Penyanyi Nita Hamzah berang apabila sekali lagi menjadi mangsa gangguan seksual seorang pengguna Facebook.
Dalam kejadian terbaru, Nita menerima mesej dan foto lucah dipercayai daripada seorang remaja lelaki.
Malah dia mengagak perbuatan itu dilakukan oleh individu sama yang pernah menghantar gambar kemaluan kepadanya pada 30 Ogos lalu.
"Saya takut apabila perkara ini terjadi sekali lagi. Saya bimbang jika individu terbabit berada di sekeliling saya saja. Kenapa saya yang jadi mangsa? Saya bukan artis popular pun.
"Perkara sebegini membuatkan saya marah. Bukan apa, saya sudah bertunang dan tidak mahu orang bersangka buruk," katanya memetik laporan portal Harian Metro.
Jelas Nita, niat asalnya hanya ingin membalas mesej tersebut kerana menganggap dia pelanggan yang ingin menempah kupang dalam perusahaannya.
Namun respon yang diterima pula adalah sebaliknya.
Nita mempersoalkan tindakan remaja itu yang tidak mempunyai sifat malu melakukan perbuatan keji yang melampau.
"Saya pasti mesej itu dihantar seorang remaja kerana dia memanggil saya kakak. Namun, apabila dibalas lain pula jadinya apabila dia menghantar gambar kemaluan.
"Apa dilakukannya sangat keterlaluan. Mana pergi rasa malu dalam diri?" tegasnya.
Enggan memberi muka, Nita kini dalam perancangan untuk membuat laporan polis.
Sebagai pengajaran, dia telahpun menayangkan gambar profil lelaki berkenaan di laman Facebooknya.
"Naluri saya kuat mengatakan ia perbuatan daripada orang sama. Kali pertama dia menggunakan nama dan gambar profil lain. Akaun itu saya sudah sekat untuk mengakses Facebook saya.
"Namun apabila yang kedua ini dia menggunakan nama dan gambar lain, saya tidak boleh mengenal pasti. Saya masih tidak faham, apa yang dia inginkan daripada saya," katanya lagi.
Kredit foto: Facebook Nita Hamzah