Oleh pada 16 Oct 2022 kategori

Banyak pihak bersetuju peralihan hidup ke dalam bentuk digital, memudahkan urusan seharian. 

Sebagai contoh kita tidak lagi berhubung dengan surat, sebaliknya sudah menggantikannya dengan surat elektronik - melainkan untuk sesetengah urusan rasmi. Perpustakaan juga beralih digital, ekoran kemudahan penyediaan buku-buku yang boleh dibaca menggunakan peranti elektronik.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Format digital dikatakan menyenangkan hidup. Tidak ada banyak buangan terhasil. Tidak ada bahan fizikal perlu diuruskan. Namun realitinya ramai di antara kita masih perlu membuang masa mengurus sampah digital yang ada.

Kadangkala masa yang kita guna untuk mengurus sampah-sampah maya ini pun, makan berjam-jam tempohnya.

1. E-mel

lambakan e mel tidak terurus

Satu masa dahulu sebelum wujudnya kemudahan mesej berasaskan aplikasi, emel merupakan antara penghubung utama kita selain daripada aplikasi berbual format lama seperti Messenger, ICQ dan sebagainya. 

Kini, majoriti pengguna e-mel sudah tidak lagi diguna untuk mengutus-ngutus surat maya tetapi lebih kepada saluran komunikasi dalam urusan secara rasmi. Bagaimanapun, banyak laman web dan aplikasi di internet masih memerlukan alamat emel untuk kita melakukan pendaftaran.

Bila dah daftar bermacam jenis akaun dan dipaksa untuk bersetuju membenarkan pengendali laman web menghantar e-mel promosi kepada kita, akaun e-mel kita akhirnya jadi lokasi di mana e-mel yang langsung tak kita pedulikan dan baca berkumpul.

Bagi penulis sehari ada lah dalam 20-30 e-mel daripada laman-laman web dihantar, selepas 'unsubscribe' mana yang kena dengan selera kita. Yang tinggal pun semuanya tak penting mana. Hanya sekadar makluman notifikasi, promosi atau spam cuba menipu kita.

Seminggu sekali penulis akan duduk, membaca tajuk setiap e-mel yang terkumpul dan buang apa yang dirasakan tak menarik dan simpan mana yang dirasakan ada kebaikannya.   

2. Gambar dan video

foto dan video dalam gambar penuhkan storan

Berbeza dengan zaman dahulu sebelum berkembangnya format fotografi berorientasikan fail jenis digital, peluang untuk ambil gambar hanya ada satu saja. Tak boleh nak klik, klik, klik macam zaman sekarang. 

Semuanya perlu diatur sebaik mungkin agar gambar yang terhasil mampu memaparkan semua orang dalam kondisi yang baik. Sekarang nak tangkap gambar, ambil saja berapa kita suka asalkan memori telefon pintar kita ada. 

Ramai di antara kita ambil gambar sendiri satu gaya sama pun ada 10 keping. Tangkap gambar dengan kawan, 50 keping semuanya. Tangkap gambar hari raya 200 keping. Setiap kali kita tangkap, kita akan janji dalam hati kita "aku akan go through satu per satu gambar ni dan pilih gambar terbaik yang ada."

6 bulan kemudian, semua gambar masih ada dalam memori dan notifikasi mula keluar menyatakan storan kita semakin penuh. Masa tu lah kita duduk dan lihat satu per satu gambar, buang mana yang kurang cantik, bergegar dan sebagainya.

Di masa depan kami yakin situasi ini akan semakin buruk dengan kegilaan pengeluar telefon meninggikan jumlah piksel gambar yang ada. Semakin tinggi piksel, semakin tinggi data gambarnya. Semakin tinggi datanya....semakin banyak storan memori diperlukan menyimpannya.

3. SMS

sms zaman sekarang penuh spam

Seperti e-mel yang sudah semakin kurang penting dalam komunikasi internet seharian, SMS adalah sistem yang kini tidak lagi digunakan secara meluas. Mungkin masih ada yang menggunakannya sekali-sekala.

