Oleh pada 24 Mar 2018 kategori

Saya menyalahkan t-shirt sebagai punca segala-galanya.

Pakaian kasual yang dipakai oleh ikon-ikon teknologi seperti Mark Zuckerberg, Steve Jobs, Sergey Brin, Larry Page dan ramai lagi membuatkan kita r rasa selamat dengan kehadiran mereka, berbanding tokoh korporat lain yang gemar berkot dan bertali leher.

Walaupun selepas mereka berjaya menjadikan diri mereka jutawan sekalipun, kita sebagai pengguna tak rasa takut dengan mereka seperti 'kapitalis-kapitalis' lain, kerana semangat yang mereka tunjukkan masih nampak bersifat mirip sebuah start-up; ceria, agak pelik dan lebih fokus untuk melakukan sesuatu yang menakjubkan dengan komputer - bukan untuk mengaut keuntungan semata-mata.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Google sendiri percaya dengan tema tersebut sehingga dalam Google sendiri ada berpegang kepada satu kepercayaan : 'don't be evil' atau jangan jadi jahat.

Lihat sendiri bagaimana Virgin, syarikat penerbangan Britain berjaya mengelak dilabel sebagai 'satu badan korporat jahat' - hanya kerana pemiliknya Richard Branson berambut panjang dan nampak lebih mirip seorang pemuzik rock. Begitulah penting imej santai pada era sekarang dalam membentuk persepsi masyarakat dunia.

Internet adalah sebuah lapangan informasi yang bebas

laman web pertama dunia

Pada awal kemunculan internet sendiri, slogan 'maklumat perlu bebas' dijadikan pegangan. Sebuah 'utopia teknologi' dijaja pada orang ramai di mana semua orang berhak mendapatkan informasi secara percuma tanpa sempadan.

Mark Zuckerberg sendiri mengatakan "Facebook memberikan kuasa kepada orang ramai untuk berkongsi dan menjadikan dunia lebih terbuka serta bersambung." Kata-kata itu agak janggal ketika ini selepas apa yang berlaku terhadap trend teknologi zaman sekarang.

Dalam sebuah buku bertajuk 'War in 140 Characters' tulisan David Partikarakos, dia menyebutkan kewujudan satu golongan baru yang digelarkan homo digitalis - individu masa depan yang hanya bergantung dengan sebuah telefon pintar yang berkuasa untuk mengawal persepsi global terhadap pelbagai isu.

Individu homo digitalis yang dikatakan, seperti Farah Baker, seorang pengguna Twitter berumur 16 tahun yang berjaya melaporkan secara terperinci apa yang berlaku di Gaza, sehingga mengumpulkan jutaan pembaca. Dia seorang diri berjaya membuat tentera Israel Defence Forces tidak bersedia menjawab banyak persoalan yang ditimbulkan beliau dan videonya.

Contoh lain adalah remaja yang memulakan tunjuk perasaan di Dataran Tahrir bagi masyarakat Mesir bangun menentang kerajaan Hosni Mubarak . Itu adalah antara bukti dunia nyata pengaruh seorang homo digitalis yang dikatakan dalam buku tersebut. Homo digitalis adalah seorang individu bebas yang berjaya menggunakan kemudahan yang ada padanya, seperti aplikasi media sosial dan capaian internet yang mampu menggoncang kuasa besar - kerana keupayaannya itu datang daripada kebebasan internet.

Bagaimanapun pembongkaran kes Cambridge Analytica membuktikan, sudahada pihak atau kerajaan yang telah mula menggunakan kebebasan internet dan media sosial sebagai satu alat untuk memberikan faedah kepada mereka.

Bagaimana algoritma berjaya meramal anda

ceo cambridge analytica

Data atau maklumat peribadi yang kita kongsikan, memang mampu menceritakan pelbagai perkara tentang kita sekiranya anda tidak percaya kepentingannya. Hasil kajian di Standford dan Cambridge membuktikan, hanya dengan menggunakan data 'like' di Facebook, komputer berjaya meramalkan personaliti seseorang secara tepat.

Pengiraan model komputer memerlukan minima 10 like untuk belajar meramal tentang anda lebih baik berbanding rakan sepejabat anda. 150 like diperlukan untuk faham perangai anda lebih bagus berbanding ibu bapa atau adik beradik sendiri. 300 like pula, mampu membuatkan komputer meramal tingkah laku anda lebih tepat berbanding pasangan anda sendiri.

Bukankah itu sesuatu yang menakutkan?

Seorang individu bernama Hossein Derakshan, blogger Iran yang dipenjarakan 6 tahun ekoran tulisan dalam blognya mengkritik kerajaan Iran, menyatakan sesebuah organisasi atau pemegang kuasa lebih gemar sekiranya masyarakat mudah diramal.

