Ada di kalangan kita yang memandu kereta yang telah berusia. Bukannya sesuatu yang pelik apabila memandu “kereta tua” ini kita yang berada di dalamnya diselubungi bau asap dan petrol. Meskipun ruangan enjin dan tempat duduk dipisahkan oleh suatu panel di bahagian depan chasis kereta, lama-kelamaan komponen pelapik yang diperbuat daripada getah, foam atau silikon akan haus dan memberi laluan kepada asap untuk masuk ke ruangan penumpang.
BESARKAN TEKS A- A+
Ramai yang pernah mendengan nama gas karbon monoksida, tetapi ramai yang tidak tahu betapa bahayanya gas ini.
Gas karbon monoksida terhasil daripada pembakaran tidak lengkap bahan api disebabkan kandungan oksigen yang rendah. Enjin petrol yang menggunakan karburator menghasilkan lebih banyak gas karbon monoksida dibandingkan dengan enjin diesel. Ini kerana enjin diesel menggunakan system injection yang menjamin pembakaran bahan api yang lebih sempurna.
Karbon monoksida ini berbahaya disebabkan ianya lebih disukai oleh sel darah merah berbanding oksigen. Tahap affinity sel darah merah terhadap kabon monoksida adalah sebanyak 210 kali ganda daripada oksigen. Untuk memudahkan kita faham, sekiranya ada 210 biji bola putih dan 1 biji bola hitam, sel darah merah kita akan pilih bola hitam.
Apabila mencapai kepekatan tertentu dalam darah, karbon monoksida ini akan mendatangkan kesan seperti pening, mual, dan sesak nafas. Sekiranya jumlahnya di dalam darah terlalu banyak, tubuh badan kita akan mengalami kekurangan oksigen dan dalam kes yang serius, mengakibatkan kematian. Dalam kepekatan yang rendah, ianya tidak berbahaya. Kes bunuh diri dengan menggunakan asap dari ekzos kereta atau kes kematian mengejut disebabkan asap ekzos meresap masuk ke dalam kereta bukanlah sesuatu yang baru.
Dalam sesetengah kes, karbon monoksida juga boleh menyebabkan rasa tekanan pada dada dan halusinasi. Sekiranya ada merasa diri anda seperti diperhatikan atau ada ‘penumpang’ di belakang semasa anda memandu, ianya mungkin petanda kereta anda dicemari karbon monoksida, bukannya makhluk halus.
Sekiranya bahagian dalam kereta kita dipenuhi dengan bau asap, adalah baik sekiranya pemeriksaan dan pembaikan dilakukan. Saluran ekzos kita mungkin bocor dan menyebabkan asap masuk ke dalam kereta. Perlu diingatkan, gas ini tidak mempunyai bau dan warna. Kehadirannya bersama-sama asap dari ekzos patut diawasi kerana mungkin suatu hari nanti ia bakal membunuh kita dalam senyap.
Sumber Rujukan: CDC, Emedicinehealth.com, Pengen-tau