Oleh pada 04 Feb 2018 kategori

Sumber foto: antarapos.com

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merasmikan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0 selaku pembangunan semula daya usaha yang bermula sejak tahun 2011 di pasar raya Tunas Manja Group (TMG) di Temerloh, Pahang.

KRIM 2.0 menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memperkenalkan model baru yang lebih terbuka, berdaya saing dan membuka jalan kepada lebih ramai pemilik perniagaan runcit untuk mengikutinya.

Najib juga membuat gimik pelancaran sambil dilihat oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Perdagangan Dalan Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang turut hadir pada majlis itu.

Sekitar 3,000 komuniti setempat dan pemimpin masyarakat datang menyokong acara tersebut sambil mendapat gula dan minyak masak tanpa dikenakan sebarang bayaran.

Sementara itu, Najib juga memberitahu sejumlah 50 barang keperluan harian berjenama dijual dengan harga lebih rendah di 51 buah cawangan KR1M 2.0 seluruh negara berkuat kuasa bulan ini.

KR1M 2.0 bermula dengan empat barang keperluan asas iaitu gula, minyak masak, tepung dan beras yang dijual lebih murah berbanding harga pasaran, melainkan minyak masak yang diberi subsidi oleh kerajaan.

“Hari ini cukup bermakna kepada rakyat dan pengguna kerana apa yang telah diuar-uarkan kerajaan sebelum ini untuk melakukan penambahbaikan terhadap KR1M direalisasikan melalui KR1M 2.0.

“Pertamanya, tiada kedai dikhususkan untuk KR1M 2.0 sebaliknya barangan terpilih dijual di rangkaian pasar raya yang menjadi rakan kongsi kepada kerajaan seperti di Tunas Manja Group dan KK Super Mart. Keduanya, tiada lagi jenama 1Malaysia sebaliknya barang berjenama yang menjadi pilihan pengguna dijual lebih rendah dari harga pasaran,” ujar beliau.

Tambah Najib, sejumlah 3,000 kedai KR1M 2.0 ditetapkan sebagai matlamat menerusi jangka masa tiga tahun, berserta sejumlah 300 buah menjelang akhir tahun 2018.

“Jumlah ini akan terus ditingkatkan sehingga mencapai sasaran. Jelas sekali inisiatif kerajaan memberi banyak manfaat kepada rakyat,” katanya lagi. 

Sumber berita: Utusan Online




Hakcipta iluminasi.com (2017)