Di sebuah penjara kawalan ketat yang terletak di kawasan terpencil di Colombia, terdapat seorang penjenayah bahaya bernama Luis Alfredo Garavito Cubillos atau lebih dikenali sebagai Luis Garavito.
Dalam penjara itu, Garavito ditempatkan secara berasingan dari banduan lain demi keselamatan dirinya sendiri. Hanya beberapa orang banduan terpilih sahaja dapat bertemu dengannya ketika mereka menghantar makanan dan minuman.
BESARKAN TEKS A- A+
Pegawai penjara menggambarkan Garavito sebagai seorang yang menghormati, santai dan positif. Ketika menjalani hukuman, dia belajar bagaimana untuk menjadi seorang ahli politik. Apabila dibebaskan, dia berharap dapat memulakan hidup baru dan ingin menyertai kempen membantu kanak-kanak yang didera.
La Bestia a.k.a The Beast
Namun, mengapakah Garavito yang mempunyai ciri-ciri positif ini digelar sebagai seorang "Pembunuh bersiri paling teruk di dunia"? Berikut adalah sedikit pengenalan mengenai lelaki yang digelar sebagai "La Bestia" atau "The Beast" ini.
Luis Garavito dilahirkan pada 25 Januari 1957. Dia merupakan anak sulung daripada tujuh adik-beradik. Ketika ditangkap, Garavito mendakwa sejak kecil lagi dia menjadi mangsa dera dan seksual bapanya yang merupakan kaki alkohol.
Pada usia 16 tahun, Garavito melarikan diri dari rumah dan mengembara di serata Colombia untuk mencari pekerjaan. DIa pernah bekerja sebagai kerani kedai dan penjual jalanan yang menjual barangan keagamaan.
Garavito kemudian bercinta dengan seorang wanita yang mempunyai seorang anak kecil. Menurut rakan-rakannya, Garavito adalah seorang bapa yang baik tetapi seorang yang panas baran.
Ketika meningkat dewasa, dia sudah biasa hidup berpindah-randah. Dia juga mewarisi sifat kaki botol bapanya dan sering membuat masalah di setiap tempat kerjanya. Dia juga pernah cuba untuk membunuh diri tetapi tidak berjaya.
Kanak-kanak gelandangan Colombia
Colombia terlibat dalam perang saudara selama berdekad-dekad lamanya sejak akhir tahun 1960-an. Ini menyebabkan beribu-ribu rakyatnya kehilangan tempat tinggal dan terpaksa merempat di jalanan.
Kebanyakan mereka yang menjadi gelandangan adalah kanak-kanak yang kematian atau kehilangan ibu bapa. Kehilangan kanak-kanak gelandangan ini mungkin tidak akan disedari, menjadikan mereka sasaran mudah. Luis Garavito sedar tentang keadaan ini dan menggunakannya untuk kepentingan nafsu songsangnya sendiri.
Modus operandi Luis "The Beast" Garavito
Beberapa penampilan Luis "The Beast" Garavito yang berbeza
Walaupun ketika dia tidak disyaki, Garavito sentiasa berhati-hati apabila melakukan jenayah. Dia secara khusus mensasarkan mereka yang terdesak, tiada tempat mengadu atau anak-anak yatim piatu yang sentiasa mengharapkan bantuan.
The Beast biasanya akan mendekati mangsa-mangsanya dengan menawarkan bantuan seperti makanan, wang dan pekerjaan. Dia sering menyamar sebagai paderi, petani, orang tua atau peniaga jalanan yang mencari pekerja bagi membantunya di rumah atau dalam perniagaannya. Dia kerap menukar watak penyamarannya bagi mengelak daripada dicurigai.
Satu lagi modus operandi Garavito adalah dengan mengajak mangsanya berjalan-jalan sambil menceritakan masalah atau kisah hidup mereka. Pada hakikatnya, dia cuba untuk membuatkan kanak-kanak itu keletihan supaya mereka tidak kuat melawan dan mudah dikuasai.
Apabila mendapat peluang yang sesuai, dia akan mengikat mangsanya dan menyeksa mereka dengan kejam. Ada sebab yang kukuh mengapa Garavito diberi gelaran "The Beast".
Menurut laporan polis, mayat mangsanya yang ditemui terdapat tanda-tanda diseksa dalam jangka masa yang lama termasuk tanda gigitan dan penembusan pada dubur mereka. Ada mangsa yang dipotong kemaluannya sebelum disumbat di dalam mulut mereka dan ada juga mangsa yang dipotong anggota tubuhnya.