Tetapi SMS zaman sekarang hanyalah saluran di mana kita menerima nombor TAC akaun perbankan, notifikasi transaksi kad bank yang kita lakukan atau notifikasi tentang promosi daripada pengendali talian telefon atau penyedia servis internet kita.

Walaupun nampak terhad...mampu menimbun juga kan bilangannya dalam telefon kita kan? Apatah lagi kalau kita ni jenis kerap berbelanja. Sikit-sikit dapat SMS. Beratus SMS terperap saja dalam telefon majoriti antaranya tak pernah dibaca pun apa isinya.

Pihak bank di negara kita pun sedang menambah baik sistem untuk tidak lagi bergantung dengan nombor TAC SMS, beralih kepada sistem pengesahan dalam aplikasi yang dikatakan lebih selamat.

Bila tiba hari tersebut, mungkin peti SMS kita akan jadi lebih lengang dan tak adalah makan masa sangat untuk membersihkannya.

4. Notifikasi

sistem notifikasi semak

Notifikasi senang nak dibersihkan. Hanya satu klik saja perlu kita lakukan untuk membuang kesemua notifikasi. 

Tetapi bagi pengguna telefon pintar yang lebih veteran, penulis dapat melihat mereka kurang gemar membuang notifikasi yang masuk sehingga panjang berjela-jela notifikasi yang mereka terima. 

Bila ditanya kenapa tak dibersihkan, jawapan mereka biasanya mudah; mereka rasa notifikasi itu menarik seperti notifasi Youtube memaklumkan tentang muat naik terbaru dan takut kalau dibuang, nanti mereka tak jumpa lagi topik itu.

Jadi mereka biarkan saja semua notifikasi ada seperti biasa. Ini cerita orang lebih tua. Kita sendiri pula bagaimana? 

Pernah tak anda sedang membersihkan notifikasi, lepas tertekan saja butang 'clear' baru perasan 'eh, ada topik menarik la dekat ni' tapi sebab dah dibersihkan - anda tak sempat nak tekan notifikasi yang anda rasa menarik tu.

Kemudian anda mula rasa menyesal jari anda cepat sangat clear-kan notifikasi yang ada.

5. Media dalam aplikasi mesej

sampah digital masalah kebersihan maya

Di antara semua sampah digital yang paling banyak memakan masa untuk dibersihkan, inilah raja segala sampah digital; sampah aplikasi mesej. 

Ini kerana semua aplikasi mesej mempunyai ramai penyumbang sampah yang akan memenuhi tiap-tiap peranti pengguna yang ada. Sudahlah penyumbangnya ramai, formatnya pun berbeza-beza. Ada sampah dalam bentuk video, imej, audio, pautan dan bermacam lagi format yang disokong.

Setiap hari kita berazam akan meluangkan satu atau dua hari, untuk duduk menyemak satu per satu semua jenis media yang telah dimuat turun tapi kelapangan itu jarang ada kan?

Yang membuatkan situasi bertambah buruk, hari-hari ada saja benda baru masuk menambahkan stres kita.

Kami yakin dalam peranti milik anda SEKARANG INI penuh dengan gambar-gambar iklan, gambar orang lain yang anda tak tahu siapa, pautan ke internet yang langsung tak berkait dengan anda, fail-fail kerja milik pihak lain yang bukan tanggungjawab anda dan bermacam lagi jenis sampah yang anda tak perasan pun bila masuknya.

Semuanya kerana aplikasi mesej membolehkan sebaran-sebaran media sebegini berlaku dengan terlalu mudah. 

Kita boleh berjanji akan cuba mengawalnya dan mengubah tabiat kita agar setiap hari meluangkan sedikit masa membuang apa yang tak patut, tetapi pada penghujungnya nanti kita tak mampu mengejar pun kepantasan sampah-sampah ini bertimbun...

...dan kita tak berdaya pun menentangnya. Menyerah saja! Menyerah!




Hakcipta iluminasi.com (2017)