Oleh pada 20 Feb 2020 kategori

Pada 1 Mac 1972, John Lennon dan isterinya Yoko Ono berada di bawah pemerhatian Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI).

Seorang ejen persekutuan mengisytiharkan bahawa pasangan superstar ini akan ditangkap kerana "mengembara antara negari dalam usaha untuk meneruskan konspirasi untuk memulakan rusuhan", jika mereka berani menghadiri Konvensyen Kebangsaan Republikan (RNC) di Miami pada tahun itu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Seorang peguam bernama Leon Wildes menulis bahawa beliau tidak pernah melihat kerajaan Amerika Syrikat berusaha begitu bersungguh-sungguh untuk menyingkirkan seseorang dari Amerika Syarikat.

Buku Leon Wildes menceritakan kisah "peperangan" pentadbiran presiden Amerika Syarikat ke-37 iaitu Richard Nixon untuk mengusir John Lennon, kononnya kerana sabitan sebelumnya di United Kingdom di atas pemilikan hashish.

Namun, sebab sebenar di sebalik ini adalah kerana Richard Nixon takut pendirian John Lennon yang lantang terhadap Perang Vietnam dan kepercayaan politik lain mengancam untuk mempengaruhi rakyat AS berusia di antara 18 dan 20 tahun dalam pilihan raya tahun 1972.

Ini sebaik sahaja selepas had umur mengundi di AS direndahkan.

konvensyen kebangsaan republikan di miami beach pada tahun 1972

(Konvensyen Kebangsaan Republikan di Miami Beach pada tahun 1972)

Dan sama ada John Lennon dan Yoko Ono bercadang untuk menghadiri RNC pada tahun itu adalah tidak jelas, namun pasangan ini sememangnya aktif dari segi politik.

Pada tahun 1968, The Beatles dan Yoko Ono berpindah dari London ke Greenwich Village, New York dengan visa sementara selepas penangkapan John Lennon kerana pemilikan dadah di United Kingdom.

Ketika berada di Amerika Syarikat, mereka menyertai tunjuk perasaan, termasuk perhimpunan pada Disember 1971 untuk membebaskan pengurus band rock MC5 iaitu John Sinclair yang dijatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun kerana menjual dua batang rokok mengandungi ganja kepada pegawai polis yang menyamar.

Di hadapan 15,000 penunjuk perasaan di Michigan, John Lennon membuat persembahan dengan lagu yang ditulisnya untuk acara itu yang diberi judul "John Sinclair" dan berucap kepada orang ramai mengenai kepentingan untuk terus terlibat.

John Sinclair yang pada ketika itu telah menjalani hukuman penjara selama dua tahun, dibebaskan pada hujung minggu berkenaan. Ini membuatkan kerajaan persekutuan menjadi sangat cemas dan bimbang.

Menurut Leon Wildes, John Sinclair terlibat dalam mendapatkan senjata dan dinamit, meletupkan pejabat CIA di Ann Arbor dan membuat perancangan untuk tindakan gerila di utara Michigan, melalui Parti Panther Putih.

john lennon membuat persembahan di perhimpunan pembebasan john sinclair

(John Lennon membuat persembahan di Perhimpunan Pembebasan John Sinclair 1972)

Walaupun tiada bukti bahawa John Lennon mengetahui tentang perkara ini, Senator South Carolina iaitu Strom Thurmond merangka satu memo kepada Peguam Negara AS John Mitchell, yang mengawasi Perkhidmatan Imigresen dan Naturalisasi.

Senator Storm menguraikan tentang bahaya yang dicetuskan oleh persahabatan antara John Lennon dan John Sinclair.

Memandangkan Chicago Seven "merancang untuk mengadakan konsert rock di pelbagai negeri pilihan raya utama untuk merekrut orang untuk datang ke [RNC] pada Ogos 1972", Leon Wildes berkata bahawa mereka "berhasrat untuk menggunakan John Lennon untuk mempromosikan kejayaan mereka".

Chicago Seven adalah tujuh orang defendan iaitu Abbie Hoffman, Jerry Rubin, David Dellinger, Tom Hayden, Rennie Davis, John Froines, dan Lee Weiner, yang didakwa oleh kerajaan persekutuan dengan konspirasi, memulakan rusuhan, dan tuduhan lain yang berkaitan dengan anti Perang Vietnam serta protes bantahan budaya yang berlaku di Chicago, Illinois.

Disebabkan itu, Peguam Negara AS John Mitchell bertindak dengan serta-merta, dan visa John Lennon dibatalkan beberapa hari kemudian yang menandakan bermulanya proses pengusirannya.

