El Santo adalah altar ego atau gelaran salah seorang pengusti legenda di Mexico. Populariti gusti Mexico (atau dikenali juga sebagai Lucha Libre di sana) meningkat naik di mata dunia disebabkan oleh lelaki ini.

El Santo bukan sahaja menjadi seorang wira di dalam gelanggang gusti tetapi juga simbol kepada Mexico dan orang ramai memujanya. El Santo malah telah menjadi legenda dan ikon rakyat apabila siri animasi dan komik mengenainya dihasilkan dan dipotretkan sebagai watak protagonis. Dia juga pernah membintangi lebih daripada 50 buah filem.

BESARKAN TEKS     A-  A+

El Santo juga diketahui tidak pernah membuka topeng sepanjang kariernya dan ramai peminatnya yang tidak pernah melihat muka sebenar penggusti itu. Bukan setakat itu sahaja, kebanyakan krew dan pasukannya juga tidak pernah melihat mukanya kerana dia akan memakai topeng semasa mesyuarat atau di bilik persalinan.

lucha libre el santo gusti bertopeng

Dia juga mempunyai topeng khas yang digunakannya ketika makan. Topeng itu dipotong di bahagian mulutnya supaya membolehkan El Santo menjamah makanannya.

Apabila dia sepatutnya melakukan perjalanan dengan pasukannya menaiki kapal terbang, El Santo pasti akan menaiki pesawat yang berbeza apabila tidak memakai topeng supaya dapat mengelak daripada dikenali atau dilihat bersama pasukannya.

Latar belakang El Santo

el santo 3

Nama asalnya ialah Rodolfo Guzman Huerta dan dilahirkan pada 23 September 1917. Dia sering menghabiskan zaman kanak-kanak dan remajanya bermain besbol dan bola sepak Amerika. Dia kemudian mula belajar ilmu mempertahankan diri jujitsu sebelum mempelajari gusti klasik.

Rodolfo begitu terpesona dengan seni Lucha Libre. Pada tahun 1934, dia membuat penampilan sulungnya di gelanggang gusti sebagai Rudy Guzman ketika berusia 17 tahun. Ia adalah permulaan kepada karier legendanya.

Pada akhir tahun 1930-an, Guzman telah menjadi penggusti yang stabil dan berjuang di bawah beberapa nama yang berbeza. Antaranya ialah El Demonio Negro (Syaitan Hitam), El Hombro Rojo (Lelaki Merah), dan El Murcielago II (Kelawar II).

Nama asal El Murcielago telah digunakan oleh ahli gusti Jesus Velazquez. Dia telah merayu kepada persatuan komisen tinju dan gusti di Mexico bahawa Guzman tidak boleh menggunakan nama itu. Selepas itu, Guzman menukar nama altar egonya kepada El Santo setelah dicadangkan oleh pengurusnya. Pada 26 Jun 1942, Guzman buat pertama kalinya bergusti sebagai El Santo di Arena Mexico.

Watak El Santo menjadi legenda

blue demon dan el santo

Blue Demon dan El Santo

El Santo mula menjadi wira Mexico selepas perlawanan epik dengan Black Shadow pada tahun 1953. Semasa perlawanan itu, El Santo telah membuka topeng lawannya di atas gelanggang.

Perkara itu telah menyebabkan Black Shadow bersara daripada arena gusti kerana kehilangan topeng di dalam gelanggang Lucha Libre merupakan kekalahan terulung.

Sepertimana Santo memenangi perlawanan epik itu, dia juga kalah dalam satu lagi perlawanan epik pada tahun yang sama di tangan penggusti bernama Blue Demon.

Walaupun kedua-dua penggusti itu pernah berlakon bersama dalam beberapa buah filem, mereka berdua merupakan seteru dalam dunia Lucha Libre buat satu jangka masa yang panjang. Ramai yang berpendapat El Santo masih tidak dapat melupakan kekalahannya itu.

Legenda gusti kepada bintang filem

komik el santo

Pada tahun 1952, El Santo telah menjadi salah satu watak dalam komik yang dihasilkan oleh Jose G. Cruz. Populariti watak komiknya itu hampir setaraf jika dibandingkan dengan watak superhero yang paling terkenal di Mexico iaitu Kaliman.

Memandangkan watak komik El Santo merupakan salah satu sambutan hebat di Mexico, dia berjaya mendapat tawaran berlakon dalam filem pertamanya pada tahun 1958 berjudul Santo vs the Evil Brain.

Selepas itu dia terus mendapat tawaran untuk muncul dalam lebih daripada 50 buah filem. Antara filem yang dilakonkannya adalah Santo Faces Death, Santo vs the Zombie, Santo vs Frankenstein's Daughter dan yang paling mendapat sambutan ialah Santo vs the Vampire Women yang diterbitkan pada tahun 1962.

el santo vs the vampire woman

Filem El Santo vs the Vampire Woman

El Santo telah berkahwin dengan Maria de Los Angeles Rodriguez pada awal tahun 1940-an dan mereka mempunyi 10 orang cahaya mata. Wira Mexico itu terus bergusti di atas gelanggang sehingga tahun 1982.

Dia mengakhiri jelajah gusti perpisahannya dengan dunia Lucha Libre seminggu sebelum sambutan hari jadinya yang ke-65. Sepanjang kariernya, El Santo berjaya menyembunyikan identitinya dan tidak mendedahkan wajahnya kepada peminat dan seluruh Mexico hinggalah pada tahun 1984.

El Santo mendedahkan identiti sebenarnya

el santo buka topeng

Pada tahun 1984, El Santo akhirnya membuka topengnya buat pertama kali di hadapan khayalak ramai semasa satu rancangan temubual Contrapunto. Sepuluh hari selepas mendedahkan identiti sebenarnya, El Santo telah meninggal dunia akibat serangan jantung pada 5 Februari.

Di bandar kelahirannya Tulancingo, patung pertama El Santo telah dibina dan diikuti oleh kebanyakan bandar lain di Mexico yang mengagumi kehebatan legenda gusti itu.

rodolfo guzman huerta

Rodolfo Guzman "El Santo" Huerta

Anak lelaki bongsu El Santo, Jorge Ernesto Guzman Rodriguez, mengikuti jejak langkah bapanya dalam kerjaya gusti. Dia yang mewarisi topeng perak legenda bapanya itu berjuang menggunakan nama El Hijo del Santo. Selepas El Hijo del Santo bersara pada tahun 2014, salah seorang anak saudaranya yang merupakan cucu kepada El Santo juga telah memulakan kerjaya gusti sebagai El Santo Jr. di Jepun.

Pada 23 September 2017, Google telah merayakan ulang tahun ke-100 El Santo dengan Google Doodle seperti topeng legenda itu. Salah seorang pakar sejarah El Santo iaitu Felipe Carrilo Montiel berkata, Amerika Syarikat mungkin mempunyai adiwira seperti Superman, Batman atau Spider-Man tetapi kami mempunyai El Santo.

el santo google doodle

Montiel juga mengatakan bahawa El Santo telah bertarung dengan semua daripada mumia, pontianak hinggalah Nazi. Tidak seperti adiwira Amerika, El Santo merupakan wira sebenar yang wujud di dunia nyata.

Rujukan:

1. The Guardian

2. Today I Found Out

3. The Vintage News




Hakcipta iluminasi.com (2017)