Penipuan yang berlaku dalam pasaran saham merupakan satu masalah yang besar. Terdapat beratus-ratus aduan yang dilaporkan setiap minggu terhadap peniaga saham yang mencuba pelbagai cara untuk menaikkan atau menjatuhkan harga saham. Tujuan mereka adalah untuk menarik minat pembeli dan penjual supaya dapat membuat keuntungan yang besar melaluinya.
Kebanyakan cara yang mereka gunakan adalah untuk memastikan pelabur melihat atau mendengar maklumat palsu mengenai naik turunnya sesuatu pasaran saham itu. Mereka akan menghasut pelabur untuk membeli saham dengan harga yang lebih tinggi daripada nilai pasaran atau menjual saham mereka lebih rendah daripada nilai sebenarnya.
BESARKAN TEKS A- A+
Pada tahun 1800-an, perkara ini mungkin kelihatan mustahil untuk berlaku kerana ketiadaan internet bagi membantu pemindahan data serta maklumat dengan segera atau serta-merta. Akan tetapi, penipuan saham sebenarnya telah berlaku sejak dahulu lagi.
Sistem telegraf Semaphore
Pada tahun 1830-an, sepasang adik-beradik yang merupakan pegawai bank yang korup telah menemui cara bagaimana untuk memanipulasi teknologi pada masa itu supaya mereka boleh mendapat kelebihan dalam pasaran bon. Menurut Inc.com, apa yang dilakukan oleh adik-beradik itu merupakan serangan siber yang pertama berlaku di dunia.
Pada tahun 1790-an, Perancis telah mencipta rangkaian data kebangsaan yang pertama di dunia. Sebuah majalah yang diterbitkan pada tahun 1843 melaporkan bahawa rangkaian data itu adalah sistem telegraf mekanikal yang menggunakan signal Semaphore.
Rangkaian itu diperbuat daripada menara yang mempunyai talian penyambung. Di atas setiap menara terdapat satu mekanisma dengan beberapa pemegang padanya. Mekanisma ini boleh digerakkan dalam pelbagai konfigurasi yang mewakili setiap tulisan atau abjad yang berbeza.
Menara-menara ini ditempatkan dalam satu garisan lurus sisi pandangan antara satu sama lain. Operator akan menggunakan teleskop untuk melihat mekanisma di menara yang berada di belakang dan di hadapan rantaian mereka untuk menyesuaikan maklumat yang akan disalurkan.
Dengan menggunakan cara ini, sesuatu maklumat itu boleh dihantar dengan lebih cepat berbanding surat atau akhbar yang menggunakan sistem mel.
Pada tahun 1834, Francois dan Joseph Blanc telah menemui cara untuk memintas sistem telegraf dan melakukan penipuan. Pasaran saham di Paris merupakan pasaran saham terbesar di Perancis dan memberi pengaruh yang besar kepada pasaran saham di beberapa bandar lain di negara itu seperti Bordeaux dan lain-lain lagi.
Pasaran yang besar itu menjadi petunjuk kepada betapa pantasnya perdagangan bon kerajaan telah berkembang. Sekiranya pasaran bon di Paris meningkat, maka pasaran di Bordeaux juga akan naik. Namun, pasaran di Bordeaux hanya akan meningkat setelah beberapa hari kemudian kerana perkhidmatan pos mengambil masa untuk menyampaikan berita itu.
Blanc bersaudara itu telah menemui ahli konspirasi yang lain di Paris untuk memantau pasaran saham di sana dan menyampaikan berita mengenai perubahan trend kepada operator telegraf di Tours.
Laluan sistem telegraf Semaphore
Operator yang bertugas itu kemudian akan menghantar maklumat tersebut ke Bordeaux sebelum ketibaan mana-mana akhbar atau surat daripada perkhidmatan pos dari Paris.
Perkara ini membolehkan Blanc bersaudara untuk bertindak beberapa hari sebelum trend pasaran saham berlaku dan mendahului mana-mana pelabur lain yang berdagang di pasaran saham Bordeaux.
Namun, sistem telegraf ini dimiliki dan dikendalikan oleh pihak kerajaan. Blanc bersaudara tidak boleh hanya merasuah operator telegraf untuk memasukkan sebarang mesej atau maklumat tambahan yang diperlukan mereka. Sebaliknya, mereka perlu mencari cara bagaimana untuk menyembunyikan maklumat rasmi yang disahkan melalui sistem telegraf itu.
Sistem kod telegraf mempunyai simbol yang sama dengan backspace, menunjukkan bahawa huruf yang sebelumnya harus diabaikan. Dengan menambah simbol backspace kepada maklumat mengenai sama ada pasaran di Paris naik atau turun, Blanc bersaudara dapat memintas mesej apa yang mereka perlukan tanpa perlu mengubah apa-apa yang dihantar melalui sistem itu.
Penipuan yang dilakukan Blanc bersaudara itu berterusan selama dua tahun lamanya. Apabila operator di Tours yang bersekongkol dengan Blanc bersaudara itu jatuh sakit, dia memberitahu seorang rakannya bagaimana untuk mengendalikan sistem telegraf itu agar dapat menggantikan tempatnya.
Operator baru itu menyedari perkara itu adalah satu kesalahan dan melaporkannya kepada pihak berkuasa. Pada tahun 1837, Blanc bersaudara telah dihadapkan ke mahkamah.
Akan tetapi, Francois dan Joseph Blanc tidak disabitkan dengan kesalahan kerana tiada undang-undang nyata ketika itu terhadap penggodaman sistem telegraf. Tidak lama selepas perbicaraan itu, terdapat undang-undang baru telah diperkenalkan untuk menutup kelemahan sistem telegraf ini.
Kisah manipulasi teknologi yang dilakukan oleh Francois dan Joseph Blanc ini jelas menunjukkan serangan siber bukanlah hanya berlaku pada zaman moden sahaja. Serangan siber dan penggodaman sering kali berlaku secara senyap dan tidak diketahui, seperti yang dilakukan oleh adik-beradik itu.
Kini, mana-mana sistem yang dibina itu pasti mempunyai kelemahan. Kelemahan ini akan dicari dan dimanipulasikan oleh pihak yang mempunyai kepentingan peribadi.
Rujukan:
1. Inc.com
3. Mark Pack