Leon Wildes yang merupakan seorang peguam imigresen, telah dirujuk kepada John Lennon oleh bekas rakan sekolahnya.

chicago seven

(Chicago Seven)

Apabila Leon sampai di rumah pasangan itu di Bank Street, John Lennon menjelaskan betapa dia sangat suka tinggal di Amerika Syarikat. 

"Semua dalam dunia kami, kami adalah artis, yang kini tinggal di Amerika Syarikat. Ia seperti zaman para pelukis, apabila semuanya berlaku di Paris, atau di Rom awal. Semua itu sedang berlaku sekarang, di sini. Sini adalah di mana ia berada, dan kami suka tinggal di sini. Kami hanya memahami bahawa ia tidak dapat diatur," kata John Lennon.

Leon telah meneliti undang-undang mengenai imigresen dan ganja, mendapati bahawa kerajaan boleh mengusir individu dari Amerika Syarikat "yang telah disabitkan dengan mana-mana undang-undang atau peraturan terhadap pemilikan haram dadah narkotik atau ganja".

Kajiannya sendiri mendapati bahawa secara teknikalnya, hashish tidak tertakluk kepada undang-undang ini. Leon kemudiannya menghubungi Sol Marks, pengarah Perkhidmatan Imigresen dan Naturalisasi New York.

Peguam itu menjelaskan situasi berkenaan dan meminta tempoh lanjutan selama enam bulan untuk John Lennon dan isterinya.

Sehari kemudian, Sol Marks menelefon Leon dan memberitahu bahawa dia hanya dapat melanjutkanan visa Jopn Lennon selama sebulan sahaja.

john lennon berpakaian tentera

john lennon perang dengan fbi amerika syarikat

(John Lennon dan isteri Yoko Ono)

Dan apa yang dikatakan seterusnya oleh Sol Mark benar-benar jahat, iaitu "Orang seperti mereka tidak akan dapat tempoh lanjutan lagi. Leon, suruh mereka berambus!".

Menurut Leon, apabila pengusiran ini tidak berlaku, pentadbiran Richard Nixon cuba untuk menyusahkan hidup John Lennon dan Yoko Ono, dengan mengawasi dan memantau mereka.

Dia juga memberitahu bahawa tukang pembaiki telefon datang untuk "memeriksa" telefon pasangan ini tetapi beredar serta-merta apabila diminta menunjukkan kad pengenalan.

Selain itu, dua lelaki yang ditempatkan betul-betul di seberang jalan rumah John Lennon, kelihatan sedang membaiki basikal untuk tempoh yang sangat lama. Mereka ini didakwa bukan membaiki basikal tetapi sedang mengawasi John Lennon.

Malah, apabila John dan Yoko memasuki kereta, dua lelaki yang sama muncul dalam kereta di belakang mereka yang membuatkan pasangan ini pasti bahawa mereka sedang diikuti. Situasi menjadi tersangat buruk sehinggakan John terpaksa meniru suara perempuan apabila menelefon Leon.

Tekanan yang disebabkan oleh ugutan selamat 4 tahun itu hampir memusnahkan pasangan itu. Perpisahan mereka yang sangat terkenal, apabila John Lennon menghabiskan sebahagian besar dalam 18 bulan di Los Angeles dalam keadaan mabuk, berlaku dalam tempoh 4 tahun ini.

leon wildes bersama john lennon dan yoko ono selepas mereka diberikan status penduduk tetap amerika syarikat

(Leon Wildes bersama John Lennon dan Yoko Ono selepas mereka diberikan status penduduk tetap Amerika Syarikat)

Namun, pasangan ini masih kekal tenang untuk terus bersama.

Akhirnya, selepas 4 tahun bergelut dengan kehidupan yang sukar, John Lennon diberikan status penduduk tetap, hasil daripada sebab-sebab teknikal berkenaan dengan sabitan kes dadah di United Kingdom. 

Yoko Ono juga telah diberikan status yang sama. Dan sudah tentu, ketika itu Richard Nixon bukan lagi presiden AS yang mana digantikan oleh Gerald Ford. Namun, kecintaan John Lennon terhadap tanah air tumpangannya terutamanya New York City, tidak pernah berubah.

"Pertempuran selama empat tahun oleh John Lennon untuk kekal di negara kita adalah bukti kepercayaannya terhadap immpian Amerika," kata Leon Wildes.

Rujukan:

1. Perang Pengusiran John Lennon Dan Yoko Ono Dari Amerika Syarikat

2. Perang Antara John Lennon dan FBI Selama 5 Tahun

3. NY Post




Hakcipta iluminasi.com (2017)