Seorang lelaki yang bergelar ustaz dari Kedah mengaku berupaya mengubati penyakit slipped disc hanya dengan menggunakan tukul dan sebatang kayu. Video ini telah viral di laman sosial dan berjaya mendapat 10 ribu share dalam masa hanya 5 jam.

Menurut Dr. Ahmad Mahyuddin, seorang pakar pembedahan ortopedik dari Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, Pahang, slipped disc merujuk kepada bahagian disk atau kusyen pelapik tulang belakang yang beralih tempat, membonjol ke belakang lantas menekan bahagian saraf tunjang (spinal cord) atau saraf akar (nerve root) tulang belakang pesakit.

Antara rawatan yang diberikan kepada pesakit pada peringkat awal adalah dengan menjaga sahaja postur tulang belakang dengan baik. Pesakit juga akan diberi ubat tahan sakit dan ubat anti-radang untuk membantu mengurangkan kesakitan. 

Pesakit yang mengalami slipped disc perlu menjalani beberapa  sesi fisioterapi termasuk menggunakan kaedah haba (heat therapy) dan ultrasound. Di sana, pesakit akan diajar senaman ringkas bagi menguatkan otot belakang. Bagi sesetengah pesakit pula, teknik lumbar traction (menarik pinggang pesakit dengan pemberat bagi meregangkan ruas antara tulang belakang pesakit) didapati turut membantu. 

Sekiranya slipped disc melarat dan menekan saraf, ia boleh menyebabkan kaki menjadi kebas dan lemah. Pada peringkat ini, pembedahan mungkin perlu dilakukan bagi membebaskan saraf yang tertekan. Walau bagaimanapun, kurang dari 10 peratus pesakit sahaja yang memerlukan pembedahan.

tulang belakang

Tulang belakang merupakan bahagian badan yang amat sensitif kerana ia melibatkan saraf tunjang dalam tubuh seseorang manusia. Jika tersilap langkah, boleh membawa padah.

Walau bagaimanapun semalam, seorang lelaki berani yang dipanggil "Ustaz Rosdi" telah memuatnaik tiga video dengan caption 'Alhamdulilllah dah berjaya betulkan empat disc tulang belakang' yang menunjukkan dia sedang melakukan operasi ke atas seorang pesakit. Setelah melukis dan melabelkan tulang belakang pesakit, dia akan mengetuk-ngetuk bahagian belakang pesakit menggunakan tukul dan sebatang kayu.

video 1 : 

Beberapa hari sebelum itu, "Ustaz Rosdi" juga telah memuatnaik satu video membetulkan tulang belakang di pangkal leher seorang pesakit.

Tim Iluminasi membuat sedikit penyelidikan dan mendapati "Ustaz Rosdi" sebenarnya sudah lama berkecimpung dalam arena perubatan secara tidak bertauliah ini. Pada tahun 2011, dia telah melakukan pembedahan secara terbuka ke atas seorang warga tua yang dikhabarkan mengalami ketumbuhan di bahagian leher.

Wallahualam apa yang terjadi kepada pakcik itu selepas pembedahan itu. Jika ada sesiapa mengenali pakcik ini, harap boleh hubungi kami. Kami nak interview sikit.

Selain menjadi "doktor bedah" dengan melakukan surgeri tanpa bius dan di dalam persekitaran yang mencurigakan, "Ustaz Rosdi" juga mahir dalam perubatan Islam. Dia pernah melawan hantu secara beramai-ramai di Pulau Pangkor sekitar tahun lepas. 

Hebat betul lelaki ini, serba tahu dan serba boleh! Dunia mistik dan dunia nyata semua dia boleh tapau.

Sememangnya Allah menyuruh kita berikhtiar dan berusaha untuk mencari jalan penyelesaian sekiranya menghadapi masalah. Kalau benar kita nak ikhtiar melalui perubatan tradisional/Islam, maka carilah ustaz yang betul. Dan biarlah doktor bertauliah di hospital yang membuat pembedahan ke atas anda kerana keadaan di sana lebih selamat dan terjamin sekiranya berlaku sebarang komplikasi.

Ingat, janganlah kita terlalu terdesak sampai sanggup menadah diri kepada ustaz ataupun doktor palsu di luar sana. Jadi apa-apa, siapa nak tanggung?

Video 2 : 




Hakcipta iluminasi.com (2017)