Sejak hari pertama fotografi diciptakan, ia telah mengubah dunia secara drastik. Fotografi membolehkan manusia mengekalkan detik-detik paling berharga dalam kehidupan untuk diturunkan kepada generasi yang akan datang.

George Eastman, pengasas syarikat Eastman Kodak

Ia merupakan satu cabaran untuk mempelajari bidang fotografi yang baru diperkenalkan ini. Para juru gambar memerlukan latihan selama bertahun-tahun untuk menguasai bidang ini pada abad ke-19.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tambahan pula, peralatannya agak mahal serta boleh mendatangkan bahaya kepada juru gambar itu sendiri. Ini kerana bahan kimia yang digunakan dalam peringkat awal fotografi boleh meletup jika tidak digunakan dengan cara yang betul.

Walau bagaimanapun, kini fotografi telah berkembang dengan sangat maju sehingga kanak-kanak berusia tiga tahun pun dapat mengambil gambar dengan begitu mudah.

Fotografi telah menjadi satu bahagian yang penting dalam kehidupan seharian manusia. Ramai orang pada hari ini mengambil gambar setiap hari untuk dijadikan kenangan atau dimuatnaikkan ke dalam media sosial.

steven sasson ketika bekerja bersama eastman kodak

Steven Sasson

Ucapan terima kasih perlulah diberikan kepada seorang jurutera bernama Steven Sasson atas kemodenan dunia fotografi yang kita kecapi hari ini. Steven adalah orang yang bertanggungjawab mencipta kamera digital pertama di dunia pada tahun 1975. Namun, mengapa teknologi kamera digital ini hanya menjadi popular pada kurun ke-21?

Menurut laporan yang dikeluarkan The New York Times, Sasson mula bekerja untuk syarikat Eastman Kodak atau lebih dikenali sebagai Kodak pada tahun 1973. Ketika itu, Kodak nama yang tidak asing lagi dalam dunia fotografi.

Steven telah diberikan tugas oleh Kodak untuk mengkaji satu teknologi yang dinamakan sebagai charge-couple device (C.C.D), sama ada ia mempunyai sebarang kegunaan praktikal dengan mana-mana produk Kodak yang lain.

Ia bukanlah satu projek yang begitu mencabar kepada jurutera muda itu kerana peranti C.C.D itu sebenarnya telah dibangunkan pada tahun 1969 oleh Willard Boyle dan George E. Smith. 

kamera digital pertama

Kamera digital pertama dunia

Steven sendiri menyangka bahawa Kodak memberikan projek itu kepadanya supaya dia mempunyai sesuatu untuk dilakukan dan kekal sibuk di pejabat.

Setelah dua tahun lamanya mengusahakan projek itu, Sasson secara tidak sengaja telah menghasilkan kamera yang mampu merakam gambar dalam format digital. Ini menjadikannya orang pertama berjaya mencipta kamera digital.

Steven tahu bahawa ciptaannya itu mempunyai potensi untuk menjadi gajet revolusi dalam dunia teknologi. Apabila Steven membentangkan ciptaannya itu kepada para pegawai eksekutif di Eastman Kodak, dia tidak percaya dengan respon yang diberikan mereka.

Para eksekutif kelihatan tidak begitu kagum dengan ciptaan revolusi Steven itu. Apa yang lebih mengejutkan, mereka kelihatan seolah-olah penemuan Steven itu merupakan satu potensi ancaman kepada syarikat.

steven sasson bersama ciptaannya 568

Steven Sasson bersama kamera digital pertama dunia

Ini kerana Eastman Kodak merupakan salah satu syarikat gergasi di pasaran fotografi di Amerika Syarikat dan hampir seluruh dunia pada ketika itu. Mereka membuat keuntungan daripada semua perkara yang berkaitan ptoses fotografi.

Ketika itu juga, Kodak memonopoli pasaran fotografi. Menurut The Economist, Kodak menyumbang kepada 85 peratus jualan kamera di Amerika Syarikat sahaja pada tahun 1976. 

Jika dilihat kepada statistik ini, maka tidak hairanlah mengapa para eksekutif Kodak berasa terancam dengan kamera ciptaan Steven Sasson yang tidak menggunakan gelung filem yang selama ini menjadi punca keuntungan mereka.

Walau bagaimanapun, mereka membenarkan Steven untuk terus mengembangkan teknologi kamera digital yang ditemuinya. Pada tahun 1978, kamera digital pertama telah dipatenkan.

kamera slr kodak terawal

Namun, pegawai atasan Steven telah melarang keras jurutera itu daripada berkongsikan secara terbuka mengenai ciptaannya atau menunjukkan prototaip kamera digital kepada orang luar daripada syarikat Kodak.

Kira-kira 14 tahun selepas Steven mencipta kamera digital yang pertama, dia bersama rakannya Robert Hills telah mencipta kamera refleks kanta tunggal atau single-lens reflex (S.L.R) moden yang pertama dunia pada tahun 1989.

Sama seperti ciptaan pertamanya, kamera S.L.R itu juga kurang diberi sambutan oleh para eksekutif Eastman Kodak yang lebih mengutamakan penjualan kamera biasa dan gelung filem.

Lebih menguntungkan Kodak, paten kamera digital mereka telah membantu syarikat itu memperolehi berbillion-billion USD daripada royalti yang diterima syarikat pengeluar lain.

Apabila kontrak itu tamat pada tahun 2007, Eastman Kodak ketika itu tidak bersedia untuk bersaing di pasaran teknologi digital. Lima tahun selepas itu, syarikat terbesar dunia fotografi iaitu Eastman Kodak telah memfailkan muflis.

logo kodak

Harvard Business Review mendedahkan bahawa syarikat itu telah memfailkan perlindungan kebangkrapan pada 2012, mengakhiri legasi perniagaan mereka dan menjual patennya sebelum muncul semula sebagai sebuah syarikat kecil pada tahun 2013.

Syarikat Eastman Kodak yang pernah menjadi salah satu syarikat paling berkuasa di dunia, pada hari ini hanya mempunyai permodalan pemasaran yang kurang daripada USD 1 billion sahaja.

Kini, kamera digital pertama yang dicipta oleh Steven Sasson dipamerkan di Muzium Kebangsaan Sejarah Amerika Smithsonian. Steven telah dianugerahkan Pingat Teknologi dan Inovasi Kebangsaan pada tahun 2009.

Rujukan:

1. Legasi Steven Sasson, pencipta kamera digital pertama

2. Jurutera yang mencipta kamera digital dan SLR pertama dunia

3. Sejarah Penciptaan Kamera Digital Pertama Dunia




Hakcipta iluminasi.com (2017)