Oleh pada 02 Mar 2017 kategori

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lebih kurang 35% daripada jumlah wanita di seluruh dunia pernah mengalami keganasan dalam rumah tangga dan didera secara fizikal ataupun emosi. Ini bermakna 1 dalam setiap 3 orang wanita pernah menjadi mangsa pukul sekurang-kurangnya sekali sepanjang hayatnya.

Selain itu, 38% daripada jumlah wanita yang mati dibunuh adalah disebabkan oleh pasangannya sendiri. Ini membuktikan domestic violence ini bukan sahaja melibatkan sebilangan masalah kecil dalam rumah tangga malah ia berkemungkinan bertukar menjadi kes jenayah yang amat membimbangkan dan perlu ditangani segera.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyatakan terdapat sebanyak 4,807 kes keganasan rumah tangga dilaporkan pasa tahun 2014 dan setiap tahun jumlah ini meningkat. Antara punca berlaku keganasan rumah tangga adalah seperti berikut:

  • Pertelingkahan antara pasangan yang menyakitkan hati atau mengguris perasaan
  • Pasangan panas baran dan senang melampiaskan rasa marah dengan kata-kata kesat, ugutan atau secara fizikal
  • Kes penagihan dadah atau mabuk
  • Masalah kewangan keluarga
  • Cemburu buta terhadap pasangan

Apakah situasi yang boleh dikategorikan sebagai keganasan rumah tangga?

Akta 521 (Akta Keganasan Rumah Tangga 1994) telah merangkumi skop seperti berikut:

  • Apabila si pelaku mengakibatkan kecederaan fizikal kepada mangsa
  • Si pelaku sengaja membuatkan mangsa berasa takut dicederakan secara fizikal
  • Mangsa dipaksa atau diancam untuk melakukan sebarang perbuatan seksual
  • Mangsa dikurung dan tidak dapat bergerak bebas secara paksaan
  • Si pelaku sengaja melakukan khianat dengan merosakkan atau memusnahkan harta benda

Bagaimana anda boleh dapatkan bantuan?

Sekiranya anda mengalami mana-mana situasi seperti di atas, anda boleh mendapatkan bantuan dengan cara berikut:

  • Merujuk ke One-Stop Crisis Center (OSCC) di hospital besar berhampiran sekiranya anda dicederakan
  • Membuat aduan kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat berhampiran
  • Membuat laporan polis dengan segera dan mohon bantuan untuk dapatkan perlindungan daripada si pelaku
  • Menghubungi Talian Kasih 15999 yang beroperasi 24 jam
  • Menghubungi agensi NGO seperti Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO)

Allah telah berfirman dalam Surah Yaasin ayat 36 yang berbunyi

surah yasin ayat 36

Mahasuci Tuhan yang telah menciptakan setiap makhluk berpasang-pasangan semuanya, baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka mahupun dari apa yang tidak mereka ketahui

Ini menunjukkan bahawa institusi perkahwinan itu sebenarnya dituntut dalam Islam. Namun, sesebuah rumah tangga itu hanya akan berhasil jika ia dikendalikan dengan penuh kasih sayang, sifat amanah serta rasa tanggungjawab yang tinggi.

Jika tiada lagi rasa cinta dan saling menghormati antara pasangan sehingga sanggup naik kaki atau naik tangan, apalah lagi makna perkahwinan itu? Setiap hari isteri akan diselubungi rasa takut, marah, kecewa dan dendam. Ada yang sanggup menangis saban hari dan bertahan atas alasan "fikirkan anak-anak."

Tapi adakah anda tahu, anak-anaklah yang akan menjadi mangsa sekiranya anda mengambil tindakan berdiam diri?

benarkah anda bertahan kerana anak 123

Satu kajian yang dibuat oleh University of Western Ontario, Canada. telah jelas menunjukkan bahawa anak-anak yang didedahkan dengan jenayah rumah tangga ini seringkali mendapat impak buruk dan negatif ke atas diri mereka. Salah satunya merupakan gangguan tekanan selepas trauma (Post-Traumatic Stress Disorder, PTSD).

Anak-anak akan mengalami tekanan emosi sejak kecil kerana melihat ibu sendiri dipukul, belasah dan ditempelak oleh ayah. Pembelajaran mereka di sekolah boleh terganggu, mereka mungkin akan memencilkan diri dari semua orang dan akhirnya, mereka juga berisiko menjadi pendera apabila meningkat dewasa kelak.

marah bini tapi hempas anak

Selain itu, anak-anak hasil daripada keganasan ini akan susah mempercayai orang lain sepanjang hayat dan mereka akan sentiasa merahsiakan emosi sebenar daripada pengetahuan orang lain. Mengapa? Kerana inilah contoh "realiti kehidupan" yang ditunjukkan oleh role-model pertama mereka -- iaitu ibu dan ayah.

Jadi, tanya diri anda, adakah ini yang anda benar-benar mahukan?

Kepada anda yang masih berasa keliru, tertekan dan tidak tahu nak buat apa, boleh simpan dan baca garis panduan ini yang dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Buku panduan yang komprehensif ini lengkap dengan prosedur serta kaedah yang boleh anda pilih sekiranya anda merupakan seorang mangsa keganasan rumah tangga.

Jangan pernah berasa takut atau malu...kerana anda bukan bersendirian. Dapatkan bantuan sekarang!




Hakcipta iluminasi.com (2017)