Masyarakat yang dapat diramal adalah masyarakat yang mudah dikawal. Sekiranya tindakan dan reaksi masyarakat itu berjaya diramal, tak susah untuk sesuatu pihak itu mengawal masyarakat itu.

Oleh sebab itulah akan semakin banyak pihak yang akan muncul dan mengakui mereka mempunyai kebolehan meramal masyarakat, kerana maklumat tentang kita akan semakin mudah diakses dan dikumpulkan - seiring dengan minat pemerintah, kerajaan serta syarikat-syarikat berkemampuan yang mahu meramal tabiat dan minat anda.

Pembohongan digital era baru

cambrdige analytica

Atas sebab itulah pendedahan Cambridge Analytica berkaitan data Facebook ini adalah sesuatu yang menggemparkan dunia teknologi, kerana ini membuktikan perkara ini sedang berlaku. Ada pihak yang tidak senang melihat internet digunakan bagi memperkasakan masyarakat, seperti apa yang homo digitalis lakukan.

Cambridge Analytica sendiri dalam video yang disebar luas menjanjikan kepada pelanggan mereka satu cara di mana pemegang kuasa atau pemerintah, dapat mengawal apa yang sampai kepada masyarakat, dengan menggunakan saluran internet.

Bezanya, apa yang ingin disampaikan diperlihatkan seperti sesuatu yang datang daripada masyarakat, disebar secara semulajadi dan tidak dapat dikesan siapa sumber sebenar. Dalam erti kata lain, propaganda tanpa wajah kerajaan ataupun penyusupan agenda, tanpa sedar ia sedang dilakukan kerana masyarakat hanya dapat melihat ahli masyarakat lain yang berkongsinya.

Bagi ahli masyarakat dan orang kebanyakan, sebaiknya tidak perlu menunggu terbongkarnya lebih banyak kes dan pendedahan dibuat. Akta, dasar atau undang-undang yang melindungi kepentingan pengguna bagi memecahkan monopoli syarikat-syarikat teknologi bertaraf gergasi perlu digesa untuk diwujudkan.

Ini untuk mewujudkan ruang persaingan yang lebih adil dan sama rata untuk semua pihak, baik individu atau syarikat korporat. Selain itu, masyarakat dunia perlu memastikan data dan maklumat yang telah mereka kongsikan, tidak lagi dijadikan produk untuk dijaja pada mereka yang berminat. Bagaimanapun, semua ini hanya perancangan atau harapan buat masa sekarang.

Tidak ada benda percuma dalam hidup

facebook algoritma dan perubahan

Cadangan Hossein Derakshan yang mahu syarikat-syarikat penyelia media sosial diwajib mendedahkan bagaimana algoritma capaian mereka dilakukan, serta memberi pilihan kepada pengguna untuk memilih sendiri algoritma mana yang sesuai dengan kehendak pengguna adalah satu idea permulaan yang baik - namun sudah pastilah tidak akan dipersetujui syaikat-syarikat gergasi laman media sosial.

Ini kerana walau macam mana pun mereka cuba mencipta imej 'friendly' dan mesra orang ramai, syarikat-syarikat ini tetap berpaksikan keuntungan terlebih dahulu.

Wikipedia adalah contoh paling baik yang berjaya membuktikan kejayaan satu sistem lebih terbuka tanpa unsur campur tangan pihak korporat, tidak bermatlamat mengaut untung serta kesediaan membuka sistem mereka untuk diakses sesiapa saja. Itulah yang diharapkan berlaku kepada sistem media sosial ketika ini, yang dilihat terlalu gemar mengongkong orang ramai, melupakan hasrat sebenar dunia informasi diwujudkan, pada mulanya.

Saya menyeru agar orang ramai meninggalkan fahaman lama kita. Dunia korporat sudah berevolusi. Individu korporat syarikat teknologi gergasi dilihat selesa mengenakan t-shirt dan seluar jeans, serta datang kerja dengan menaiki papan luncur beroda. Semua itu nampak 'cool' dan bersahaja.

Walaupun begitu, mereka tetap memegang mentaliti yang sama. Sikap tamak haloba syarikat gergasi tetap sama, walau seringkas atau sekasual mana pun pakaian mereka. Yang penting kita sebagai pengguna, janganlah terpedaya dengan t-shirt yang dikenakan jutawan pengawal kebebasan media.


Artikel ini adalah terjemahan artikel asal The people owned the web, tech giants stole it. This is how we take it back tulisan Jonathan Freedland yang diterbitkan pada 23 Mac 2018.




Hakcipta iluminasi.com (2017)