Dalam dunia perniagaan, ada masanya di mana peniaga-peniaga yang menyimpan dendam akan menggunakan taktik keji - bagi memastikan pesaing mereka terjejas, sekaligus menguntungkan mereka.

Ada yang menggunakan taktik memburukkan pesaing dengan melakukan sabotaj. Bagi masyarakat Melayu pula kita sering memperkatakan tentang perbuatan sihir yang diamalkan, bagi melemahkan saingan sehingga di serang sakit, sebagai contoh.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Di China berlakusatu insiden pada bulan Oktober tahun 2019 -  melibatkan seorang kontraktor perumahan bernama Tan Youhui. Berikutan pesaingnya yang agak kuat, Youhui mengambil keputusan untuk membunuh seorang pemilik perniagaan yang kerap mengganggu periuk nasinya.

Untuk itu, dia mengupah seorang pembunuh upahan bernama Xi Guangan, bagi 'menyelesaikan masalahnya.' Dari situlah situasi mula menjadi lucu.

Main-main alih kerja

pembunuh upahan paling kelakar lucu

Sasaran yang dikenali untuk dibunuh, adalah seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Encik Wei, seperti Youhui turut sama terlibat dalam bidang kontraktor pembinaan.

Pada tahun 2013, berikutan satu urusan perniagaan yang tidak menjadi, kerjasama di antara Encik Wei dan Youhui mengakibatkan Youhui gagal memenuhi kontraknya. Bagi meminimakan kerugian, Encik Wei bertindak membawa kes itu ke mahkamah, melakukan tuntutan ganti rugi ke atas syarikat Youhui.

Tidak mahu berdepan perjalanan panjang mahkamah yang memerlukan kos besar serta besar kemungkinan tahu dia akan kalah dalam kes, Youhui mengambil jalan pintas bagi menyelesaikan masalahnya.

Dengan upah RM1.2 juta, Guangan bersetuju untuk menamatkan riwayat Wei. Dia meminta separuh daripada bayaran yang dipersetujui, terus melakukan siasatan identiti siapa yang perlu dibunuhnya. Selepas berjaya mendapatkan salinan kad pengenalan Wei, nombor telefon dan nombor plat pendaftaran kenderaan - Guangan dengan yakin kembali bertemu Youhui bagi mengesahkan identitinya.

Syarat baru dikeluarkan Guangan - bayaran penuh perlu dijelaskan sebelum pembunuhan dilakukan. Youhui berkeras, hanya akan membayar lebihannya selepas kerja selesai.

'Sub-con' pada pembunuh lain

polis tutup perbicaraan

Walaupun mengaku seorang pembunuh upahan dengan RM588,000 lebih dalam tangan, hati Guangan mula berubah. Dia mendapat idea yang lebih baik.

Guangan menghubungi seorang lagi kenalan dalam 'rangkaian' pembunuh upahan di daerah Nanning bernama Mo Tianxiang. Dia menawarkan kepada Tianxiang kontrak tersebut dengan bayaran RM588,000 berharap agar dia dapat untung atas angin tanpa perlu melakukan sebarang jenayah.

Bagaimanapun, Mo Tianxiang juga sebenarnya mempunyai idea serupa. Selepas mendapatkan maklumat daripada Guangan serta wang pendahuluan, Tianxiang mengalihkan tanggungjawab membunuh Encik Wei kepada seorang lagi 'pembunuh upahan' bernama Yang Kangsheng.

Daripada upah RM588,000 yang dijanjikan Guangan, Tianxiang menawarkan Kangsheng RM160,000 bayaran muka dan RM295,000 sekiranya urusan selesai.

Yang Kangsheng pula sekali lagi mengalihkan tanggungjawab melakukan pembunuhan itu kepada seorang lagi 'pembunuh upahan' bernama Yang Guangsheng, dengan bayaran RM118,000 bayaran muka dan RM295,000 selepas Wei selamat dibunuh. Ini bermakna Kangsheng mengharapkan untung atas angin RM40 ribu lebih dalam urusniaga mereka.

Guangsheng pula lebih tamak. Dia menghubungi Ling Xiangsi, seorang lagi pembunuh upahan yang dikenalinya lalu menawarkan kerja itu dengan jumlah bayaran RM58 ribu sahaja.

Ini bermakna, daripada tawaran asal Youhui yang bernilai RM1.2 juta dan melalui 5 orang pembunuh upahan yang berhasrat nak makan untung percuma, Ling Xiangsi setuju untuk melakukannya dengan harga lebih kurang 5% daripada jumlah sebenar. Namun, kisah ini belum tamat.

Pembunuh yang berotak 'bisnes'

hakim nanning jalankan bicara

Selepas diberikan maklumat tentang individu yang perlu disenyapkan, Xiangsi pun meninjau mangsa. Mendapati lebih baik dia melakukan tawar menawar dengan mangsa, Xiangsi menghubungi Encik Wei lalu mendedahkan tawaran ke atas nyawanya, yang berharga RM58,000.

Bimbang akan keselamatan dirinya, Xiangsi menawarkan kepada Encik Wei satu perjanjian, asalkan ganjaran kepadanya akan diterima. Beliau meminta Encik Wei berlakon olok-olok seolah-olah sudah dibunuh, agar Xiangsi dapat meminta bayarannya. Gambar pun dihantar pada Guangsheng sebagai pengesahan kerja sudah selesai dan urusan pembayaran perlu dilakukan.

Bagi melindungi nyawa Encik Wei dan memastikan tiada siapa tahu dia masih hidup, Wei pergi ke Shanghai selama 10 hari bagi menyembunyikan dirinya. Malangnya, selepas berjaya menipu individu yang mahu membunuhnya - Wei gagal mengesan siapa sebenarnya dalang sebenar kejadian itu, menyebabkan hidupnya tertekan. Akhirnya pada bulan Ogos tahun 2014, Wei pergi membuat laporan di balai polis.

Hasil siasatan yang dijalankan dengan mudah berjaya mengesan hubungan di antara Encik Wei dan Ling Xiangsi. Dari situ satu per satu 'pembunuh makan gaji buta' berjaya dikenal pasti, sebelum dalangnya Tan Youhui berjaya ditemui.

Perbicaraan selama 3 tahun yang berlangsung berjaya mensabitkan kesemua mereka;  Tan Youhui dipenjara 5 tahun sebagai 'mastermind', Xi Guangan 3 tahun 6 bulan, Yang Kangsheng dan Yang Guangsheng 3 tahun 3 bulan, Mo Tiangxiang 3 tahun dan Ling Xiangsi yang mereka cerita pembunuhan selesai disempurnakan - dipenjarakan 2 tahun 7 bulan.

Individu yang paling rugi sudah pastilah Tan Youhui. Merancang taktik jahat bagi mengelakkan kerugian, akhirnya dia terpaksa rugi RM1.2 juta tanpa ada satu pun nyawa melayang meninggalkan badan. Kami harap kisah lucu ini mengajar anda bahawa perancangan jahat hanya akan mengembalikan bencana pada kita.

Lagi satu, berharapkan untung atas angin tanpa perlu bekerja - adalah perbuatan yang akan mendatangkan celaka.




Hakcipta iluminasi.com (2017)