undang-undang Jepun menghendaki mereka memaklumkan kepada calon penyewa tentang kes bunuh diri sebelum ini.

Banyak tuan tanah juga mengenakan bayaran kepada keluarga mangsa bunuh diri.

5. Tidur dalam kereta api  

orang jepun tidur dalam kereta api

Orang luar mungkin agak terkejut melihat betapa mudahnya orang Jepun tidur dalam kereta api. Malah, mereka tidur di mana-mana, dari bangku-bangku taman hinggalah dalam mesyuarat.

Mereka juga mempunyai nama untuk tabiat ini iaitu, inemuri ("tidur semasa hadir"). Tidur di khalayak ramai sangat normal dalam budaya Jepun yang mana dianggap tidak sopan untuk mengejutkan orang yang sedang tidur.

Orang Jepun tidur pada siang hari kerana mereka bekerja keras dan lama dan sering tidak cukup tidur pada waktu malam.

Mereka menggantikannya dengan tidur di tempat kerja, dan juga antara salah satu tempat paling popular untuk tidur adalah dalam kereta api.

4. Sijil kelewatan

sijil kelewatan kereta api jepun

Walaupun mempunyai salah satu sistem kereta api terbesar di dunia dari segi jumlah penumpang , kereta api Jepun sebenarnya sangat menepati waktu.

Ia sangat menepati waktu sehingga syarikat kereta api memohon maaf dan mengeluarkan sijil kelewatan apabila kereta api tersebut terlewat walaupun sedikit.

Pekerja stesen akan memohon maaf atas kelewatan 2 minit dan memberikan sijil kelewatan apabila kereta api lewat 5 minit. Sijil kelewatan diperlukan kerana sekolah dan majikan tidak bertolak ansur dengan kelewatan.

Biasanya sukar untuk meyakinkan majikan dan guru bahawa kereta api terlambat kerana jarang berlaku, jadi syarikat kereta api mengeluarkan sijil-sijil itu untuk ditunjukkan sebagai bukti.

Syarikat kereta api memanggil sijil ini sebagai "densha chien shoumeisho" ("sijil kereta api lewat").

Ia biasanya diedarkan oleh pekerja stesen di setiap stesen di mana kereta api lewat berhenti. Beberapa syarikat kereta api juga mempunyai versi digital yang membolehkan penumpang memuat turun sijil ke dalam telefon pintar. 

3. Permohonan maaf kerana berlepas awal

permohonan maaf dilakukan jika kereta api berlepas awal

Pasti anda sudah tahu bahawa kereta api Jepun tidak dibenarkan terlambat. Bukan itu sajaja, mereka juga tidak dibenarkan terlalu awal.

Pada bulan November 2017, sebuah syarikat meminta maaf kepada penumpang selepas kereta apinya di laluan Tsukuba Express meninggalkan stesen 20 saat lebih awal.

Kereta api tersebut sepatutnya meninggalkan stesen pada 9:44:40 tetapi berlepas pada 9:44:20 kerana salah seorang pekerja terlupa untuk memeriksa jadual waktu.

Permintaan maaf diperlukan kerana ingin memastikan kebolehpercayaan terhadap kereta api mereka. 20 saat adalah tempoh yang cukup untuk mengejar kereta api sebelum pintu ditutup, lebih-lebih lagi untuk mereka yang bergantung kepada jadual kereta api.

Pada Mei 2018, sebuah syarikat kereta api meminta maaf sekali lagi selepas kereta apinya meninggalkan stesen 25 saat lebih awal daripada masa berlepasnya iaitu 7:12 pagi.

Konduktor membuat kesilapan apabila dia menutup pintu pada jam 7:11 pagi. Dia menyedari kesilapan sebelum kereta api meninggalkan stesen tetapi tidak membuka semula pintu kerana dia melihat tiada penumpang di platform.

Walau bagaimanapun, terdapat penumpang di platform pada ketika itu. Para penumpang yang kecewa menghubungi syarikat kereta api berkenaan dan permohonan maaf awam dilakukan. 

2. Pekerja gunakan teknik "tunjuk dan panggil"

Pemandu kereta api, konduktor, dan pekerja stesen kereta api Jepun biasanya akan menunjuk dan menyebut maklumat apabila kereta api memasuki atau meninggalkan sebuah stesen.

Tabiat ini kelihatan pelik kerana mereka tidak berbicara dengan sesiapa pun. Ini dikenali sebagai shisa kanko ("menuding dan memanggil"), taktik yang digunakan untuk mengelakkan kesilapan dan kemalangan.

Ideanya ialah pekerja lebih sedar tentang apa yang mereka lakukan apabila mereka menunjuk dan menyebut. Sebagai contoh, pemandu biasanya akan menunjuk dan menyebut kelajuan semasa pemeriksaan kelajuan.

Oleh itu, adalah normal untuk pemandu menjerit, "Pemeriksaan kelajuan, 80." Pekerja stesen yang memeriksa orang-orang di sekitar kereta api yang akan berlepas, akan menunjuk ke arah trek sambil menjerit, "Semua sedia."

Mereka melakukan perkara yang sama apabila pintu ditutup dengan baik. Menunjuk dan memanggil telah digunakan di Jepun sejak awal abad ke-20.

Satu kajian menunjukkan bahawa ia mengurangkan kesilapan sebanyak 85%. Ia begitu berkesan sehingga ia telah diterima pakai oleh perniagaan Jepun yang tidak berkaitan dengan kereta api.

Ini termasuk di New York City, yang menggunakan amalan ini yang diubahsuai pada tahun 1996.

Mereka tidak menunjuk dan menyebut, tetapi pemandu kereta api menunjuk pada "papan zebra" hitam dan putih untuk mengesahkan bahawa tren mereka berhenti dengan betul.

1. Lampu biru dipasang di stesen kereta api untuk mengurangkan kes bunuh diri

lampu biru dipasang di stesen kereta api jepun untuk mengurangkan kes bunuh diri

Sudah dijelaskan bahawa stesen kereta api di Jepun menjadi antara lokasi bunuh diri paling popular.

Oleh itu, syarikat kereta api pada hari ini cuba menghindari kes bunuh diri dengan memasang lampu biru di stesen mereka.

Lampu pertama dipasang pada tahun 2000-an selepas bunuh diri dengan kereta api mencapai rekod tinggi.

Lampu biru dipilih kerana kepercayaan bahawa warna biru menjadikan orang lebih tenang dan boleh membuatkan seseorang cuba menilai semula apa yang bakal dilakukannya.

Dan lampu ini dilihatkan memberikan kesan yang baik. Pada tahun 2013, dilaporkan bahawa bunuh diri dengan kereta api menurun sebanyak 84% selepas lampu dipasang.

Walau bagaimanapun, kesimpulan ini tidak begitu kukuh kerana lampu tidak boleh menghalang bunuh diri pada siang hari.

Para penyelidik lain percaya lampu hanya dapat mengurangkan bunuh diri sebanyak 14% sahaja. Mereka juga mengatakan halangan perlindungan di tepi platform mampu menghalang bunuh diri lebih baik daripada lampu biru.




Hakcipta iluminasi.com (2017)