Lima tahun selepas Luis Garavito membunuh mangsanya yang pertama, barulah pihak polis mula menyedari kehilangan ramai kanak-kanak gelandangan dan memulakan siasan terhadap perkara itu.
Penemuan mangsa-mangsa The Beast
Pada akhir tahun 1997, sebuah kubur besar yang menempatkan ramai mayat kanak-kanak telah ditemui. Pihak polis melancarkan siasatan yang lebih terperinci kerana ia adalah jenayah terancang.
Pada Februari 1998, mereka menemui dua lagi mayat kanak-kanak yang ditanam bersebelahan antara satu sama lain di lereng bukit. Hanya selang beberapa meter sahaja, mereka menemui satu lagi mayat kanak-kanak. Ketiga-tiga mayat itu ditemui dengan tangan terikat dan dipotong kepalanya. Senjata pembunuhan juga ditemui berhampiran kubur kanak-kanak malang itu.
Semasa memeriksa kubur-kubur itu dengan lebih lanjut, pihak polis telah menemui sebuah nota tulisan tangan dengan alamat sebuah rumah di dalamnya. Rupa-rupanya, alamat itu adalah alamat tempat tinggal teman wanita Garavito yang dikenalinya selama bertahun-tahun lamanya.
Pihak berkuasa menemui mangsa-mangsa The Beast
Pihak polis telah menyerbu kediaman teman wanita Garavito berpandukan alamat itu tetapi dia tidak berada di sana. Walau bagaimanapun, pelbagai barangan milik The Beast itu ada di premis itu dan teman wanitanya memberi kerjasama dengan pihak polis untuk memeriksanya.
Dalam salah satu beg milik Garavito, polis telah menemui banyak gambar kanak-kanak lelaki dan sebuah jurnal di mana dia menulis dengan terperinci apa yang telah dilakukannya terhadap mangsa-mangsanya. Dia juga mencatat jumlah mangsa yang telah dibunuhnya.
Misi memburu The Beast
Mural di salah satu tapak penemuan mangsa The Beast
Pencarian Garavito telah dijalankan selama beberapa hari di beberapa tempat tinggalnya serta kawasan-kawasan di sekitar bandar Genova di mana dia sering kelihatan. Malangnya, pihak polis tidak berjaya menemui suspek utama mereka itu.
Pada 22 April 1998, pihak polis di bandar bersebalahan telah memberkas seorang lelaki kerana disyaki melakukan kesalahan merogol. Seorang gelandangan yang tinggal di sebuah lorong telah menyedari seorang budak lelaki diekori dan dicabul oleh seorang lelaki dewasa.
Gelandangan yang menjadi saksi itu kemudian telah campur tangan dan menyelamatkan budak lelaki itu. Dia kemudian melaporkan kejadian itu kepada pihak berkuasa. Pihak polis kemudian menahan suspek atas tuduhan cubaan merogol.
Tanpa mereka sedari, mereka sebenarnya telah menahan seorang lelaki yang melakukan kesalahan lebih besar daripada cubaan merogol. Mereka sebenarnya telah menangkap The Beast yang menjadi buruan selama hampir seminggu.
Sebaik sahaja disoal siasat pihak polis, Garavito mengaku telah mendera 147 orang budak lelaki dan menanam mayat mereka di kubur yang tidak bertanda. Bahkan dia melukis peta untuk memudahkan pencarian pihak polis. Akhirnya, Luis Garavito telah disabitkan dengan 138 tuduhan membunuh dan polis masih melakukan siasatan untuk mencari mangsa selebihnya.
Hukuman maksimum untuk kesalahan membunuh di Colombia adalah sekitar 13 tahun. Apabila didarabkan dengan 138 pertuduhan, hukuman yang sepatut diterima Garavito adalah selama 1853 tahun penjara.
Disebabkan dia membantu pihak polis menemui mayat mangsa-mangsanya, hukumannya dikurangkan kepada 40 tahun sahaja. Kemudian, hukumannya dikurangkan lagi selama 22 tahun dan bakal dibebaskan pada 2021. Keputusan ini mendapat bantahan ramai rakyat Colombia.
Rujukan:
1. Kisah pembunuh bersiri paling teruk